Nasihat daripadaku yang Serba Dhaif Buat Pemuda-pemudi Islam… (2)


1. Tawaqqufkan Sementara Cinta ‘ana & enti’, waqafkan diri pada cinta Rabbi…

Fitrah manusia inginkan hidup berkasih sayang antara satu sama lain. Perasaan cinta terhadap lelaki atau wanita ajnabi sememangnya akan hadir dengan sendirinya khususnya ketika usia menjangkau 20-an. Bagiku, aku berusaha melatih untuk tidak memikirkannya dalam tempoh tertentu yang tidak perlu kunyatakan di sini sehingga aku berjaya menggapai matlamat utama yang perlu disasarkan sungguhpun perasaan itu kan tetap menjelma. Aku juga tidaklah begitu arif mengenai hal yang bersangkut paut dengan kecintaan sesama manusia kerana aku bukanlah seorang yang berpengalaman, maka aku tidaklah ingin untuk menghuraikannya dengan panjang berjela. Begitu juga aku mempunyai pandangan tersendiri mengenainya. Hanya kugemar memetik ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith yang perlu dijadikan panduan oleh kita… Lalu aku lebih suka untuk menekankan ukhwah fillah, persahabatan, dan persaudaraan sesama manusia…


Sememangnya terlalu banyak ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadith-hadith Nabi s.a.w yang menyentuh perihal cinta dan kasih-mengasihi. Pada entri kali ini, suka kumemetik hadith-hadith tertentu untuk dijadikan `ibrah. Antaranya, hadith mengenai kemanisan Iman, iaitu:


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.


Maksudnya:


Daripada Anas bin Malik r.a daripada Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara yang barangsiapa melakukannya, maka akan mendapat kemanisan iman. (Pertama): Seorang yang mengasihi Allah dan RasulNya lebih daripada yang lain. (Kedua): Dan seseorang yang mengasihi seseorang yang lain, dan tidaklah dia mengasihinya melainkan kerana Allah. (Ketiga): Dan seseorang yang benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci akan dicampakkan ke dalam api neraka.


(Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad)


Maka, berdasarkan hadith di atas, cintailah Allah dan RasulNya melebihi yang lain, dan cintailah sesama insan kerana Allah, mudah-mudahan Allah s.w.t mencampakkan rasa benci di dalam hati kita untuk benci kepada kekufuran dan kemaksiatan…


Selanjutnya, aku ingin mengemukakan satu doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w iaitu:


اللهم إني أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِي إِلَى حُبِّكَ


Maksudnya:


Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu, dan cinta orang yang mencintaiMu, serta cinta terhadap amalan yang dapat mendekati aku kepada kecintaanMu.


(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Turut diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi – Hadith Hasan)


Buat sahabat-sahabat sekalian, marilah kita bersama-sama mengikuti sunnah Nabi dengan mengamalkan doa munajat cinta di atas. Di dalam mu`amalah pula, suka kumemetik satu hadith yang merungkai erti persahabatan sebenar iaitu:


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَجُلًا كَانَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ بِهِ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ هَذَا فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْلَمْتَهُ قَالَ لَا قَالَ أَعْلِمْهُ قَالَ فَلَحِقَهُ فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللَّهِ فَقَالَ أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ.


Maksudnya:


Daripada Anas bin Malik, sesungguhnya terdapat seorang lelaki berada di sisi Rasulullah s.a.w. Maka seorang lelaki lain telah melewatinya (lelaki tersebut). Maka lelaki tersebut berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku sangat mencintai dia (lelaki yang melewati)”. Rasulullah s.a.w kemudiannya bertanya kepadanya: “Adakah kamu telah memberitahunya?” Berkata lelaki tersebut: “Tidak”. Nabi s.a.w bersabda: “Beritahulah kepadanya”. Berkata Anas: Maka lelaki tersebut mengikutinya (lelaki yang melewati), dan dia berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah”. Maka berkata lelaki tersebut:“Sungguh Allah s.w.t begitu mencintaimu lantaran engkau mencintaiku keranaNya…”


(Hadith riwayat Abu Daud di dalam sunannya dan riwayat Ahmad di dalam musnadnya)


Justeru, aku menyeru kepada diriku dan sahabat-sahabiah sekalian agar meluahkan rasa kasih kita kepada insan yang kita kasihi. Begitu juga buat mereka yang menerima luahan cinta tersebut, maka doakanlah insan yang menyatakan rasa kasihnya itu seperti yang terdapat di dalam hadith di atas… Kasih dan cinta di sini ialah dalam erti kata membimbing mereka kepada cintakan akhirat, dalam menggapai erti taqwa sebenar seorang hamba. Memetik pandangan Ibn Kathir (tokoh ulama’ tafsir abad ke-8Hijrah) di dalam karya tafsir tersohornya, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, beliau telah mengulas pengertian taqwa, iaitu: “Mentaati perintah Allah dan tidak melakukan maksiat, mensyukuri segala nikmat yang dkurniakanNya, dan tidak berlaku kufur…”


Konklusinya, aku menghimpunkan beberapa rangkuman utama daripada hadith-hadith di atas, iaitu, hadith pertama memberi satu diskriptif yang jelas kepada kita mengenai justifikasi dan pemahaman cinta hakiki. Hadith kedua pula memberi pengajaran kepada kita tentang doa munajat cinta kepada Allah, manakala hadith ketiga pula memberi isyarat kepada kita tentang kaifiyat mu`amalat cinta.


1. Pemahaman hakikat cinta

2. Munajat cinta

3. Kaifiyat mu`amalat cinta


Mudah-mudahan nasihat di atas dapat memberikan kesedaran kepada diriku yang sering alpa dengan wisata cinta manusia yang adakalanya bermain di liang sukma… Aku enggan terpedaya… Maka, cintailah Ilahi, Dialah cinta yang hakiki… Kerana Dialah, kita memperoleh nikmat cintaNya yang diaganugerahkanNya, maka Dialah yang paling berhak untuk dicintai selama-lamaNya… Pastinya Tuhan akan melimpahkan cintaNya kepada hamba-hambaNya agar saling mencintai keranaNya...

Wa Allahu a’lam… Bersambung…

0 comments: