Titipan Warkah buat Sahabat-sahabat…

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh… Setinggi-tinggi pujian dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t, seuntai selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, dan juga kepada ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda… Warkah ini dikirimkan khusus buat sahabat-sahabat sekalian daripada ana yang serba dhaif bahkan sangat melimpah kekurangan yang terdapat pada diri ini… Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian… Ana mengambil kesempatan ini untuk berbicara melalui tinta ini tanpa kata, secara ringkas, namun mudah-mudahan ia dapat memberkas di jiwa lantas ia menjadi satu proses muhasabah buat kita dalam menyemai ukhwah yang tidak pernah pudar. Malah, boleh jadi, titik perkenalan dan persahabatan kita yang hakiki baru mula berputik di sini setelah kalian mengamati warkah ini. Kita tidak pasti sama ada dipertemukan Ilahi pada masa akan datang kelak… Kita tidak pasti sama ada apa yang akan berlaku pada peristiwa-peristiwa mentadang kerana hal-hal tersebut di dalam kunci rahsia keagungan-Nya. Barangkali juga ana akan pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu daripada kalian, lalu pemergian ana mudah-mudahan membawa pertemuan suci kita di taman syurga abadi… Justeru warkah yang tidaklah seberapa ini menjadi pengubat di hati di kala ana sudah tiada di sisi, apatah lagi tempoh untuk kita bersua semula di dunia tidaklah pasti entah kan bila…

Wahai sahabat-sahabat seaqidah sekalian… Penilaian erti sebuah persahabatan bukanlah diukur dari kaca mata tempoh kita bersama ataupun sifat luaran individu itu, akan tetapi sejauh manakah kita berjaya meruntun hati sahabat ini menjadi `ibadur Rahman yang sama-sama mengerti, memahami, lalu meredah erti perjuangan Islam hakiki. Kita berusaha membantu sahabat ini daripada tergelincir dengan tipu daya dunia, takhta, wanita; Kita menyemai roh Islam di dalam jiwa-jiwa ini agar menjadi pendokong al-Din; Kita menggarap selautan ilmu dengan sesungguhnya; Namun, kita tidak akan pernah melupakan dia untuk menelusuri bersama-sama berjuang di dalam medan ini, melalui fasa demi fasa tarbiah yang mendewasakan. Kita mampu menguntum senyum andai sahabat ini menjadi tiang yang utuh dalam membina mahligai kegemilangan Islam yang gah, lantaran berhasil membawa si dia bersama-sama kita menelusuri perjuangan menaiki bahtera bergelombang meski pertemuan ini seakan-akan sekelip mata. Kini, kalian memanjangkan permusafiran… Alhamdulillah… Namun, kita sedikit bersedih andai kalian pergi meninggalkan kita tanpa sebarang khabar berita, apatah lagi lalu meninggalkan mata-mata rantai perjuangan ini… Kesedihan yang adakalanya tidak tertahankan ini lalu menggenangkan air mata, menikam hati, menggetarkan jiwa, namun siapalah yang dapat membaca naluri hati yang sering berbisik ini melainkan si Dia, Sang Pencipta… Sesungguhnya, naluri hati tidak dapat berbohong… Justeru, kita bingkas bermunajat kepada-Nya agar dipertautkan hati-hati ini di keheningan malam hari di atas sejadah cinta… Menitis air mata gugur menyembah bumi… Sebak menerpa di rona-rona hati… Ia datang tanpa dijemput hanya kerana lahirnya keikhlasan di hati ini mengadu serta merintih kepada-Nya demi sebuah ikatan persahabatan yang tulen atas dasar perjuangan meninggikan kalimah-Nya… Sahabat-sahabat, fahamilah kemilau hati ini...

Duhai sahabat sehaluan sekalian… Apakan daya, sifat malu masih menebal di dalam diri ini lantaran kerana kerdilnya ana untuk berdamping dengan insan yang begitu hebat seperti kalian. Siapalah ana yang sering mengguris hati sahabat-sahabat di kala sedar atau tidak sedar, tidak menjalankan amanah dan taklifan dengan baik, dan sering bertangguh-tangguh melakukan pekerjaan. Siapalah ana yang tidak menepati masa, suka berbangga diri, dan gagal menyemai erti persahabatan dan ukhwah sebenar kepada sahabat-sahabiah. Siapalah ana dan siapalah ana yang begitu melimpah kelemahannya, ibarat pepasir di tepian pantai… Oleh hal yang demikian, persahabatan bukanlah dalam erti kata mencari sahabat yang benar-benar sempurna dan terbaik, tetapi persahabatan sebenar ialah menerima seadanya kekurangan yang terdapat pada sahabat itu lalu membimbingnya ke jalan yang benar, mengislahnya ke arah sinar Islam untuk digamit, saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, dan menutup keaibannya serta menjaga harga dirinya... Perhatikan dan hayatilah puisi di bawah:

Apabila kau ingin berteman,
Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan,
Kau mungkin akan menjauhinya....

Andai kau ingin berteman,
Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan,
Kau akan membencinya....

Andai kau inginkan sahabat yang satu,
Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu,
Kau mungkin akan memfitnahnya....

Andai kau inginkan seorang teman,
Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,
Kau mungkin akan menyalahkannya....

Andai kau ingin bersahabat,
Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat,
Yang hanya manusia biasa....

Jangan diharapkan sempurna,
Kerana kau juga tidak sempurna,
Tiada siapa yang sempurna...
Allah dan Para Rasul-Nya sahaja yang sempurna…


Maka…

Bersahabatlah kerana Allah…

Kelak… Bahagia hakiki kan hadir menjelma di jiwa…


~~Salam Ukhuwwah Fillah~~

Wahai sahabat-sahabat sehidup semati sekalian… Sebelum ana mengakhiri tinta bicara ini, harapan ana mudah-mudahan persahabatan kita tidak pernah luntur, sorotilah kembali kenangan dan perjuangan kita bersama, mudah-mudahan ukhwah kita kian bersemi lebih utuh dari sebelum-sebelumnya dengan kenangan berguna tersebut… Tuntutlah ilmu seoptimum mungkin, ikhlaskan niat lil Allahi Ta`ala mudah-mudahan kalian memperolehi ilmu yang berkat dan berguna. Pasakkan jati diri yang kukuh serta usah mudah terpengaruh dengan mana-mana doktrin tanpa penelitian terlebih dahulu. Semarakkan nilai-nilai `ubudiyyah pada diri kalian dengan sentiasa mengasah basirah agar ia mampu menikam dan menusuk kalbu yang tidak sunyi daripada gelumang noda dan dosa… Ya Allah, ampunilah kami… Moga-moga, kita menjadi pejuang yang thabat di dalam medan jihad… Wa akhiran, salam juang!

0 comments: