Tiada Hari tanpa Perjuangan


Tika menghayati lirik nasyid yang dialunkan oleh kumpulan Nada Murni, memori ini menguak nostalgia lalu lantas ia membangkitkan kesedaran pada diri mengenai pengorbanan yang dicurahkan oleh para pejuang fi sabilillah… Maka, apakah pula pengorbanan dan sumbangan kita untuk Islam..?? Memandangkan aku memiliki CD nasyid Nada Murni, adakalanya aku meluangkan masa mendengar dua lagu nasyid hasil gubahan lirik kumpulan nasyid tersebut ketika memandu di dalam kereta, dan lirik dan melodi dua nasyid tersebut sangat menggamit kalbuku…

Sunnah Berjuang

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid..

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan RasulNya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, tegang silih berganti
Inilah sunnah..Orang berjuang..

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga

Berjuang memang pahit..
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang..

Sunnah Orang Berjuang

Sudah sunnah orang berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri..

Biasanya para pejuang
Rumah mereka merata-rata
Rezekinya tidak menentu
Tidur baringnya tak berwaktu..

Orang lain membuat harta
Tapi dia ‘membuang’nya
Orang lain kawan terbatas
Tapi pejuang kawan merata..

Orang lain musuhnya kurang
Pejuang musuh tidak terbilang..

Sudah sunnah orang berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri..

Tidak kurang yang sayang padanya
Orang lain mati dilupa
Para pejuang tetap dikenang
Sejarahnya ditulis orang
Makamnya sentiasa diziarahi
Walau perjuangan tak berjaya..

Sudah sunnah orang berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri..

Sudah sunnah orang berjuang…

Hari-hari adalah perjuangan. Perjuangan dalam menimba ilmu, perjuangan dalam gerak kerja Islam, perjuangan dalam bertaqarrub kepada Allah s.w.t, perjuangan dalam muamalat sesama insan, perjuangan bersahsiah dan berbudi pekerti mulia, dan lain-lain… Semoga berhasil menyerap roh dan semangat perjuangan demi Islam! Takbir!

Perkongsian Jihad Keilmuan, dan Beberapa Untaian Tausiah…

Kegembiran kan terpancar seandainya kita berhasil menggamit kejayaan cemerlang di dalam lapangan kehidupan, antaranya di bidang akademik. Sewajarnya kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t atas limpahan rahmat, cinta-Nya dan juga kurniaan-Nya berupa kejayaan cemerlang tersebut, dan hanya kepada-Nya jualah disandarkan segala kesyukuran, kecintaan, dan puji-pujian… Alhamdulillah Rabb al-`Alamin…

Walau bagaimanapun, apabila ditinjau dari spektrum yang berbeza, perasaan waspada dan sedikit gusar perlu juga diputik kembali, kerana secebis kejayaan tersebut pada hakikatnya menjadi suatu hambatan mehnah dan tribulasi buat kita. Justeru apabila menatap kembali, kejayaan yang dianugerahi Ilahi ini merupakan satu bentuk isyarat daripada-Nya, betapa sesungguhnya kita seharusnya menjunjung amanah agama, dan juga memelihara kemilau jiwa dari dicalari sifat mazmumah, dalam menjejaki sebuah pengabdian yang hakiki tika melangkah kaki meniti layar kehidupan, demi mengisi kemenangan sebenar bertemu Tuhan.

Pada entri kali ini, saya ingin menguak perbincangan mengenai aspek genggaman kejayaan di samping menitipkan beberapa perkongsian dan tips Talib al-`Ilmi yang berjaya. Memandangkan kebanyakan sahabat-sahabat sedang di ambang musim peperiksaan, suka saya memberikan beberapa taujihat dan perkongsian kepada sahabat-sahabat sekalian mengenai beberapa rahsia kejayaan seseorang individu muslim. Terdapat beberapa faktor teras yang mampu menyumbang kepada kejayaan seseorang berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, iaitu…

Sematkanlah di dalam minda dan hati kita akan kalimah indibat. Kalimah yang sering berlegar dan masih segar di kotak minda saya ialah indibat (disiplin/akhlak seorang muslim) setelah saya mengikuti beberapa siri usrah dan halaqah bersama Naqib saya. Elemen indibat ini pastinya sangat ditekankan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam mengorganisasi dan memobilisasi gerakan Islam terpadu al-Ikhwan al-Muslimun, lalu hal ini telah membuahkan momentum jitu kepada batang tubuh saya dalam rangka untuk menerobos kejayaan sebenar sebagai akh al-Muslim dan Talib al-`Ilm. Faktor indibat dalam segenap penjuru apatah lagi pengurusan waktu justeru sangat perlu kita tekankan, khususnya ketika fasa-fasa minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan.

Faktor berikutnya yang menjadi wadah terpenting kepada kejayaan seorang Talib al-`Ilmi ialah aspek kebergantungan serta hubungan kita kepada Allah s.w.t. Saya begitu optimis, dengan mempergiatkan nilai-nilai `ubudiyyah seperti melaksanakan qiamullail, bermunajat kepada-Nya serta melahirkan rasa perhambaan yang sebenar-benarnya melalui bisikan hati yang tulus, pastinya Dia Maha Mendengar dan memperkenankan segala permohonan kita. Dalam pada itu juga, aspek fundamental agama dan pentarbiahan rohani juga tidak harus dikesampingkan bagi menempa kejayaan sebenar seperti solat lima waktu secara berjemaah di awal waktu, berpuasa sunat, membaca al-Qur’an, dan sebagainya, kerana ia merupakan nadi penyuburan kemilau jiwa seorang muslim.

Faktor seterusnya yang tidak kurang mustahaknya ialah kecintaan kepada ilmu, beramal dengan ilmu, serta cinta kepada para ilmuan Islam. Saya begitu teruja apabila menyoroti kembali lembaran sirah Baginda s.a.w, dan juga catatan biografi para cendekiawan dan kesarjanaan Islam yang sungguh mengagumkan. Himpunan karya-karya biografi tersebut mampu memberikan nafas baru buat saya sehingga adakalanya saya menitiskan air mata ketika menyelami potret sejarah permusafiran dan kegigihan mereka dalam memperjuangkan ilmu dan amal. Sesungguhnya mereka berjihad, dan telah mengusung panji Ilahi bagi memastikan kesejahteraan ummah di hari muka tanpa menagih sebarang ganjaran sekalipun, dan hari-hari yang dikemudi oleh mereka merupakan liku-liku perjuangan yang begitu bermakna buat mereka. Hal ini sekali gus menjadi satu pemangkin semangat buat kita semua untuk mencontohi mereka, lantaran deklarasi umat sejagat terhadap mereka sebagai sumber inspirasi dan ikon terunggul.

KEIKHLASAN merupakan penanda aras terpenting terhadap penuntut ilmu bagi mengecapi kejayaan hakiki kerana ia merupakan satu medium teras kepada kelangsungan keberjayaan kita dalam sesuatu tindakan mendatang. Bermula pengorakan langkah ke alam universiti ketika di tahun satu pengajian, kita seharusnya telah menyulam tekad dan memahat beberapa visi yang realistik untuk digarap. Bagi menyuburkan rasa ikhlas dan kegigihan sebagai seorang mahasiswa Islam, kita perlulah berusaha menanamkan minat yang optimum terhadap sesuatu kursus yang dipelajari dan juga mendekati para pensyarah dengan mewujudkan sesi diskusi. Sikap pro-aktif serta berpartisipasi dalam kuliah dan tutorial perlulah juga dijana. Ternyata ia berupaya menghadirkan keikhlasan di jiwa kita dan juga menimbulkan keghairahan (الحـرص) dalam menimba ilmu Allah yang sangat luas terbentang.


Perlu diingat bahawa ibu bapalah merupakan dua individu yang mengundang erti yang paling besar buat diri seseorang individu kerana mereka merupakan dua insan yang paling akrab dengan kita, memainkan peranan sebagai murabbi dan murabbiah, memberikan sokongan dan dorongan padu kepada anak-anak untuk menjadi seorang insan yang soleh dan bertanggungjawab, mahasiswa yang cemerlang dan berwawasan, dan sebagainya. Titipan doa mereka bagi kecemerlangan kita pada hakikatnya merupakan suatu untaian madah yang tidak ternilai buat kita semua yang akan mempertemukan kita ke gerbang kejayaan di bidang akademik. Maka, doakanlah kesejahteraan mereka… Kita juga perlu mengenang dan menghargai sokongan, dorongan, dan dokongan yang digembleng di peringkat sahabat-sahabat dan saf kepimpinan PMIUM, yang mampu membina kader-kader yang idealis dan kental untuk mengharungi badai yang menerjah. Begitu juga para pensyarah APIUM yang tidak putus-putus menyampaikan ilmu, justeru jasa dan pengorbanan mereka perlulah kita hargai.

Buat sahabat-sahabat sekalian, marilah sama-sama kita berusaha menyoroti kembali sirah Nabi s.a.w, membaca sejarah dan menyingkap biografi ulama’ besar seterusnya menyerap kembali roh dan semangat perjuangan mereka dalam menimba ilmu pengetahuan dan thaqafah. Nyatanya, golongan mujahidin dan intelektual ini tidak pernah lekang menebarkan sumbangsih mereka bagi pembangunan ummah dan anggota masyarakat, menghasilkan karya-karya besar yang berjilid-jilid, serta unggul dalam segenap lapangan kehidupan. Sewajarnya kita bukan hanya sekadar mengikuti sesi kuliah dalam pengajian, bahkan kita perlulah berganding bahu bagi mewujudkan kondisi segar pemugaran budaya ilmu dan juga melestarikan bi’ah solehah. Kitalah yang akan menjadi duta-duta APIUM dan ISLAM, membawa misi dakwah ke serata kampus khususnya, serta menjadi jurubicara ummah secara amnya. Fikirkanlah, dan usahakanlah… Ke arah melahirkan ulama’ al-`Amilin.

Dalam pada itu juga, kita juga seharusnya melibatkan diri secara aktif di dalam seminar-seminar dan wacana ilmu, usrah dan halaqah, kem-kem pembinaaan sahsiah dan qiadah dan seumpama dengannya. Justeru, kejayaan di dalam bidang akademik seharusnya dipacu seiring dengan kepimpinan jati diri bagi melahirkan mahasiswa yang produktif. Sama-samalah juga kita berusaha ke arah memiliki sahsiah mahmudah seperti menghormati pensyarah, memuliakan ilmu pengetahuan, dan sebagainya. Secara tidak langsung, pancaran akhlak yang bersinar di bening hati akan menatijahkan indibat seterusnya ia bakal menjadi tali penghubung kepada mutiara kejayaan sebenar kita dalam bidang akademik. Usahlah meranapkan ke`izzahan APIUM dek hanya kerana akhlak mahasiswa APIUM yang semakin merudum.

Ledakkanlah usaha dan perjuangan menimba ilmu dengan bertaqarrub kepada Allah s.w.t., di samping mengisi hati sebelum ia mati dengan zikrullah. Janganlah sesekali kita mengabaikan taklifan kita kepada Pengurnia ilmu, yakni Allah s.w.t. Bangunlah malam pada setiap hari khususnya ketika hari-hari peperiksaan, dan berpuasa sunatlah, maka Insya Allah, kejayaan bakal menjadi milik kita bersama. Ambillah masa merenungi fenomena alam dan penghidupan kita di dunia yang fana, maka kita akan menyedari bahawa kita sedang menggalas amanah yang begitu besar yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Melalui penelitian dan pentaakulan terhadap fenomena alam, percayalah bahawasanya kita akan menyaksikan kebesaran Maha Pencipta serta memahami bahawa segala macam penciptaan-Nya tidaklah sia-sia.

Buat akhirnya, marilah kita mendoakan kejayaan bersama di dalam akademik dan juga di dalam segenap aspek kehidupan. Mudah-mudahan, APIUM berupaya memprodukkan graduan-graduan yang berkualiti tinggi seterusnya berupaya membina suasana persekitaran keintelektualan yang kondusif. Saya akhiri dengan ungkapan keramat buat sahabat-sahabat semua: Salam kecemerlangan dan perjuangan! Bi al-Tawfiq wa al-Najah! Mudah-mudahan kejayaan milik kita bersama, Amin…

Resipi Membuahkan Kemanisan Perjuangan Akademik

Salam Imtihan buat sahabat-sahabat yang kini sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Saya yakin dan percaya bahawa semua insan mengimpikan kecemerlangan dalam segenap bidang kehidupan, antaranya di bidang akademik. Justeru, saya mengambil kesempatan pada entri kali ini untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian apakah pelan tindakan kita ketika fasa minggu peperiksaan bagi menerobos kejayaan dalam melangkahi kehidupan. Maka, pelan tindakan ini dikongsikan secara khusus dari perspektif syariatullah dan keteguhan jiwa pada hari-hari peperiksaan:

1. Pada jam 4.45 pagi, lakukanlah:

-Qiamullail: (sekurang-kurangnya)

-Solat sunat Tahajjud

-Solat sunat Tawbat

-Solat sunat Witir

-Wirid dan doa munajat

-P/S: Qiamullail adalah ubat pengukuhan jiwa, untuk menghadirkan ketenangan berfikir dan bertindak.

2. Pada jam 6.15 pagi, selepas solat Subuh, sekurang-kurangnya lakukanlah:

-Membaca Surah al-Fath (Mudah-mudahan Allah membuka kefahaman kita sebagai cerminan kepada erti “pembukaan” surah al-Fath.

-Membaca al-Ma’thurat

-Doa munajat

3. Ketika memasuki dan menduduki peperiksaan di dewan peperiksaan, sekurang-kurangnya lakukanlah:

-Berwudhuk sebelum memasuki dewan peperiksaan.

-Langkah ke dalam dewan dengan kaki kanan.

-Berdoa sebelum menjawab soalan dengan membaca sekurang-kurangnya:

- Ayat seribu dinar

- Surah al-Nasyr

- Mendoakan kesejahteraan kepada para pendidik

- Mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa

- Selawat ke atas Nabi s.a.w 10 kali

- Doa tawakal

-Ketika terlupa jawapan kepada soalan, banyakkanlah berselawat. Sekiranya tidak ingat jawapan tersebut, tinggalkanlah soalan tersebut buat sementara waktu dan jawab soalan berikutnya bagi memanfaatkan setiap detik masa yang ada. Kemudian, kembali semula kepada soalan tersebut dan banyakkanlah berselawat. Insya Allah point-point yang terlupa akan dikembalikan semula oleh Allah s.w.t. dan akan dipermudahkan untuk menjawab.

-Sebelum menyerahkan kertas peperiksaan, berdoalah dengan doa tawakal yang ringkas.

-Keluar dewan peperiksaan dengan langkah kaki kiri.

4. Tips umum ketika melewati hari-hari peperiksaan:

-Berpuasa sunat pada setiap hari peperiksaan.

-Berwudhuk ketika menelaah dan mengulangkaji pelajaran.

-Ikhlaskan niat ketika mengulangkaji pelajaran kerana Allah Ta’ala, juga ketika melakukan pengabdian diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah Ta’ala, dan juga ketika melakukan sebarang aktiviti, agar memperoleh keberkatan dalam setiap usaha. Lakukanlah setiap amalan kerohanian dengan penuh kesungguhan, kekhusyukan, dan ketawadhukan…

-Latihlah diri supaya menekuni ilmu, mengulangkaji pelajaran serta mengingatinya sekurang-kurangnya 9 jam dalam sehari.

-Elakkan berbual kosong, kerana berbual kosong sedikit sebanyak akan meluputkan perkara-perkara yang diingat.

-Lakukanlah ibadah melalui bicara hati, bukan melalui tindakan luaran semata-mata… Berdoa dan menghinakanlah diri kepada Pencipta dengan sesungguhnya… Amat rugilah bagi mereka yang melakukan ibadah yang berganda-ganda sebesar gunung, tetapi memiliki hati yang kosong, kerana mereka menilai kepada kuantiti ibadah, dan tidak melihat kepada kualiti ibadah... Ibadah sebenar adalah melalui penyuburan jiwa dan ketulusan hati yang menghadirkan ketenangan dan kedamaian hakiki, dan bukan melalui banyaknya amalan lantaran tiada kekhusyukan dan tumpuan kepada al-Rahman…

-Tidur malam sebelum jam 1 pagi, dan pastikan tidur tidak kurang 4 jam secara terus pada waktu malam.

-Lakukanlah qailulah kira-kira 1 jam sekiranya mempunyai kelapangan masa pada waktu siang. (Cadangan: Tamat peperiksaan pada jam 1.30 tengah hari, kemudian solat Zuhur, dan seterusnya lakukanlah qailulah sehingga jam 2.30 petang). 1 jam qailulah yang berkualiti pada waktu yang sesuai menyamai 3 jam tidur pada waktu malam! (Sumber: Majalah Solusi isu 15)

-Peliharalah keberkatan ilmu dan pendidik. Elakkan meninggalkan nota di merata tempat khususnya di sayap-sayap dewan peperiksaan.

-Semakin kita memahami tujuan menuntut ilmu dan kehidupan, semakin itulah dipermudahkan segala urusan bagi menempa kejayaan. Kejayaan bukanlah dilihat kepada kemegahan dan kelulusan Ph.D, master, ijazah, dan juga bukan dilihat kepada tingginya pendapatan bulanan, tetapi kejayaan sebenar lahir dari ketenangan di jiwa dalam memahami tujuan hidup di dunia dan perjuangan..!

Buat sahabat-sahabatku, semoga kalian beroleh kecemerlangan dalam segenap bidang yang dicitakan. Tenangkan hati, damaikan jiwa dengan bertaqarrub kepada-Nya… Insya Allah kejayaan hakiki bakal kita dakapi… Kalaupun adakalanya kita tidak beroleh keputusan yang memberangsangkan, maka yakin dan percayalah bahawa nikmat kemanisan menuntut ilmu lillahi Ta’ala pasti dapat kita garap bersama, kerana merit dan pointer bukanlah menjadi ukuran sebenar keberjayaan insan dalam pengajian… Kerana hakikat penghidupan bukanlah bermatlamatkan pointer dan PNGK, tetapi mentatbiqkan keilmuan itu adalah lebih utama dalam merentasi potret kehidupan sebagai hamba... Salam Perjuangan fil Imtihan... Ma’a tamniyati bi al-Tawfiq wa al-Najah…!