ِAkal yang Zulmat Memburu Cahaya Pencinta Ilmu... EDIT- ( I )

Berkelana ke rimba ilmu pada akhir minggu Sabtu dan Ahad menjadi sebahagian rutin saya untuk memenuhi masa lapang agar tidak terbuang. Rimba ilmu yang saya maksudkan di sini ialah kuliah-kuliah ilmu, seminar, wacana, kelas talaqqi, kem-kem penghayatan rohani dan jati diri, dan sebagainya. Sering kali saya bertanya kepada sahabat-sahabat sekiranya terdapat program-program sedemikian rupa dalam usaha menambah thaqafah kerana saya merasa semakin ‘jahil’ dan ‘dungu’ apabila berada di dalam kondisi lautan keilmuan yang bersifat ‘menjalar’ dan terus menata di persada alam buana. Benarlah ungkapan yang dilontarkan oleh Imam al-Syafi’i ketika menyelongkar rahsia menuntut ilmu, mafhumnya: “Setiap detik demi detik, aku menjadi semakin ‘jahil’ apabila menuntut ilmu yang tidak putus-putus berkembang”. Hal ini barangkali terjadi dan di‘nikmati’ oleh para pencinta ilmu kerana mereka sendiri menyelami lautan ilmu sekali gus menyedarkan hati mereka akan gugusan ilmu yang melimpah ruah. Berbanding dengan orang yang tidak memburu dan menghayati nilai keilmuan, barangkali kemanisan dan kesedaran menuntut ilmu tidaklah seberapa hatta mereka merasakan ilmu yang telah terpahat di dada mereka sudah mencukupi. Maka, teringat pula saya kepada suatu madah pujangga Arab yang mampu menggugah hati ini dan para pembaca sekiranya kita mencermatinya, iaitu:

من ظن أنه قد تعلم، فقد بدأ جهله...

Maksudnya:

“Barangsiapa yang merasakan dirinya telah terpelajar, maka sesungguhnya telah bermula kejahilannya (pada dirinya).”

Berbalik semula kepada rutin saya pada hujung minggu, kalau tidak pun saya mengikuti program-program sedemikian, saya sendiri yang menyampaikan pengisian sungguhpun saya bukanlah seorang yang petah berkata-kata, di samping berkongsi bersama-sama sahabat dan adik-adik di dalam program-program, sama ada menjadi fasilitator, atau pengkuliah dan seumpamanya sekiranya mereka memerlukan bantuan saya. Ini kerana, saya merasa semakin tenang apabila dapat menyampaikan ilmu kepada insan-insan yang memerlukan di samping berkongsi dan bertukar pandangan. Di samping itu, hal ini dapat menggalakkan saya untuk lebih menekuni ilmu dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan topik kuliah atau ceramah. Penyampaian tersebut juga secara tidak langsung dapat menambahkan kekuatan ingatan saya tentang ilmu-ilmu yang diperolehi sebelum-sebelum ini, ditambah pula dengan sifat saya yang suka berkongsi. Walau bagaimanapun, saya masih dalam proses belajar mencari pengalaman… Saya tidaklah fasih berkata-kata… Sahabat-sahabat sekalian, bimbinglah saya, berilah tunjuk ajar kepada saya, saya bersedia dan berusaha memberikan komitmen kepada kalian dalam menyampaikan risalah dakwah, sebagai pewaris mata-mata rantai perjuangan Rasulullah... Ya Allah, permudahkanlah urusan kami…

Sekiranya mempunyai kelapangan waktu di hujung minggu lantaran tiada program-program seperti yang saya nyatakan di atas, maka adakalanya saya berinteraksi dengan buku-buku yang pelbagai judul dengan berkunjung ke maktabah, kedai-kedai buku, dan pustaka. Terminologi erti maktabah menurut lidah Arab tidaklah menjurus kepada perpustakaan semata-mata, bahkan ia turut didefinisikan sebagai kedai-kedai buku. Kalau di ibu kota, antara kedai buku yang saya kunjungi ialah Pustaka Fajar dan Pustaka Mu’min yang terletak bedekatan dengan Masjid India. Namun, terdapat beberapa hal yang sedikit mendukacitakan saya, iaitu jualan kitab-kitab berbahasa Arab agak sukar ditemui, dan sekiranya terdapat jualan kitab-kitab Arab sekalipun, harganya agak mahal dan hanya boleh didapati di beberapa buah kedai. Pada pemerhatian saya, jualan kitab-kitab Arab tersebut hanyalah boleh didapati di dua pustaka iaitu di Fajar Ulung di Gombak dan di sebuah kedai yang terletak di Setapak. Sangat berbeza dengan bumi Mesir, yang mana jualan kitab-kitab Arab sangat bertimbun dan murah-murah belaka, malah harga kitab-kitab tersebut kira-kira tiga atau empat kali ganda lebih murah jika dibandingkan dengan kitab yang dijual di Malaysia. Tambahan pula, ia sangat mudah didapati ketika bersiar-siar di Hussayn, iaitu suatu kawasan deretan kedai kitab yang berdekatan dengan Masjid al-Azhar dan Universiti al-Azhar, Kaherah. Ini belum lagi menyambut kehadiran pesta buku antarabangsa (ma’rad al-Kutub) di Mesir, maka boleh jadi rambang mata saya dibuatnya disebabkan terdapat kitab-kitab yang pelbagai dijual, sedangkan duit saya tidaklah seberapa untuk membelinya. Saya tidak sempat menyambut ketibaan pesta buku antarabangsa tahunan di Mesir yang bermula pada setiap akhir bulan Januari, hanya saja saya mendengar buah mulut mengenainya daripada penuntut-penuntut Malaysia di sana... Pengalaman musafir saya dan pengembaraan ilmu di Mesir bersama rakan-rakan Universiti Malaya hanyalah kira-kira sebulan sahaja, iaitu dari 10 Disember 2008 hingga 7 Januari 2009.

Bercerita mengenai perpustakaan, pusat sumber, atau maktabah, saya sendiri sangat jarang berkunjung ke Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur kecuali ketika usia masih kecil. Pada waktu kecil, ayah saya sentiasa menghantar saya dan adik-adik ke Perpustakaan Negara hampir setiap minggu untuk menyemai minat membaca, manakala dia pula pergi bekerja. Sedangkan pada waktu itu rumah kami tidaklah begitu dekat dengan perpustakaan tersebut kerana rumah kami terletak di Selayang, Gombak. Saya masih ingat, usia saya pada waktu itu sekitar 9 hingga 12 tahun. Saya bukanlah seorang insan yang sering berkunjung ke perpustakaan melainkan ketika mencari bahan-bahan bacaan untuk penyelidikan, dan juga untuk meminjam buku sahaja. Hal ini kerap kali berlaku (jarang ke perpustakaan) lebih-lebih lagi setelah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) kehilangan perpustakaan APIUM yang dicintai. Lebih menyayatkan hati, perpustakaan Akademi Pengajian Islam sendiri runtuh dimamah tanah kesan daripada tanah runtuh di belakang bangunan API, dan hal ini mengakibatkan kira-kira 50% bahan-bahan ilmiah yang terdapat di perpustakaan tersebut rosak tertimbus dan hilang begitu sahaja. Kalau tidak silap saya, peristiwa ini berlaku pada akhir bulan November 2008. Begitu juga ketika musim peperiksaan, saya lebih selesa untuk mengulang kaji di meja belajar saya sendiri di rumah berbanding di perpustakaan…

Mengimbau kembali kenangan sewaktu di bumi Mesir, hati ini sangat teruja apabila melihat dua perpustakaan yang sangat besar, iaitu perpustakaan utama Universiti al-Qaherah, dan Perpustakaan Iskandariyah di utara Mesir. Perpustakaan Iskandariyyah dianggap sebagai perpustakaan terbesar di benua Afrika, dan apabila saya meninjau-ninjau khazanah ilmu yang terdapat di dalamnya, alangkah banyaknya maklumat yang mampu kita perolehi dari pelbagai bidang disiplin ilmu. Binaan bangunannya pula sangat unik dan bertingkat-tingkat. Tidak kurang juga halnya mengenai perpustakaan utama Universiti al-Qaherah, bangunannya sangat tinggi dan besar, kira-kira 7 tingkat. Hanya saja saya tidak sempat untuk memasuki maktabah universiti al-Azhar kerana keterbatasan masa dan juga saya tidak mempunyai kad matrik mahasiswa Universiti al-Azhar. Apabila memikirkan perpustakaan yang sememangnya merupakan gedung ilmu, saya teringat akan kisah yang diceritakan oleh saudara Wasif, rakan saya. Beliau mengatakan bahawa di Singapura, terdapat seorang pelajar yang sangat suka berkunjung ke perpustakaan Singapura sehingga tidak mengendahkan waktu untuk makan. Hal ini lalu membimbangkan kedua orang tuanya kalau-kalau kesihatannya terganggu. “Sehingga macam tu sekali…” Hati saya berbisik, dan saya hanya tersenyum mendengarkannya…

Sekiranya saya tidak kemana-mana dan hanya ber‘i’tikaf’ di rumah pada hujung hinggu, perkara yang menjadi rutin saya ialah membaca buku-buku dan kitab-kitab yang telah saya beli, dan juga menulis blog. Saya gemar mengumpul koleksi buku, sehingga saya memperuntukkan sebahagian wang saya untuk membelinya lebih-lebih lagi seusai kemasukan biasiswa ke dalam akaun bank saya. Perolehan wang universiti pada bulan Ogos yang lalu sebagai hadiah kecemerlangan telah saya borong untuk membeli kitab-kitab dan buku-buku yang sangat banyak. Namun saya turut bimbang kalau-kalau bahan-bahan ilmiah tersebut menjadi fitnah kepada saya… Maksud saya ialah saya hanya membelinya tetapi tidak membacanya, tidak mempraktikkan apa yang terkandung di dalamnya, serta tidak menyampaikannya kepada insan lain, lebih-lebih lagi ilmu-ilmu yang berkaitan tafsir al-Qur’an dan hadith… Saya sendiri masih belum khatam membaca terjemahan al-Qur’an, maka bagaimana mungkin saya mengetahui seluruh isi yang terkandung di dalamnya… Kalaulah terjemahan al-Qur’an pun saya belum khatam, apatah lagi kitab-kitab tafsir al-Qur’an dan kitab-kitab hadith kutub al-Sittah. Masih terlalu jauh… Saya gusar sekiranya saya tertipu dengan ilmu. Oleh itu, sekelumit ilmu yang saya perolehi daripada pembacaan turut saya kongsikan di dalam kuliah, usrah, penulisan, dan blog. Salah satu metode untuk membangkitkan keazaman saya agar tekun membaca di rumah ialah, saya akan membuka daun pintu almari buku saya yang terletak di kamar tidur saya supaya saya mengetahui dan menyedari bahawa masih banyak lagi buku-buku yang belum habis saya baca, sedangkan saya telah membelanjakan duit yang banyak untuk membelinya. Dalam sela-sela waktu membaca di rumah, sekiranya saya berasa jemu dan penat, maka mulalah saya menulis artikel dan blog dan meluahkan perasaan yang terbuku di lanskap jiwa.

Konklusinya, antara aktiviti yang saya penuhi pada hujung minggu dapatlah dibahagikan kepada tiga perkara. Pertama, mengikuti program-program sama ada mendengar pengisian atau menyampaikan pengisian serta pergi ke kedai-kedai buku dan maktabah. Kedua, menelaah buku di rumah. Ketiga, menulis artikel dan blog… BERSAMBUNG....

0 comments: