Kuatkan Daku ya Allah...







Sungguh nasyid yang begitu meruntun hati... Alhamdulillah...

~ribbiyyun~

Kampung Dusun Tua, Hulu Langat,
Ahad, 26 Jun 2011, 4.21pm.

Romantiknya Kekasihku… Namun, Apakah Layak bagiku Berada Dekat di Hatinya..?

Penulisan artikel kali ini agak panjang. Mungkin sudah lama saya tidak memenuhi entri blog ini dengan bingkisan perkongsian, jadi seakan penulisan artikel kali ini mengqadha’kan penulisan-penulisan yang tertangguh pada sesi lalu. Tiba-tiba hati saya terlintas untuk memaparkan keperibadian kekasih saya dan keindahan akhlaknya. Saya maksudkan insan terbabit ialah Rasulullah s.a.w. Kita sering melihat ketokohan, dan keperibadian Rasulullah s.a.w sebagai seorang pemimpin negara serta keindahan akhlak Baginda, namun saya merasakan kita masih belum mengenali secara lebih rapat pergaulan Rasulullah s.a.w bersama para isteri Baginda. Apabila kita menelusuri sirah Baginda bersama-sama para isteri, pastinya kita akan mengagumi keperibadian Rasulullah s.a.w, qudwah terunggul kita. Kerana Rasulullah s.a.w merupakan contoh teladan yang terbaik dalam segala sisi yang wajib kita ikuti. Subhana Allah… Apabila saya menganalisis beberapa fakta sirah mengenai Rasulullah sebagai nakhoda dalam pelayaran bahtera rumah tangganya dengan melihat kepada hadis-hadis terpilih serta Sirah Nabawiyyah, hati saya menguntum senyum, dan langsung saja ia membisikkan, RASULULLAH SEORANG SUAMI YANG BEGITU ROMANTIK!

Justeru, pada entri kali ini, saya mengemukakan 25 ciri dan peristiwa contoh yang boleh dijadikan ikutan buat para suami, para bapa, juga para lelaki yang bakal bergelar suami. Sebenarnya ada banyak lagi contoh dan ciri-ciri yang menggambarkan Rasulullah s.a.w seorang suami yang begitu romantik, namun saya hanya memuatkan 25 ciri / peristiwa penting sahaja yang mudah-mudahan ia dapat memberikan dampak yang besar kepada erti sebuah kehidupan berkeluarga dengan menerapkan nilai-nilai Islam serta cinta tertinggi hanya kepada-Nya. Dengan dapatan point-point mengenai keperibadian Rasulullah terhadap para isterinya, ia membuatkan saya teruja untuk mendapatkan penulisan buku-buku/kitab/karya yang berkaitan "keperibadian Rasulullah yang ROMANTIK" sebagai bahan bacaan tambahan saya. Sekiranya para pembaca sekalian tahu di mana dan bagaimana boleh mendapatkan bahan bacaan tersebut, maklumkan pada saya ye kerana saya ingin membelinya… Jazakumullah khairal jaza’. `Ala kulli hal, inilah hasil himpunan point-point penting yang telah saya dapati sepanjang pencermatan saya terhadap keperibadian “romantisme” Rasulullah saw menerusi kisah Sirah Nabawiyyah serta Hadis-hadis terpilih… Subhana Allah… Selamat membaca!

1. Rasulullah saw merupakan sebaik-baik insan yang membina rumah tangga dalam membimbing para isterinya. Sabda Nabi s.a.w:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya:

Daripada Aisyah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah sebaik-baik kamu dalam berbut baik kepada keluargamu. Dan aku adalah paling baik di antara kamu dalam urusan keluargaku..."

(Hadis riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah dalam Sunannya)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا.

Maksudnya:

Daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda: “Yang paling sempurna Iman di kalangan orang mukmin ialah mereka yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah orang yang paling berakhlak baik kepada isteri-isteri kamu.”

(Hadith riwayat Tirmidhi dalam Sunannya)

2. Rasulullah saw minum satu cawan dengan isteri Baginda, saidatina Aisyah di tempat letak mulut Aisyah pada gelas terbabit. Daripada Aisyah r.a. dia berkata:

“Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.”

(Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)

3. Baginda saw menemani isterinya hingga ke pintu, ketika isteri Baginda hendak keluar rumah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya, Safiyyah binti Huyay. Nabi saw berkata:

“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).”

(Hadis Bukhari dan Muslim)

4. Nabi saw sering berpegangan tangan dengan isteri, antaranya dengan Aisyah ketika di dalam rumah. Sabda Nabi saw:

"Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan (dengan menyelitkan jari-jemari mereka), maka dosa-dosa akan keluar melalui celah-celah jari mereka".

5. Saling memakaikan minyak wangi antara Baginda dengan isteri. Aisyah berkata:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda akan memulakan dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.”

(Riwayat Ibnu Majah)

6. Berbaring di pangkuan/ribaan isteri, daripada Aisyah r.a. berkata:

“Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.”

(Riwayat Abdurrazaq)

7. Mencium isteri sekalipun sedang berpuasa. Daripada Hafsah, puteri Umar r.a berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.”

(Riwayat Ahmad)

8. Memanggil mesra isteri dengan panggilan manja, sebagai contoh, Baginda memanggil Aisyah dengan panggilan Humaira’, Aisyah r.a berkata:

"Ya Rasulullah, apa dia sesuatu yang tidak halal disekat (daripada diberikan kepada orang yang memerlukannya)?" Baginda menjawab: "(Benda itu adalah) air, garam dan api." Aisyah berkata: “Aku bertanya lagi (dengan berkata): "Ya Rasulullah, mengenai air, kami telah pun mengetahuinya, apa pula halnya garam dan api?" Baginda menjawab: "Wahai Humaira'… Sesiapa yang memberi api, maka seolah-olah dia telah bersedekah dengan segala makanan yang dimasak oleh api itu dan sesiapa yang memberi garam, maka seolah-olah dia telah bersedekah dengan segala makanan yang disedapkan oleh garam itu…”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

9. Membelai setiap isteri sehingga tiba di rumah isteri yang digilirkan oleh Rasulullah saw:

“Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di sana.”

(Riwayat Ahmad)

10. Bersiar-siar bersama isteri. Direkodkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim:

“Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

11. Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra. Rasulullah saw memicit hidung Aisyah ketika Saidatina Aisyah dalam keadaan yang marah, kemudian Baginda menyarankan Aisyah ra membaca doa yang diajarkan Baginda:

Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.”

12. Tidur bersama isteri dalam satu selimut. Daripada Atha’ bin Yasar berkata:

“…Dan pernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah,” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.”

(Riwayat Sa’id bin Mansur)

13. Berlemah lembut dengan isteri. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah yang sedang berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba Aisyah dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Aisyah sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda meminta Aisyah menggantikan makanan tersebut.

14. Meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada isteri serta menyayangi isteri sepenuh hati. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.”

(Riwayat Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya)

15. Membantu isteri menaiki unta, (zaman kini bolehlah diaplikasikan dengan membuka pintu kereta buat isteri). Nabi saw turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim telah direkodkan:

“Nabi Muhammad saw duduk di sisi unta Baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda, Sofiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad saw hingga naik atas unta.”

16. Isyarat mengenai galakan Nabi saw untuk saling menyuapkan makanan suami isteri. Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya apa pun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”

17. Mandi bersama isteri. Daripada Aisyah r.a. beliau berkata:

“Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).”

(Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

18. Menambat hati para isteri Baginda dengan pemberian hadiah serta menjaga hati para isteri dengan sifat yang romantik Baginda yang sangat penyayang kepada para isteri:

Disebutkan satu kisah pada suatu hari isteri-isteri Baginda berkumpul di hadapan Baginda lalu bertanya siapakah di antara mereka (isteri-isteri) Baginda yang paling disayangi. Rasulullah saw hanya tersenyum lalu berkata, "Aku akan beritahu kamu kemudian."

Selepas daripada pertemuan itu, Rasulullah saw telah memberikan setiap seorang daripada isteri-isteri baginda sebentuk cincin. Baginda berpesan supaya tidak memberitahu kepada isteri-isteri yang lain. Lalu suatu hari mereka berkumpul lagi dan bertanyakan soalan yang sama. Rasulullah saw lalu menjawab, "Orang yang paling aku sayangi ialah yang kuberikan cincin kepadanya". Isteri-isteri baginda tersenyum puas kerana menyangka hanya diri mereka sahaja yang mendapat cincin dan merasakan bahawa diri mereka tidak terasing.

19. Nabi saw memasukkan kedua-dua belah tangan di celahan pinggang Aisyah dari belakang ketika isteri melakukan kerja-kerja memasak, dengan membantu isterinya, memegang tangan bersama. (Seperti menguli tepung bersama, memotong sayur dan lain-lain…)

20. Nabi saw membantu isteri-isteri Baginda melakukan kerja-kerja rumah. Para sahabat mendapati kesan tepung di tangan Nabi saw tatkala Nabi bertemu dengan mereka.

21. Nabi berlari anak bersama isteri, seperti Aisyah.

22. Nabi tidak berkasar dengan isteri (memarahi isteri) melainkan digantikan olehnya dengan berwuduk serta menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menenangkan hati. Begitu juga apabila Baginda tersentuh dengan sikap para isterinya, Baginda akan mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat.

23. Baginda acap kali memotong kuku isterinya.

24. Baginda mengajak salah seorang dari isteri Baginda bermusafir (mengikut undian) untuk menambahkan lagi kasih sayang di antara mereka.

25. Nabi saw bermunajat kepada Allah agar diberi ketetapan hati bersama para isteri. Doa munajat yang dipanjatkan Baginda ialah agar Allah swt mengurniakan kecenderungan hati secara adil kepada para isteri Baginda, sedangkan Baginda juga pernah terdetik di dalam hati kerana melebihkan cintanya kepada isteri tertentu. Lalu Baginda memohon kepada Allah swt agar tidak membolak-balikkan hatinya untuk mencitai isteri-isteri Baginda secara adil dan harmoni. Firman Allah swt:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا (110)

Maksudnya:

110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Esa; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya".

Surah Al-Kahfi (18): 110

Subhana Allah… Alhamdulilllah… Allahu Akbar… Nabi saw yang begitu romantik dan halus budi pekertinya… Ya Rasulullah saw… Usah tinggalkan daku… Aku ingin sekali menjejakimu… Firman Allah swt:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (128)

Maksudnya:

128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, (dan) ia penyantun dan penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Surah al-Tawbah (9): 128

Ketokohan Rasulullah saw memimpin para isteri dan keluarganya sememangnya menjadi contoh, apatah lagi dalam soal mengendalikan hubungan bermadu dan poligami. Sedikit cetusan pendapat mengenai poligami. Suatu ketika, acap kali merenungkan kata-kata abah mengenai poligami, saya tersenyum simpul kerana abah berpandangan bahawa kunci ketaatan tidak berbelah bahagi seorang isteri yang solehah kepada sorang suami yang soleh ialah dia sanggup bermadu meskipun si suami tidak berhajat kepada memadukan isteri tersebut… Subhana Allah… Lalu abah menyarankan saya untuk meninjau calon isteri yang berperwatakan sedemikian sekiranya saya sudah mula meninjau-ninjau untuk mencari calon pasangan… Saya terdiam, entahlah, mengenai pencarian bakal zawjah… Apatah lagi bakal zawjah yang sanggup berpoligami. Sedangkan saya sendiri masih belum BENAR-BENAR bersedia untuk ber‘dua’, apatah lagi hidup bermadu lantaran masih banyak lagi ilmu yang perlu saya terokai, dalam masa yang sama saya begitu menekankan erti “ketulusan”, “kepercayaan” dan “kesetiaan”, tanpa memikirkan persoalan poligami, kerana saya menyedari bahawa saya masih belum masak serta tidak bersedia untuk menuju ke gerbang per‘madu’an itu. La Hawla Wa La Quwwata Illa BiLlah…

Dalam hal mencari calon ini, saya beranggapan bahawa pemikiran abah sedikit menongkah arus. Namun dalam hati ini, saya berkata ada benarnya juga falsafah pemikiran abah, kerana cinta hanyalah HAK MILIK ALLAH, manakala si isteri menjadikan si suami sebagai wasilahnya menyempurnakan ibadah sepertiga agama mendekatkan diri kepada Allah, menuju mardhatillah, selain mengemis CINTA TERAGUNG, iaitu ALLAH semata… Cinta dia kepada suaminya dan cinta suaminya kepadanya adalah sebagai jejambat buatnya menggapai cinta teragung, dan bukanlah cinta suami itu menjadi hak milik mutlaknya, kerana semua penciptaan hakikatnya adalah hak milik Allah… Bila memahami konsep demikian, maka para wanita akan merasakan poligami itulah merupakan suatu jalan bagi mengeratkan ukhwah, serta mengembangkan tali persaudaraan Islam atas landasan perjuangan. Inilah cinta bernuansakan keTuhanan… Meletakkan cinta Allah dan RasulNya di hadapan, bermatlamatkan Allah dan perjuangan Islam, rasionalis Islamis serta tidak bersalut emosi dalam membuat keputusan lantaran mendahulukan AGAMA… Namun, berdasarkan pemerhatian saya, hatta di kalangan ahli jemaah muslimat sekalipun, tidak ramai yang menyedari hakikat ini, apatah lagi membenarkannya. Kerana Saydatina Khadijah tidak dimadukan bukan atas keengganannya, tetapi atas keengganan Nabi… Mohon maaf sekiranya pandangan saya tidak sependapat dengan para pembaca. Pada pengamatan saya, begitulah Rasulullah s.a.w mendidik para isterinya… Subhana Allah… Alhamdulillah… Allahu Akbar…

Suka saya bermuhasabah buat diri saya dan para pembaca sekalian. Buat akhirnya, mengenai proses ke arah pembinaan baitul muslim, suka saya mengetengahkan konsep "JADI' dan "CARI". Jika seseorang ikhwah mahu mendapatkan yang solehah, kurangkan sedikit agenda menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh. Jika akhawat inginkan yang soleh, janganlah terlalu berusaha menCARI yang soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya juga boleh berubah… Kerana si soleh dan si solehah adalah insan biasa, tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Maka, seseorang fard al-Muslim yang sedang menuju ke gerbang perkahwinan, ia merupakan sebahagian proses untuk menJADI, bukan menCARI. Dalam hal ini, proses menJADI adalah lebih diutamakan daripada proses menCARI. Sekadar pandangan sebagai suatu mimbar muhasabah buat saya dan kita semua… Buat akhirnya, saya memohon maaf atas salah dan silap sekiranya terdapat kata-kata di dalam entri blog kali ini mengguriskan hati beberapa pihak… Wassalam.


~ribbiyyun~

Kampung Dusun Tua, Hulu Langat,

Ahad, 26 Jun 2011, 4.01 pm.

Memburu Sinar Harapan Hakiki…


Di manakah lagi lentera hatinya kan bergelandangan..? Dia memburu sinar harapan hakiki, menyelami maksud hidup menerusi bicara Tuhan dalam potret kehidupan. Setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, pasti punya erti tatkala dia merenung dan memikirkan. Iaitu erti penyerahan, pengharapan, dan kebergantungan mutlaq kepada al-Khaliq. Pesona nafsu dan hasutan syaitan ada kalanya menyebabkan hatinya bermundar-mandir di persimpangan. Antara hak dan batil. Mengapa tidak?? Kerana dia bukan Malaikat, dia bukan Nabi, bukan juga wali. Dia hanyalah seorang insan yang pasti punya kelemahan. Lantaran merasakan jiwanya semakin berada jauh dari rahmat Tuhan, maka perasaan resah dan ‘kosong’ mula menyelubungi hati. Lalu sering saja jiwanya menyelami susur galur kehidupan, dulu, kini, dan selamanya, mentadabbur Kalam Ilahi, demi menyingkap hakikat insan berTuhan, mencerap setiap detik waktu yang berlalu dan sedang berlaku dengan nilai `ubudiyyah seorang hamba dan Rububiyyah Sang Pencipta. Ya, itulah tarbiyah Allah… TARBIYAH ALLAH… TARBIYAH RABBANIYYAH… Subhana Allah… Satu spektrum baru yang menaungi segala warna-warni kehidupan, maka terbiaslah satu sinar harapan kudus yang hanya disandarkan kepada Pemilik segala hati. Kerana Dialah yang Maha Menciptakan… Kerana Dialah yang Maha Menentukan… Kerana Dialah yang Maha Menetapkan… Kerana Dialah yang Maha Menggerakkan… Kerana Dialah yang Maha mengHIDUPkan dan meMATIkan hati…

Maka, semaiannya itu menyuburkan pohonan hati yang tegar serta teguh pendiriannya terhadap al-Deen, justeru dia tidak akan gundah dan gelisah dalam apa saja kondisi, kerana Allah s.w.t pasti saja menemaninya sentiasa. Allah s.w.t yang tidak pernah meninggalkannya… Allah s.w.t yang tidak pernah melupakannya… Allah s.w.t yang tidak pernah membiarkannya… Ia hanya dimengerti oleh insan yang merenungkan dan memikirkan HAKIKAT tatkala mengaudit dan mengkoreksi diri, mengamati tarbiyah Tuhan berupa kesulitan mahupun kesenangan, agar sinar harapan yang malap itu kembali bergemerlapan, seindah sinaran langit membiru yang mendamaikan hati… La tahzan, Inna Allaha ma`ana… Begitulah lafaz Nabi saw yang telah meredupkan hati Saydina Abu Bakar, sahabat Baginda saw, memberikan sinar harapan kembali berupa ketenangan hakiki, tatkala dirundung kesulitan, ketika mereka di Gua Hira’…

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (40)

Maksudnya:

40. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya (Abu Bakar): "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan rasa tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir di bawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Tawbah (9): 40

Mudah-mudahan hatinya tidak terhijab disebabkan kealpaan dunia, lantas memusatkan nawaitunya mendamba cinta-Nya semata. Akhirnya melahirkan jiwa yang merencahkan erti syukur dari banyak meminta… Alangkah indahnya munajat ini dihiasi dengan lingkaran syukur tidak bertepi seperti:

“Aku merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada-Mu ya Allah dengan nikmat kesihatan dan kefahaman yang Engkau kurniakan”

Daripada meminta:

“Ya Allah, kurniakanlah daku nikmat kesihatan dan kefahaman…”

…Aku memanjat setinggi-tinggi kesyukuran kepadaMu ya Allah, kerana mentarbiyah jiwa ini menjadi seorang hamba yang redha dan bersyukur dengan segala nikmat-Mu… Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah, dengan tarbiyah-Mu yang mendetikkan hati-hatiku dan orang-orang di sekelilingku agar saling mentarbiyah hati untuk mengingati hari di kemudian hari menuju ke mihrab-Mu… Segala-galanya adalah Engkau… Subhana Allah… Alhamdulillah… Wa Lailaha Illa Allah… Allahu Akbar… Wa La Hawla Wa La Quwwata Illa biLlah al-`Aliy al`Azim… Buat sahabat-sahabatku, ingin kupersembahkan bingkisan ketulusan hati ini dengan menuturkan: “LA TAHZAN, INNA ALLAHA MA`ANA,” lambang jalinan utuh ukhuwah kita demi mendaulatkan agama dalam lembayung tarbiyah-Nya yang hakiki… Yang mewarnai kehidupan insan berTUHAN seindah pelangi…

~ribbiyyun~

Hotel Indonesia, Kabupaten (Daerah) Tuban, Jawa Timur, Indonesia,

Sabtu,4 Jun 2011, 9.42 am.

Dipostkan ke dalam blog pada:

Rabu, 8 Jun 2011, 5.21 am.