Sekitar Ijtima’ Tarbawi Peringkat Kebangsaan di Rusila, Terengganu…

Blogku telah menyepi sekian lama, tidak dipenuhi dengan post-post terbaru lebih dua minggu… Sejak kebelakangan ini, aku tidak berkesempatan meluangkan masa untuk mencoretkan kata di dalam lembaran maya blog ini, barangkali saja kerana kuperlu mendahulukan tugasan-tugasan lain yang lebih utama bagiku. Antaranya ialah menyiapkan kertas kerja makalah, menyempurnakan tugasan unit perasmian/protokol Seminar Kemelut Peradaban Remaja, mengisi borang perlanjutan biasiswa dan permohonan geran penyelidikan, mengikuti program Ijtima’ Tarbawi, menjadi pengiring peserta bagi Majlis Perujian Tilawah al-Qur’an MAKUM, menguruskan hal-hal yang berkaitan umrah, dan sebagainya. Dalam kesempatan ini, aku ingin berkongsi mengenai Ijtima’ Tarbawi yang telah kusertai pada hampir dua minggu yang sudah di dalam post terbaru ini. Dalam pada itu juga, aku perlu menimbang-nimbang waktu juga kerana masaku yang sedikit terbatas memandangkan aku perlu menyiapkan dua kertas kerja dengan kadar segera untuk JPM, dan untuk Seminar al-Qur’an peringkat Antarabangsa (MUQADDAS) pada pertengahan bulan satu ini di APIUM. Ah, aku agak berkejar dengan masa sebenarnya, tapi adakalanya seakan diri ini tidak menghargai masa walau sedetik, bahkan aku melengah-lengahkan tindakan… Astaghfirullah… Persediaan sebagai peserta di dalam Seminar ASEAN Tamadun Andalusia juga perlu kusahut di ISTAC pada bulan 10 ini. Mudah-mudahan dipermudahkan…

Di sebalik sedikit kekalutan yang berlaku, upaya yang ada harus juga diteruskan dalam menguruskan waktu sebaik mungkin, kerana kusedar, aku bukanlah seorang yang begitu cekap mengurus masa. Semakin banyak gerak kerja yang digalas, semakin itulah aku perlu optimis, kerana dengan banyaknya tugasan yang diamanahkan, maka ia akan menjadikan diri ini lebih menghargai masa, lebih cekap untuk mengurus diri, di samping berusaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., kerana begitulah manusia… Semakin diuji dan diuji, maka barulah hati ini lebih lunak untuk mencari hakikat diri sebagai hamba yang hina, barulah memohon kekuatan kepada Allah s.w.t. dengan penuh kesungguhan dan penghinaan di hadapan Pencipta. Jika tidak, ibadah yang kulaksanakan laksana melepaskan batuk di tangga sahaja, tidak dilakukan dengan sesungguhnya disertai khusu’ dan tawadhuk. Sesungguhnya kita tidak punya kuasa dan kekuatan, dan Dialah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, justeru lahirkanlah perhambaan dan penyerahan sepenuhnya kepadaNya semata. Ingatlah sahabat-sahabatku khususnya dalam kalangan pimpinan. Itulah rahsia mengapa kita diuji dan dibebani dengan taklifan yang mendewasakan, agar kita lebih berhasil mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh penghinaan dan ketenangan, agar Allah semakin cinta kepada kita, kerana Dia sememangnya begitu rindu mendengar rintihan daripada hamba-hambaNya yang benar-benar menyerahkan jiwa dan raganya demi Islam… Subhana Allah… Dengan demikian, meningkatlah keimanan seseorang kepadaNya setelah diuji. Apa yang penting, siapa lagi kalau bukan kita yang perlu memahami diri ini sebagai hamba sebenar bagi melahirkan peribadi rabbani yang menyedari hubungannya bersama Rabbi dalam setiap tika…

Alhamdulillah… Perasaan kurang tenteram ini sedikit terubat apabila mengingati kembali mutiara-mutiara pengisian serta taujihat yang telah disampaikan di dalam Ijtima’ Tarbawi. Lebih menggembirakan hati ini apabila memikirkan perkembangan positif persiapan menuju umrah yang telah ditunggu-tunggu sekian lama semenjak di awal kemasukan universiti. Ijtima’ tarbawi sangat memberkas jiwaku, lalu membakar semangat ini diiringi buah-buah kefahaman yang telah dapat kupetik. Suatu ijtima’ yang pada pengamatanku pengisiannya begitu menakjubkan, kerana menampilkan para penceramah dalam kalangan pimpinan tertinggi jemaah yang begitu berwibawa. Subhana Allah… Terus terang ingin kukatakan bahawa pengisian dalam ijtima’ tarbawi inilah yang paling terbaik buat diriku serta sangat memuaskan hatiku sepanjang daku mengikuti pengisian berbanding -pengisian lain di dalam mana-mana program mahupun kem. Pengisian yang begitu mantap dapatlah kugambarkan melalui manik-manik air mata perjuangan yang sering mengalir di kalangan para peserta pemuda-pemudi Islam dalam hampir setiap pengisian, sekaligus ia menjadi saksi keikhlasan penyampaian dan azimat perjuangan para penceramah dan barisan ulama’ al-`amilin fi sabilillah dalam melontarkan taujihat. Siapa tidak kenal, Ust Tuan Ibrahim Tuan Man, Tuan Guru Hadi Awang, Murabbi Ust Yahya Othman, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ust Zulkefli Baitul Qura’, dan sebagainya… Mereka inilah merupakan mata-mata rantai perjuangan Islam, membangun kembali pasakan jihad dan tarbiah kepada golongan pemuda Abna’ al-Harakah, seterusnya menghidupkan roh-roh perjuangan yang masih terlena dengan hambatan tarbiah ruhiyyah dan butir-butir kata yang menyentuh kalbu, menjernihkan hati... JIHAD….! Jalan kami!

Tarbiyah Ruhiyyah sebagai elemen asas kepada pembinaan kekuatan lahiriah. Ramai benar penceramah yang mengingatkan agar para pemuda Islam melazimi pembacaan al-Qur’an, menghayati maknanya, membaca terjemahan al-Qur’an sehingga habis, membaca tafsir al-Qur’an, beramal dengannya, serta istiqamah dalam menegakkan seruan-Nya. Bahawasanya tiadalah para sahabat Nabi s.a.w menghabiskan satu bacaan ayat al-Qur’an melainkan mereka memahami dan mengamalkannya terlebih dahulu sebelum mereka berpindah kepada ayat al-Qur’an yang lain pula. Itulah mafhum hadith sahih. Justeru, ilmu dan amal merupakan batu asas kejayaan perjuangan Islam. Selanjutnya perjuangan Islam menuntut kepada mendepani liku-liku cabaran. Itulah identiti sebuah gerakan Hizb Allah yang harus mengharungi cabaran serta badai yang menerjah. Cabaran dan ujian tersebut akan menyaksikan sejauh manakah kita beristiqamah di dalam landasan perjuangan. Satu ayat al-Qur’an yang sering dilontarkan di dalam Ijtima’ Tarbawi oleh para penceramah untuk direnungi bersama ialah, firman Allah:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (41) لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ...(42)

Maksudnya:

41. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

42. Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka…

Al-Tawbah (9):41-42

Perjuangan Islam menuntut kepada suatu tempoh masa yang panjang dalam menghadapi onak dan duri rintangan. Berbahagialah bagi mereka yang thabat di dalam medan juang dalam mengecapi kemanisan, dan merugilah mereka yang mutasaqit/futur di medan pertempuran. Perjuangan tidak mengenal aspek teori dan bicara semata, tetapi ia berhajat kepada suatu organisasi serta batang tubuh yang menggerakkan serta mempraktikkan ajaran yang difahami dengan mengorbankan segala harta, jiwa, dan raganya demi Islam. Ya, PENGORBANAN… Perjuangan bererti menyerahkan nyawa kepada Allah s.w.t dalam segala situasi demi menegakkan syiar Islam tercinta. Memadamkan api kejahilan, dan menghenyak para pendusta taghut serta nafsu kebinatangan. Perjuangan Islam bermatlamatkan kematian di jalanNya, sedangkan perjuangan puak kuffar adalah bagi meneruskan kehidupan di dunia. Itulah sunnah perjuangan serta kemanisannya. Justeru, kita akan melihat terdapat golongan-golongan yang tercicir di medan pertembungan Islam dan kufur, kerana merasakan perjuangan Islam merupakan suatu episod permusafiran yang begitu panjang buat mereka. Sekiranya perjuangan Islam merupakan suatu perjuangan yang pendek untuk direalisasikan, dan mudah untuk dilaksanakan, maka nyatanya puak munafiqin akan bersama-sama mengusung panji-panji Islam jua. Renungilah semula pada firman Allah s.w.t di atas…

Seterusnya, janji Allah itu benar! Dan janji para pendokong Islam itu benar! Inilah janji Allah `Azza wa Jalla:

وَعْدَ اللَّهِ لا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (6) يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ (7)

Maksudnya:

6. Demikianlah yang dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

7. Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka alpa dalam mengambil tahu tentang hari akhirat.

Al-Rum (30): 6-7

Dan inilah pula janji para jundullah yang benar-benar ikhlas di jalan Allah s.w.t:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23)

Maksudnya:

23. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka tidak sesekali mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.

Al-Ahzab (33): 23

Terdapat juga para penceramah dalam program Ijtima’ yang sering mengingatkan kepada para peserta agar istiqamah mendirikan solat malam serta membaca Ma’thurat, antaranya Ustaz Yahya Othman dan Ust Tuan Ibrahim Tuan Man. Walau bagaimanapun, suatu lontaran yang masih terngiang-ngiang di telingaku ialah mengenai satu soalan yang dilontarkan oleh seorang penceramah (Ketua Pemuda PAS Kedah) kepada para pendengar. Satu persoalan yang mudah sekali difahami, akan tetapi sukar sekali untuk dijawab sekiranya direnungi kembali, lantaran soalan tersebut sangat menghujam hati ini, dalam memperhalusi kembali sejauh manakah kedudukan kita di sisi Allah… Iaitu berkaitan solat. “Apakah yang engkau rasa selepas menunaikan solat fardu..??” Justeru, aku mengajukan soalan ini kepada para pembaca sekalian, untuk memikirkan apakah jawapan sebenar daripada para sahabat sekalian… Apakah solat tersebut hanya sekadar dirasakan oleh kalian sebagai suatu perintah yang wajib dilaksanakan semata-mata..?? Apakah kalian merasakan dengan menunaikan solat, maka kalian telah menunaikan kewajipan kepada Allah..? Sekiranya kita merasakan sedemikian, maka perasaan sedemikian masih belum cukup untuk membuktikan keikhlasan dan kesungguhan bertemu Allah. Masih belum cukup. Namun, seandainya kita merasakan solat tersebut merupakan suatu keperluan asasi sebagai pengukuhan dan makanan jiwa, pendinding/benteng dari kemaksiatan dan kemungkaran, serta menjadi terapi yang menghadirkan embun dingin yang menenangkan, di samping ia menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam, maka perlakuan solat tersebut dapat mengukuhkan hati-hati kita di dalam kancah perjuangan, thabat dalam menerjah mehnah dan dugaan, lantaran solat merupakan tiang agama. Jelasnya, ia menjadi perkara pertama yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ.

Maksudnya:

Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab pada setiap hamba (pada hari kiamat) ialah mengenai solatnya. Sekiranya baik solatnya, maka berjayalah amalan-amalan yang lainnya, dan sekiranya rosak solatnya, maka rosaklah amalan-amalan lain dan rugilah ia.

(Diriwayatkan oleh al-Nasa`i di dalam Sunannya, juga diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Majah di dalam Sunannya dengan lafaz hadith yang sedikit berbeza, namun membawa makna/mafhum yang sama)

Demikianlah sedikit perkongsianku mengenai Ijtima’ Tarbawi Pemuda yang julung-julung kalinya diadakan secara besar-besaran di peringkat kebangsaan dengan kehadiran lebih 5000 orang dalam kalangan `amilin pemuda-pemudi Islam di seluruh negara. Tuntasnya, pada pengamatanku, pengisian Ijtima’ begitu bermanfaat, berguna, dan ilmiah, sarat dengan ilmu pengetahuan dan nasihat yang membangkitkan seruan jihad, muhasabah, tazkiyatun nafs, serta kefahaman Islam. Sekiranya daku memuatkan segala pengisian Ijitima’ tersebut di dalam post ini, nescaya tidaklah berapa sesuai untuk dimuatkan kerana input-input berguna yang disampaikan di dalam program tersebut begitu menimbun. Hasil daripada Ijtima’ tersebut, beberapa deklarasi telah diputuskan, antaranya ialah para pemuda Islam wajib membaca al-Qur’an setiap hari dan beramal dengannya serta mengamalkan ibadah-ibadah harian yang lain seperti membaca al-Ma’thurat dan berqiamullail. Para pemuda-pemudi Islam juga haruslah menghidupkan sesi-sesi usrah berkala di kawasan dan cawangan masing-masing, kerana menurut Ust Yahya Othman, objektif utama usrah adalah untuk menjalankan sesi MUHASABAH dalam kalangan ahli gerakan dalam mengislah diri, dan usrah bukanlah satu sesi yang khusus untuk menyampaikan ceramah atau pengisian.

Antara resolusi lain juga di dalam deklarasi Ijtima’ ialah Ijtima’ Tarbawi ini merupakan satu titik-tolak kepada kesinambungan Ijtima’ Tarbawi seterusnya dan ia akan dijadikan sebagai suatu program tahunan jemaah dan harakah Islamiyyah PAS, dan insya Allah Ijtima’ akan datang akan dilangsungkan di Pulau Melaka, Kelantan. Justeru, aku menyeru kepada sahabat-sahabatku ikhwah dan akhawat yang kukasihi fillah… Ayuh! Marilah kita menyahut seruan seruling kebangkitan Islam..! Gagahkan langkah telapak kakimu, kuatkan gempita perjuanganmu, kobarkan jiwa meruap-ruap pemudamu, luluhlantakkan ancaman musuh-musuhmu, korbankan segala jiwa ragamu, mara menawan mahligai kegemilangan Islam dengan memadam api kejahilan dan kezaliman… Sesungguhnya engkau adalah pejuang..! Al-Islamu ya’lu wa la yu’la `alayh… Ya Allah ya Tuhan Kami… Kami sangat lemah ya Allah, sangat hina ya Allah, sangat jijik ya Allah… Maka, bantulah kami ya Allah, permudahkanlah urusan kami……….. Amin… Takbir!!

Akhukum,

~ribbiyyun~

Rabu,13 Oktober 2010,

0003 am

0 comments: