Alangkah Sukarnya Mendidik Hati… (2)

Upaya Menghilangkan Sifat `Ujub:

Suatu penyakit hati yang begitu berbahaya buat dirimu ialah terbitnya sifat `ujub tanpa engkau sedari kehadirannya. Imam al-Ghazzali telah menukilkan perihal `ujub di dalam karya beliau, Bidayah al-Hidayah, dan telah mengkategorikan penyakit `ujub sebagai penyakit hati yang sangat beracun selain hasad, dan riak. Ketiga-tiga sifat inilah yang sering menjelma dalam kalangan ulama’ itu sendiri pada zaman kini, justeru ketahuilah olehmu bahawasanya penyakit-penyakit hati sebegini justeru akan membawa kebinasaan dirimu, bahkan ia menjadi punca kepada terbitnya sifat-sifat tercela yang lain. `Ujub ialah memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran dan memandang manusia lain dengan pandangan yang merendahkan martabat mereka meski hanyalah melalui lintasan hati. Setelah memahami pengertian `ujub, maka ketahuilah olehmu bahawa alangkah sukarnya mendidik hati…

Imam al-Ghazzali telah menuturkan:

Apabila engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “kanak-kanak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedang aku sudah banyak membuat maksiat, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku sedangkan aku lebih muda daripadanya, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang alim, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak kuketahui, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang jahil, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang jahil ini berbuat maksiat kepada Allah atas kejahilannya sedang aku mengerjakan maksiat berserta dengan ilmuku, maka Allah s.w.t akan berhujah ke atas diriku, dan aku belum tahu lagi bagaimana aku mengakhiri kehidupanku ini, maka tidak syak lagi bahawa orang jahil itu lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang jahat, maka hendaklah engkau membisikkan hati, “Orang jahat ini masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk bertaubat dan suatu hari nanti barangkali ia akan bertaubat dengan kesalahannya jua, maka tidak syak lagi suatu hari nanti ia lebih mulia daripadaku”

Dan apabila engkau melihat orang kafir, maka hendaklah engkau berkata, “Orang kafir ini boleh jadi ia akan memeluk agama Islam lalu ia mengakhiri kehidupannya dengan husnul khatimah. Tatkala ia memeluk Islam, maka hatinya lebih suci seperti kain putih, sedang aku (wal `iyazubillah min dhalik) boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat petunjuk maka kehidupanku akan diakhiri dengan su’ul khatimah, maka tidak syak lagi suatu hari nanti ia lebih mulia daripadaku…” Maka, berdoalah di dalam hatimu agar suatu hari nanti pintu hati mereka disirami dengan taufiq hidayah Allah serta berdoalah jua agar relung hatimu sentiasa dipelihara dengan sinar keimanan dan kebenaran Islam sehingga bersua dengan-Nya kelak...

Dengan upaya demikian, sedikit sebanyak engkau berhasil mendidik hati dari sifat `ujub. Namun begitu, alangkah sukarnya bagimu mendidik hati pada hakikatnya… Gemerlaplah hatimu di malam hari yang sunyi, merintihlah, bertafakurlah, bermunajatlah… “Ya Allah ya Tuhanku, Sesungguhnya begitu besarnya dosaku yang menimbun lantaran penyakit hati ini, namun kutahu bahawasanya keampunan serta Rahmat-Mu jauh lebih besar daripada kemurkaan-Mu… Maka, ampunilah daku, terimalah taubatku, kurniakanlah kekuatan kepadaku, tundukkanlah hawa nafsuku pada kebenaran Kalimat-Mu…”

Usaha mentarbiah hati dilanjutkan, pohonan sekalung doa dipanjatkan dengan sepenuh pengharapan, lantaran kekerdilanmu yang begitu hina… Maka, bergenanglah pancaindera penglihatanmu dalam mendidik hati ini, menjadi alamat relung hatimu terdidik… Allahu Akbar……. Wa lillahil Hamd……..

0 comments: