Sukar untuk kulupakan tika daku bergelar naqib… Aku agak sedih apabila tiada seorang pun di kalangan anak-anak usrahku yang berjaya kubimbing mereka dalam menyampaikan kefahaman Islam sebenar di dalam kesatuan jemaah, hatta setelah aku menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda di UM, aku masih gagal. GAGAL… Mungkinkah pendekatanku agak membosankan sehingga mereka kurang berminat untuk berusrah? Mungkinkah juga diriku ini bukan seorang yang mudah memahami jiwa adik-adik? Pelbagai andaian timbul di kotak fikiranku, mencari sebab musabab dari perspektif berbeza… Sering saja inspirasi hati ini berkomunikasi, alangkah baiknya sekiranya aku memperolehi anak-anak usrah yang cintakan ilmu, komited dan gemar berusrah, serta dahagakan pengisian tarbiah… Namun, Allah sahajalah yang Maha Berkehendak dan Maha Memberi Petunjuk. Qaddara Allahu wa ma sya’a fa’ala… Mungkin juga diriku ini hanya bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Hanya mengharapkan saja komitmen daripada adik-adik tetapi tidak kesampaian… Aku yang suatu ketika kerap melakukan usrah, tetapi jarang bermuhasabah… Hanya melaksanakan amanah, tetapi diri sendiri masih tidak mahu islah… Hanya mengejar silibus usrah, tetapi hati tidak mengikat ukhwah dan wehdah… Maka, aku masih hanya bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Masih tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Seterusnya aku mendambakan seorang naqib yang mampu mendidikku dan mentarbiah diriku. Namun, aku agak sedih kerana aku seakan tidak mempunyai naqib kini. Yelah… Ramai yang bertanggapan apabila seseorang yang telah bergelar naqib, maka dia tidak perlukan bimbingan naqib. Meskipun diri ini ditaklifkan sebagai naqib, sungguh aku masih memerlukan tarbiah dan bimbingan dari seorang murabbi..!! Namun, siapakah lagi insan yang memahami hati ini…? Abang-abang..!? Sahabat-sahabiah..!? Adik-adik..!? Tiada..! Tiada seorang naqib pun yang menghulurkan tangan, lalu menggenggam hatiku ini dari keciciran… Yang ada hanyalah suatu bentuk perbincangan akademik di kalangan sahabat-sahabat r.a di jabatan. Hakikatnya aku mengidamkan pengisian rohani dan haraki daripada seorang naqib atau murabbi... Usahkan adik usrah tidak kuberjaya mentarbiah, malah aku sendiri terpinga-pinga mengharapkan bimbingan naqib yang lebih senior, yang memahami kondisi hati… Kerana kuimpikan pentarbiahan yang meluluh hatiku yang telah keras akibat dipateri dosa bertimbun! Jiwa, hati, sanubari, naluri… Aku cuba berusaha bersungguh-sungguh menjadi naqib dan menjadi anak usrah yang komited, namun aku merasakan tiada siapa di kalangan warga ahli yang mengerti… Fahamilah gemuruh hatiku ini, wahai seluruh Ansorullah... Manik-manik air ini lalu membasahi pipi, tika melayari ruang muhasabah nafsi di malam yang sunyi… Betapa keras membekunya hatiku ini ya Allah...! Mungkinkah kukekal bertepuk sebelah tangan, hanya kerana idamkan naqib yang bersifat kejiwaan..?? Lalu, berlegarlah di fikiranku nama-nama insan tertentu…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Masih lagi tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Aku mengidamkan sebuah pentarbiahan sufi. Namun, hati ini sangat hina untuk melangkah masuk ke pintu gerbang ma’rifat. Aku hanya perasan sendiri menuju ke dimensi tersebut, tetapi kesufian semakin jauh meninggalkanku disebabkan oleh banyaknya kekotoran yang melekat di jiwaku. Sekali lagi kumenggantung impian setinggi langit membiru… Kusangat hajatkan bimbingan tarbiah wisata cinta abang-abang dan teman-teman, dalam menerokai kehidupan hakiki sebagai HAMBA, menyucikan jiwa yang kotor dengan najis dosa. Aku masih tersangat jahil dan gagal untuk memahami ilmu Hikmah yang termaktub di dalam kitab al-Hikam, karya Ibn `Ata’illah al-Sakandari. Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Perasaan `ujub masih menebal di dalam jiwa lantaran melihat kehebatan kedudukan universiti perdana di mata dunia. Tidak di mata agama… Kuhanya melihat sistem merit rekaan manusia, tidak menyingkap hikmah yang menitikberatkan persoalan syakhsiah beragama, praktikaliti melaksanakan tuntutanNya, yang menghimpunkan aspirasi dan falsafah keilmuan, dalam memahami laba berupa syurga, dan kerugian merupakan neraka… Astaghfirullah al-`Azim… Hati ini bersimpuh memohon taufiq dan hidayahMu ya Allah…
Aku masih lagi bertepuk sebelah tangan… Tidak memahami rahsia bicara Tuhan… Aku gagal menjalankan amanah Allah secara kamil dan sempurna, tetapi aku sangat mendambakan jauhari keredhaanNya. Walau bagaimanapun, kuyakin dan pasti bahawa aku tidak bertepuk sebelah tangan dalam memilih teman hidup seperjuangan… Aku tidak bertepuk sebelah tangan dalam percintaan Adam dan Hawa, kerana hatiku masih belum mengatakan Ya, dan kakiku masih belum melangkah ke dunia mihrab percintaan Islami manusiawi, kerana kumasih langsung tidak bersedia, dan kumasih langsung tidak ingin memikirkannya, melainkan setelah merentasi matlamat terdekat yang ingin kukotakan… Iaitu perjuangan di institusi pengajian menatang tinta ilmu kefaqihan… FATTAQUD DUNYA WAT TAQUN NISA’(Maka, takutkanlah dunia, dan takutkanlah fitnah wanita – mafhum hadith sahih dari kitab sahih Muslim, sunan al-Tirmidhi, dan sunan Ibn Majah)… Aku berusaha memadamkan permainan gelojak jiwa, kerana kupunya gagasan impian menyulam yang lebih utama. Hati ini ingin sekali melihat umat akhir zaman bersatu, namun realitinya aku sendiri seakan berada di pinggiran dan di persimpangan... Aku masih tidak mengerti akan diri ini. Siapakah aku..!? Mengobarkan semangat juang, namun aku yang kecundang… Perasaan sedih menyelubungi diri menikam hati. Wahai para muslimin, bersatulah atas panji La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasul Allah..! Usah berbalah sehingga berpecah-belah! Justeru, fahamilah rahsia bicara Tuhan, agarku kelak tidak bertepuk sebelah tangan lagi…
0 comments:
Post a Comment