ALANGKAH INDAHNYA…

Sudah sekian lama aku tidak memuatkan entri di dalam blogku. Ada saja fikiran ini dibelenggu dengan idea dan ilham yang pelbagai untuk ditafsirkan dalam bentuk untaian kalimah-kalimah penulisan, namun aku tidak punya masa untuk menukilkannya… Ikutkan saja, kalau dihitung-hitung, maka terdapat lebih 10 topik makalah yang ingin kukarang, antaranya:

1. Hembusan Sufi & Titisan Embun Pagi

2. Aku Bangga Menjadi Pelajar APIUM!

3. Kamar Rahsia ungkapan: Qaddara Allah wa ma Sya`a Fa`ala

4. Andalus

5. Perbezaan biografi ulama’ yang sering menjadi kekeliruan masyarakat – 1. Ibn Qayyim al-Jauziyyah/ Ibn al-Jauzi/ Ibn Juzzai, 2. Jalaluddin al-Mahalli/Jalaluddin al-Suyuti, 3. Ibn Rusyd al-Jad/ Ibn Rusyd al-Ab/ Ibn Rusyd

6. Tundukkan pandanganmu (ghaddul basar), celikkan basirahmu!

7. Tawaqqufkan sementara cinta ‘ana & enti’, waqafkan diri pada cinta Rabbul `Izzati…

8. Kalimah “Hikmah” yang memiliki hikmah!

9. Menyelongkar Rahsia Linangan Air Mata…

10. Apakah hati ini telah terkunci??

11. Bagai langit dengan bumi… Ya Rasulullah…

12. Biografi Para Ulama’ Tafsir al-Qur’an

13. Bedah buku: “50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh… Oleh Ust Dzulkhairi Md. Noor”

Semacam blog ini menjadi medan pena,ku menginterpretasi apa yang terpendam di hati, di samping mengkoreksi diri ini, sekali gus ia menjadi satu destinasi bagi penggemar-penggemar blog untuk berdakwah dan berdiskusi. Memang benar… Lazimnya bagi penuntut ilmu yang suka membaca, apabila tiba di suatu marhalah atau peringkat, hati-hati ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk berkarya dan mengarang. Maka sudah pastinya telah terbukti bahawa para cendekiawan-cendekiawan agama serta para sarjana tidak lekang dengan penerbitan karya-karya yang melimpah ruah lantaran sikap mereka yang ingin berkongsi ilmu serta melontarkan idea-idea baru yang terbuku di kalbu. Aku pernah berazam untuk menghasilkan beberapa buah karya buku untuk diterbitkan di pasaran sebelum umurku menjangkau 23 tahun, namun apakan daya, ilmu di dada ini masih terlalu cetek dan masa cukup terbatas. Kadang kala, pernah juga terlintas di jendela hatiku untuk berhenti daripada bekerja dan berprogram, lalu menumpukan perhatian kepada penghasilan makalah ilmiah, jurnal kehidupan, diari, cerpen, dan artikel tazkiatun nafs. Aku turut gemar menghasilkan artikel berbentuk tarbiah dan penyucian jiwa, namun tidaklah menggunakan gaya bahasa yang begitu tinggi dan berfalsafah sehingga sukar difahami oleh orang lain. Kecenderunganku dalam menghasilkan karya berbentuk kejiwaan ialah, aku gemar mengharmonikan dan mengadunkan versi di antara sufi dengan salafi, yang mana pendedahan mengenai penyucian jiwa tidak lari daripada konteks al-Qur’an dan sunnah… Begitulah pandanganku…

Pada entri kali ini, aku tertarik untuk mengulas persoalan DAKWAH. Namun kupasan ini bukanlah berbentuk fakta yang berat, akan tetapi aku ingin menyorot kembali pengalaman serta alkisah yang adakalanya kupendamkan ia sahaja di dalam benakku tanpa diluahkan. Ilham ini sering berlegar mencari ruang tinta untuk dilabuhkan, maka sedikit sebanyak kumelabuhkan ia di dalam entri kali ini. Kadang kala, aku menyendiri dan berfikir sendirian, merenung realiti kehidupan yang dilalui oleh insan-insan hari ini. Frasa ayat yang terkadang bersarang dan bermundar-mandir di fikiranku ialah, “ALANGKAH INDAHNYA…”. Maka apakah sebenarnya yang dimaksudkan? Fikiranku ini tidak lain hanyalah merupakan salah satu proses muhasabah buatku yang kerap alpa dengan pandangan nista yang membutakan hati. Aku meluahkan ia di dalam hati serta menimbulkan persoalan itu kepada diri sendiri, bertanya dan terus bertanya…

Sekiranya ungkapan tersebut hanyalah membuahkan angan-angan semata-mata, maka hatiku mengatakan “Tidak”. Namun, sekiranya ia merupakan satu cita-cita tertinggi buatku, maka hatiku masih berat untuk mengatakan “Ya” kerana aku sendiri masih tidak bergerak dan bertindak. Apa dia..? Aku berfikir bahawa ALANGKAH INDAHNYA sekiranya setiap manusia yang bergelar muslim menyedari bahawa mereka itu mempunyai peranan sebagai FARD AL-MUSLIM… Sekiranya mereka menyedari dan memahami nilai Islam, pastinya mereka akan berusaha memelihara Islam serta mendaulatkannya, kerana Islam merupakan gugusan nikmat terbesar yang dikurniakan Allah, maka pastinya Allah Maha Mengetahui bahawa Islam merupakan agama fitrah bagi sekalian manusia. Islam untuk semua… Aku melihat kepada batang tubuhku, menilai kembali sejauh manakah kefahamanku terhadap al-Din. Aku ingin melihat kegemilangan Islam, namun aku sendiri tidak melaksanakan perintah-perintah yang terkandung di dalam ajaran Islam secara sempurna… Masih banyak kekhilafan menggunung terdapat pada diri ini, akan tetapi sampai bila aku ingin bersikap sedemikian..? Menginsafi diri, merenung, dan berusaha memperbaiki diri, tetapi tiada usaha untuk membina roh-roh Islam di dalam jiwa masyarakat lain yang memerlukan. Maka, aku beranggapan bahawa sudah tiba masanya untuk aku berdakwah, seiring berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa… Bukan hanya semata-mata memperbaiki diri, kemudian mengabaikan tanggungjawab kepada mad’u yang pada hakikatnya berhajat menemukan kefahaman Islam di dalam pentas realiti kini. Bahkan dakwah perlu dimulakan semenjak kecil lagi. Bayangkanlah sekiranya sejumlah besar para da’i hanya memikirkan usaha untuk mengislah diri, maka siapakah lagi insan yang akan berhadapan dengan realiti..? Siapakah lagi yang akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan nur kebenaran. Kalau bukan kita, siapakah lagi yang memberikan kefahaman kepada mereka… Jawapannya kita... Seandainya hal tersebut berlaku, maka yang baik akan terus berusaha menjadi baik, dan yang jahat akan terus menerus menjadi jahat serta mereka kian terabai. Hal ini tidak mungkin berlaku, kerana Tuhan menjanjikan bahawa pastinya terdapat di sana satu kaum yang akan berusaha untuk melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan kaum yang terpilih tersebut… Hal ini telah termaktub di dalam surah al-Ma’idah, ayat 54:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54)

Maksudnya:

54. Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Aku berfikir kembali… ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita berjaya mendirikan BAIT AL-MUSLIM di kalangan ahli jemaah atas fikrah dan perjuangan yang jelas dan benar… ALANGKAH INDAHNYA sekiranya terbina MUJTAMA’ MUSLIM hasil daripada bait al-muslim yang kian berkembang… Dan ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita berjaya membina sebuah DAULAH ISLAMIYYAH yang padanya terdiri daripada masyarakat yang memahami Islam… Maka, aku berasa sungguh terharu dan gembira apabila kita berjaya mendominasi dewan parlimen dalam erti kata mentadbir negara menurut acuan Islam, dan aku sering mengingatkan bahawasanya Islam adalah untuk semua. Tiada unsur-unsur penindasan yang terdapat pada Islam, dan Islam sangat menekankan prinsip keadilan sejagat. Maka, ALANGKAH INDAHNYA sekiranya kita mampu meluaskan empayar Islam, mengembalikan semula peradaban Islam yang telah runtuh kepada kebangkitan semula Islam di seantero dunia, membina sebuah KHILAFAH ISLAMIYYAH daripada gabungan negara-negara Islam… Subhana Allah..! Dan hal ini tidak akan berjaya diriealisasikan melainkan kita perlu menyedari semula akan kepentingan berjemaah, di samping meningkatkan kefahaman yang jitu mengenai apakah tujuan kita berada di muka bumi yang sementara ini. Sesungguhnya, Allah s.w.t bersama-sama orang yang berjuang… Firman Allah s.w.t di dalam surah Muhammd, ayat 7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya:

7. Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

Hakikatnya, aku mengimpikan semua itu, tetapi aku sangat lemah… Entahlah… Aku masih tidak punya kekuatan untuk mencegah kemungkaran. Aku masih tidak berani menegur kesilapan orang lain, hanya semata-mata ingin menjaga hati mereka, sedangkan kemungkaran terpampang di depan mata…! Adakah hanya cukup sekadar benci di dalam hati, dan pasrah dengan selemah-lemah Iman di dalam diri..? Tanggapan itu sememangnya silap..! Aku perlu berusaha meletakkan diri di dalam ‘lembayung’ kemuliaan Allah s.w.t, sungguhpun aku berada di dalam ‘lembah’ kehinaan makhluk… Aku perlu berani, kuat, dan tabah… Sememangnya perasaan sedih menerpa di hati apabila melihat masyarakat terjerat dengan perangkap syaitan, melekakan, mendustakan, malah melelapkan roh mereka daripada menggapai nur keimanan… Salah siapa? Aku… Aku tidak menyampaikan dakwah kepada mereka… Aku tidak menegur kelalaian mereka… Aku hanya berdiam diri melihat perwatakan mereka… Sedangkan maksiat di depan mata… Lalu aku pula yang tertipu dan berdusta! Aku pula yang ‘terkesan’ dengan mereka, bukannya ‘memberi kesan’ kepada mereka… Aku pula yang ditegur, dan bukannya menegur… Aku punya banyak kesalahan… Namun, Engkau Ya Allah, mengingatkan daku melalui teguran orang-orang yang berdamping denganku… Alhamdulillah… Ya Allah, berikan ku kekuatan… Ampunilah dosa-dosaku… Kasihanilah daku… Allahumma adrikni… Kurniakanlah taufiq dan hidayah kepadaku dan kepada mereka agar berpegang teguh dengan agama-Mu…

Tuntasnya, kebangkitan Islam pada persepsiku memiliki hieraki tersendiri. Bermula dengan diri, kemudian keluarga, komuniti masyarakat, seterusnya negara, dan akhirnya membentuk khilafah. Inilah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna di dalam karyanya, Bingkisan untuk Pemuda Islam. Karya tersebut tidaklah begitu tebal, malah ringkas dan padat dengan maklumat, bersifat al-Jami’ wa al-Mani’. Sememangnya perlaksanaan dinul Islam memerlukan saff kepimpinan berkarisma dan berjiwa waja, tidak mudah goyah dengan sebarang ugutan, tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang menyekat dan mengganggu-gugat, dalam masa yang sama kita memerlukan ‘kuasa’ untuk mentadbir, iaitu ‘kuasa’ yang pada hakikatnya dipertanggungjawabkan oleh Allah di atas pundak kita… Nahnu fi al-Tafkir, wa Allahu fi al-Tadbir… Aku yakin dan percaya, persoalan “ALANGKAH INDAHNYA…” ini akhirnya dapat terlaksana seandainya kita memahami erti perjuangan dan kehidupan sebenar kita sebagai HAMBA dan DA’I di muka bumi. Untuk akhirnya, daripada penghuraian dan kupasan di atas, aku merangkumkan perbincangan tersebut dengan menghubungkan ia kepada suatu hadith nabi s.a.w yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَّرَ اللَّه وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Dan pada setiap kebaikan, berusahalah kepada apa yang memberikan manfaat ke atas dirimu, dan mintalah pertolongan Allah dan janganlah lemah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau mengatakan: “Sekiranya aku melakukan begini, maka akan jadi begini”, akan tetapi katakanlah, “Sesungguhnya Allah telah menentukannya, dan apa yang dikehendaki-Nya, Dia lakukannya”. Sesungguhnya (sekiranya manusia mengelu), hal tersebut membuka amalan syaitan (agar manusia berpaling daripada ketentuan Allah).”

(Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, dan Ibn Majah di dalam Sunannya – Hadith Sahih)

Daripada hadith di atas, dapat diambil istinbat bahawa kita perlulah menjadi individu yang kuat jasmani dan rohani, bersungguh-sungguh melakukan kebaikan, memohon pertolongan kepada Allah s.a.w, bersabar di atas ujian yang menimpa, tidak merungut tentang perkara yang telah lalu, redha dengan segala ketentuan-Nya, tidak mengungkit peristiwa yang telah terjadi dengan ungkapan ‘kalau’ dan seumpamanya, dan sebagainya…. Maka, merujuk kepada hadith di atas, kumengambil kesempatan ini, menyeru kepada sahabat-sahabiah sekalian agar melazimkan lidah menyebut qaddara Allah wa ma sya’a fa’al apabila ditimpa sesuatu perkara yang tidak diduga, sesungguhnya setiap ujian pasti ada hikmahnya tersendiri… Wa Allahu A’lam…

0 comments: