Monolog Engkau dan Aku, Semua itu Didengari Allah..!

Di suatu ketika, al-Imam al-Syafie tidak putus mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak dua kali dalam sehari, namun engkau pula masih berkira-kira untuk mentadabbur al-Qur’an walau hanya sehelai sehari… Di suatu ketika, al-Imam al-Ghazali tidak lekang mengarang kitab sekurang-kurangnya 6 halaman dalam sehari, engkau masih berkira-kira untuk menulis sesuatu ilmu dalam satu perenggan saja untuk dikongsikan bersama hanya kerana nafsu menguasai. Ketika mana al-Imam Hasan al-Banna mengorak langkah serta menyemarakkan obor semangat para pendiri gerakan Islam dalam setiap DETIK waktunya, engkau masih berkira-kira untuk melaksanakan hanya sekelumit amal Islami yang ditaklifkan oleh jemaah. Tatkala semboyan jihad ditiup dan rebana dipalu oleh Sultan Muhammad al-Fateh dalam delegasi Islam menawan Konstatantinople ketika usianya yang begitu muda, 22 tahun, bersama lebih 250 000 mujahidin, engkau yang kini hampir menginjak 24 tahun masih berkira-kira dan bersambil lewa untuk mentarbiah hanya 5 atau 6 orang ahli sahaja dalam kelompok usrah. Ketika al-Imam Sa`id Hawwa, seorang murabbi sufi haraki memasakkan elemen ruhiyyah serta pengamalan tazkiyatun nafs buat kader dakwah di dalam suatu iklim ihya’ al-rabbaniyyah, berqiamullail, membaca al-Qur’an 1 juzuk sehari, membaca ma’thurat, mengikuti kuliah ilmu, amar makruf nahi mungkar dan sebagainya, alangkah malangnya engkau masih ketiduran di malam hari, menonton TV, berbual kosong, serta mendabik dada kononnya sempurna segala sisi. Alangkah malunya..!!! Malu… Atau engkau masih berkhayal..? Masih buta mata hati? Masih tuli? Masih enak dibuai nafsu..?

Astaghfirullah al-`Azim… Aku ingin bermujahadah ya Allah, tetapi aku sering alpa, dan kumenyedari bahawa mujahadahku itu masih begitu kecil sekali…. Justeru, berikanlah daku kekuatan ya Allah… Ingin sekali daku menjejaki warisan para anbiya’, ilmuwan Islam, ahli harakah lalu sebaris dengan mereka… Ingin sekali daku menggarap permata-permata tarbiah hakiki dari-Mu, agar roh tarbiah rabbaniyyah ini sentiasa mengalir dan meresap ampuh di segenap jasad dan rohku… Tiadalah sesuatu itu diciptakan melainkan ia kelak dikembalikan jua kepada-Mu. Aku begitu perlukan kekuatan dan himmah..! Ya Tuhan… Aku sangat memerlukan seorang srikandi sufi yang bernama “tadhiyah”. Aku sangat berhajat kepada seorang teman seperjuangan yang bernama “jihad”. Ya, tadhiyah dan jihad, dua unsur yang berupaya merobah dimensi kehidupanmu… Engkau kini begitu teruja untuk menguasai Bahasa Arab. Demikian juga dengan pembacaan kitab tafsir 30 juzuk serta buku-buku gerakan. Engkau diuji dengan ruang lingkup pengajian al-Qur’an yang berhajat kepada hafazan 30 juzuk al-Qur’an. Sungguh engkau begitu teruja sekali untuk mengapainya… Namun, perasaan itu masih belum bisa untuk merealisasikan hajatmu melainkan engkau perlu bertindak seiring dua unsur itu… Lisan al-Hal Abqa min Lisan al-Qawl…

Suatu hari, tatkala engkau meniti baris-baris ayat berserta tafsirannya dalam kitab tafsir al-Asas fi al-Tafsir karangan Sa`id Hawwa, dadamu tidak semena-mena berkocak kencang, bulu romamu meremang, hatimu tersentuh, lantas engkau memejamkan matamu seketika… Pejam dan terus pejam… Engkau mentadabbur bisikan sirr dari Tuhan… Engkau mengembara di suatu alam kemanisan dan kelazatan tidak bertepi meski engkau berseorangan dalam kegelapan… Engkau mengintai-intai pancaran nur keimanan dalam permusafiran tika itu… Tidak juga ketemu cahaya itu, namun engkau merasai kehangatan pancaran itu, engkau merasai getarannya, engkau merasai sentuhannya... Bukanlah ia berlegar di minda dan khayalanmu, akan tetapi tidak lain hanyalah berputik di lubuk kalbumu… Allah… Allah… Allah… Subhana Allah… Alangkah manisnya segala tuturan hikmah itu tika itu… Lalu menitislah air matamu…

Segera saja engkau menitip sistem pesanan ringkas kepada seseorang yang begitu engkau hormati sosok keperibadiannya serta kepimpinannya… Langsung beliau membalas: “Seronok dapat mendengar suara gembira enta… Apapun, kata Allah, bacalah, dengan nama Allah yang menciptakan…” Engkau begitu terharu… Begitu tersentuh dengan buah bicara azimat itu, menjadi rangsangan buatmu untuk terus membaca dan membaca… Begitulah rahsia bicara ayat Allah yang pertama sekali diwahyukan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. Begitulah rahsia ruh al-Qalam menerusi surah al-`Alaq ayat 1, kata Allah:

اقرأ باسم ربك الذي خلق

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…!"

Sungguh indah bicara-Mu wahai Tuhan…. Subhana Allah………….. Alhamdulillah………….. Allahu Akbar……………..



~ribbiyyun~

Selasa, 18/1/2011,

9.01 pagi,

Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith,

APIUM KL

IKLAN PENTING...! SILA BACA!

Center of Quranic Research (CQR), UM akan menganjurkan Seminar al-Qur'an Tahunan peringkat Antarabangsa (MUQADDAS) pada 11-12 Januari 2011 di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia, jam8.30 pagi-5.00ptg. Lebih 160 kertas kerja yang akan dibentangkan oleh barisan ahli akademik dan para alim ulama' dari seluruh universiti dunia dalam membongkar rahsia al-Qur'an (Nisbah pembentang luar negara: pembentang tempatan, 5:3). Luar biasa! Seminar al-Qur'an peringkat antarabangsa yang JULUNG-JULUNG kalinya diadakan di Malaysia serta mendapat liputan media antarabangsa. Dipersembahkan juga bacaan tilawah al-Qur'an yang akan diperdengarkan oleh Johan Qari Malaysia/Naib Johan Tilawah al-Qur'an peringkat Antarabangsa 2010 pada hari perasmian seminar, Selasa, 11 Januari, 11pagi-12.30 tgh hari... Datang jangan tak datang..!



Unit Perasmian dan Protokol,
Seminar MUQADDAS
##ribbiyyun##

Si Dia yang Aku Kenal, Si Dia Itulah Si Dia..

Corak pemikiran kritis merupakan anugerah Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Terdapat beberapa andaian dan hipotesis akan dibuat setelah melihat sesuatu objek yang diobservasi, apatah lagi ia diperhatikan oleh ramai pihak yang mempunyai pelbagai latar belakang gaya berfikir. Kepelbagaian gaya berfikir dari pelbagai manusia melahirkan kepelbagaian idea dan pandangan dari pelbagai perspektif. Perspektif yang pelbagai dalam lapangan minda merupakan suatu anugerah Tuhan yang cukup bermakna bagi manusia yang berakal, dan inilah keunikan dan keistimewaan akal manusia yang tidak terdapat pada makhluk yang lain. Subhana Allah, Maha Suci Tuhan yang menganugerahkan akal fikiran… Selanjutnya, idea yang bernas dari pelbagai angle lalu dinilai untuk diputuskan menerusi sistem syura, dan pastinya ia menatijahkan suatu paduan perencanaan yang terbaik berbanding hasil cetusan fikiran seorang individu sahaja. Sekiranya ia dilaksanakan secara tersusun dan harmoni, maka natijahnya pasti lebih menguntungkan berbanding mengambil jalan bersikap individualistik. Namun, seandainya amal jama`i ke arah lontaran idea disalahertikan dan tidak digembleng secara harmonis, maka proses penghasilan natijah menjadi semakin rumit dan parah, membuang masa, malah proses tersebut tidak lain hanyalah seolah menangguk mudarat yang lebih besar.

Aku tidaklah ingin berceloteh panjang lebar mengenai pemikiran kritis yang terbina dari pemerhatian pelbagai perspektif. Sememangnya apa yang kutulis ini juga mungkin saja diandaikan oleh pelbagai pihak yang mempunyai dimensi pemikiran yang berbeza, mungkin ada saja andaian dan kesimpulan pelbagai yang bermain di kotak minda kalian hasil daripada pembacaan artikel ini… Hanya saja kusentuh aspek ini adalah sebagai muqaddimah yang mempunyai kesinambungan kepada tajuk perbincangan. Mengenai “Si Dia yang Aku Kenal”. Si dia yang aku kenal, maka ternyata kumemerhatikan si dia dari dimensi mindaku. Aku berusaha memerhatikan si dia dari pelbagai sudut, agar tidak mudah kumenghukum sedang mungkin ada saja aku yang salah barangkali. Mungkin benar, mungkin salah, wAllahua’lam. Aku berpandangan, dalam menilai pandangan seseorang, kita perlulah mendengar tanpa menolak mentah-mentah, kerana pada kata-kata si anak kecil juga punya hikmah, melainkan kata-katanya terang-terangan bertentangan dengan agama. Ya, konsep tasamuh (berlapang dada/keterbukaan) dalam Islam. Maka idea tersebut boleh saja diambil kira selagi mana konsep tersebut diamalkan mengikut kerangka Islam atau maqasid syariah. Dari hal ini, ia melatih kita agar menghargai orang lain, merendah diri, serta tidak bersikap ego. Pastinya hal ini perlu disemai dalam kalangan kita amnya dan para pemimpin khususnya tatkala melontarkan pandangan yang tidak terdapat nas yang thabit/qat`i mengenainya, seterusnya dalam memutuskan sesuatu isu. Inilah umurun ijtihadi…

Entahlah… Topik di atas diketengahkan memandangkan terdapat beberapa tanggapan pada keunikan atau keanehan si dia dari pelbagai pihak. Aku cuba merangkumkan tanggapan-tanggapan utama dalam entri ini. Si dia dilihat oleh individu tertentu sebagai seorang yang sangat istimewa/unik walaupun zahiriahnya seakan pelik atau sakit. Pelik itulah unik. Inilah ghuraba’ yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Punya kelebihan, ramah mesra, bersungguh-sungguh dalam mengejar kesempurnaan Iman. Si dia sangat menyelami butiran hikmah dalam setiap DETIK amal, sehingga menjadi kepelikan pada orang lain. Begitu sensitif pada persoalan penyucian hati sehingga pada satu peringkat penyucian jiwa, berderai saja air mata tatkala beramal, serta merasa diri ‘hilang’ dari dunia yang nyata. Punya idea yang mencurah-curah, sehingga adakalanya sukar dikendalikan yang mana satu idea yang lebih releven. Punya keazaman yang luar biasa dan mampu diterjemahkan, sekiranya ia dibimbing dengan sikap rasional dan realistik. Punya kredibiliti membina jaringan dan hubungan sesama manusia dengan keramahan dan kemesraannya, dengan syarat tidak terlalu mengeksklusifkan diri. Punya upaya membimbing orang lain dan memotivasikan mereka dengan begitu efisien dan efektif, sekiranya si dia dalam keadaan yang begitu bermotivasi. Punya firasat yang begitu lurus dan tajam dalam membuat penilaian awal terhadap seseorang yang baru dikenali, tetapi perlu dipandu dengan wahyu agar tidak terjebak dengan kekarutan mistik. Punya ketelitian yang begitu rinci, namun perlu diaplikasikan pada situasi-situasi tertentu sahaja. Punya jiwa dan emosi yang begitu halus, tetapi perlu diimbangi dengan kewarasan dan logik akal. Si dia banyak mengharungi pelbagai pengalaman unik baik dan buruk, dan pengalaman itulah merupakan tanda-tanda awal ke arah merealisasikan cita-cita, menjadi orang pakar mencetak, memotivasi, dan membentuk insan, generasi Islam seterusnya. Hakikatnya, dalam usaha membina keperibadian, proses pembelajaran dari pengalaman silam itulah lebih berkesan daripada proses pembelajaran yang lain, dan ia meliputi lebih 70% dari keseluruhan pembelajaran menurut kajian psikologi. Maka, peristiwa silam itu akan lebih mematangkan si dia, islah ke arah yang lebih baik, dengan syarat si dia berusaha membina kehidupan yang positif dan tidak pesimis pada hal-hal lampau, juga dalam segenap tindakan. Perlu mengetahui realiti kehidupan, agar tidak tenggelam di alam khayalan, serta melihat kesempatan/peluang yang menunggu, tanpa menoleh ke belakang dengan termanggu-manggu. Segala yang telah, sedang, dan bakal dilakukan sememangnya menjadi suratan di luh mahfuz, maka pastinya Allah s.w.t sememangnya mengurniakan sesuatu yang terbaik buat si dia. Syukur, sabar, dan redha. Alhamdulillah rabbil `alamin…

Dari perspektif yang lain pula, si dia dilihat sebagai seorang yang mempunyai sakit mental (kemurungan/tekanan/anxiety/depression). Ada juga yang menganggap bahawa si dia terkena gangguan makhluk halus. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa dia telah berada di maqam yang tinggi dalam ilmu kesufian, tapi masih kurang memiliki asas yang kukuh sehingga terjadinya gila Ism. Si dia juga dikatakan mempunyai konflik dalaman yang sangat kuat, dan pelbagai andaian lagi… Kesemua spekulasi yang dilontarkan ke atas si dia adalah rentetan daripada pemerhatian mereka terhadap simptom-simptom yang wujud pada si dia. Aku pun tidak mengerti sebenarnya… Adakalanya, aku begitu kasihan dengan si dia, sehingga aku pun tidak tahu hendak berbuat apa terhadap si dia melainkan bertawakal kepada Allah setelah berikhtiar. Kerana kubegitu yakin bahawa sebenarnya si dia sangat sihat, kuat, dan hebat malah luar biasa hebatnya berbanding orang lain sekiranya si dia sendiri yakin dan optimis pada dirinya sendiri. Energatikkan mindanya sendiri, berbicara dengan mata hatinya sendiri dalam menyelami tujuan hidup ini. Mengetahui awlawiyyat tindak tanduk kehidupan, tidak terlalu memikirkan perkara picisan, sentiasa berpewatakan simple mind, dengan memahami erti kehidupan pada memberi.

Alhamdulillah, beberapa sahabat lain banyak memberikan bimbingan, sokongan, dan perangsang… Terima kasih seinfiniti, wahai sahabat-sahabat yang begitu memahami kondisi. Aku berusaha memahami bicara Tuhan, kerana hakikatnya situasi si dia sememangnya datang daripada Tuhan. Maka, pastinya ada kebaikan... Justeru, kusimpulkan bahawa hakikatnya, si dialah yang mengenali siapa si dia sebenarnya. Kerana si dia adalah si dia yang sebenarnya… Si dialah yang membentuk acuan si dia. Si dia yang paling mengenali si dia… Si dia yang menjelmakan si dia di alam realiti bukan fantasi… Kesemuanya dalam lingkungan izin dan kehendak Allah s.w.t jua… Dan akhirnya, si dia adalah Dia.. Kupanjatkan sekalung doa agar si dia menjadi orang yang luar biasa upayanya, dan sentiasa di dalam payungan rahmat Allah s.w.t. jua, sehingga menuju ke singgahsana… Ameen… Wassalam.

##ribbiyyun##

Ahad, 9 Januari 2011,

9.01pagi,

Kuarters Galeria Seri Perdana, KL.

Mengukir Senyuman di Sebalik Lembaran Silam Kenakalanku… 2011

Kehadiran tahun baru 2011 mengimbau kenangan silam sewaktu alam ria si kecilku. Tatkala usia hampir menginjak 24 tahun, rasionaliti, berfalsafah, dan realistik dalam proses berfikir kian bertambah. Mengenang memori travelog silam lantas menjadikan diri ini semakin mengerti akan universiti kehidupan. Merenung-renung kembali, rupanya mentaakul dari susur galur kehidupan diri merupakan sebuah madah bermakna yang diraih dari titian pengalaman. Ya, ilmu hikmah barangkali. Potret kehidupanku yang pahit berwajah anak hingusan di waktu silam ada saja dirasakan manis apabila diingati, sedang memori manis di waktu silam mudah saja kelam serta tidaklah benar-benar terbuku di hati… Begitulah irama kehidupan. Lalu, dikenang pula fikiran ini satu-persatu episod kenakalan, sedang akal tika itu masih pendek melestarikan perencanaan.

Entah nakal atau tidak aku sewaktu kecil. Atau barangkali saja itulah perwatakan insan ciptaan Tuhan sewaktu melewati alam hingusan. Dikira alam itu berkisar fantasi, melakar lukisan alam itu seindah pelangi, akan tetapi diri tika itu entah berfikir tentang apa, riang ria saja, tidak merasa berdosa. Apabila pulang ke desa, beramah mesra dengan sanak saudara, mulalah mencari sepupu sebaya menjadi geng kita. Bukan apa, hanya kerana ligat melakukan perkara yang aneh-aneh saja. Bila bertemu dengan sepupu, kuajak mereka laksana suatu misi dengan terburu-buru. Kanak-kanaklah katakan... Daripada tidak berbuat apa-apa, kami adik-beradik dan sepupu masuk ke bilik ajak bertumbuk berolok-olok di kampung Bakri. Bila hari raya, satu kawasan kampung Parit Jawa habis diziarah, bukan bertujuan untuk bermaaf-maafan, tetapi hanya inginkan wang walau sekupang. Berlumba-lumba mengumpul duit raya saja. Kemudian dibilangnya duit itu di ruang tamu rumah atuk bersama sepupu yang lain, melihat siapa jagoan kampung yang mempunyai duit raya tertimbun. Atuk hanya tersenyum, tanda faham saja dengan karenah anak-anak kecil. Ada waktu senggang di kampung tidak kira siang atau malam, diajak pula bermain bola sepak di ruang tamu, seolah-olah sengaja membuat kampung haru biru lantaran ingin diperhatikan. Pernah juga tanpa rasa bersalah kami mandi berendam di dalam kolah beramai-ramai di bilik air kampung, sedangkan kolah tersebut tidak boleh dimasuki orang, dijadikan kolah pula seakan kolam renang. Teringin benar agaknya untuk mandi di kolam renang tika itu, namun tidak kesampaian. Lalu dijadikan pula kolah medan permandian. Siang malam bising dengan gegaran lantai papan di kampung kerana terkinja-kinja bersama sepupu lelaki. Aku tidak mengerti mengapa atuk di Parit Jawa dan mak cik di Bakri ketika itu begitu garang denganku. Aku hanya inginkan kebebasan dan kegirangan. Semakin dewasa, baru itulah aku mengerti, dan kini, atuk serta mak cikku pula seakan menjadi kawan sendiri, namun perasaan hormat masih kusemai buat mereka. Itulah kisahku di kampung tika anak-anak muda.

Kalau di rumah dan di sekolah rendah, aku kuat saja merayau sehingga empat lima kilometer dari rumah. Pergi bermain bola, badminton, gasing, besbol, ping pong, basikal, kaki tempang, kejar-kejar, cyber café dan sebagainya. Sangat ligat, tidak boleh duduk diam. Kadang kala pulang ke rumah selepas maghrib. Kemudian dimarahi pula abah, kerana masih belum bersiap untuk ke surau bersama. Bila pergi ke surau bersama abah khususnya pada waktu maghrib dan isya’ di Bandar Baru Selayang, kadang-kadang aku dan adik-adik tidak solat dengan betul. Berbual-bual dalam solat, mengacau adik-adik dan kawan-kawan ketika solat sehingga aku pernah dicubit dengan pak cik yang sering datang ke surau itu. Bila musim terawih pula, ketika ada masa senggang antara 4 rakaat terawih, kami adik beradik terus menuju ke belakang surau ingin bermain mercun bersama kawan-kawan yang lain. Sebab itulah ayahku kadang-kala merotanku ketika kecil disebabkan kenakalanku. Barulah kufaham kini… Kerana kutahu, sekiranya aku juga mempunyai anak sedemikian, akan kurotan juga anakku dengan cara yang dianjurkan agama… Satu kisah yang mencuit hati sewaktu daku kecil, aku pernah tersembam dalam bilik air gara-gara kubergayut di bawah sinki, sementara adik lelakiku duduk bersila di dalamnya. Ketika bergayut, sinki itu pecah berderai di jubin lantai bilik air, tetapi aku tidak mengalami kecederaan apa-apa, sedang adikku yang duduk bersila di dalam sinki mengalami luka di tangan saja. Kuingat apa, hanya bersuka ria, dibuatnya sinki itu seakan kolam di singgahsana. Terlalu ghairah bermandi-manda tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kalau di sekolah rendah pula, membuat bising sudah menjadi hobi, apatah lagi ketika ketiadaan guru. Lagilah kalau subjek pendidikan Islam ketika darjah dua, suka saja membuat pasal pada ustazah, tapi pemarkahan subjek tersebut setiap kali ujian dan peperiksaan tetap aku skor saja. Tatkala mengimbau kisah itu, aku merasakan begitu nakalnya aku ketika itu… Sungguh bertuah… Bagaimana pula nanti kalau daku memiliki anak sebegitu..? Hmm..

Kini, aku masih lagi dalam mencari identitiku yang sebenar, membina jati diri dan prinsip hidup manusiawi, membangun kefahaman ruh Islami,memasang nekad untuk mengislah diri dan masyarakat, dan daku kini turut berusaha membina paradigma ini agar bernuansa fikrah Islam sejati dan berbakti pada pertiwi, dalam intaian hikmah di sebalik tabir ayat. Sememangnya perlu jua direnungi peristiwa lampau, agar menjadi hikmah tauladan di hari muka. Di balik jendela dengan lontaran mata hati memerhati kebesaran ciptaan Tuhan berupa keindahan menghijau tumbuh-tumbuhan, tiba-tiba saja terukir sekuntum senyuman pada bibirku, kerana perwatakanku kini mungkin saja begitu berbeza berbanding dahulu. Ukiran senyuman itu sangat mengharukan, kerana ia membawa sebuah pengertian yang melangit tinggi… Insya Allah, perubahan demi perubahan ke arah kebaikan dalam setiap tika dan tindakan. Boleh!! Kuat!! Cekal, wahai Ali!! Kupohon doa pada-Mu ya Allah, agar dikurniakan tawfiq dan hidayah, dikurniakan kekuatan dan wibawa… Kupohon ampunan padamu umi dan abah, doakan daku agar dapat menggarap gelaran Ahlullah dan Jundullah rabbani, dalam segenap kehidupan… Cemerlang dalam setiap hasrat yang diidamkan, agar beroleh ijazah kedoktoran berupa syahid yang dicitakan. Wassalam.

##ribbiyyun##

Khamis, 6 Jan 2011,

1631pm