Nasyid Arab yang Begitu Menginsafkan…

Nasyid Arab yang Begitu Menginsafkan…

أنا العبد الذي كسب الذنوبـــا وصدته الأماني أن يتوبــــــــا
أنا العبـد الـذي أضحـى حزينـــاً على زلاته قلقاً كئيـبــــــــــا
أنا العبد الذي سطـرت علـيـــه صحائف لم يخف فيها الرقيـبــــا
أنا العبد المسيــئ عصـيـت سراً فما لي الآن لا أبدي النحيـبـــا
أنا العبد المفرط ضــاع عـمـــري فلم أرع الشبيبة والمشـيـبـــــا
أنا العبـد الغريـق بلج بحــــــــرٍ أصيـح لربما ألقــى مجيبـــــــــا
أنا العبد السقيـم مـن الخطـايــا وقد أقبلت ألتمـــس الطبيـبــا
أنا العبد الشريد ظلمت نفسي وقد وافيت بابكـم منيـبــــــــا

Selamat menghayati…

~ribbiyyun~

10.51 pagi,

Jumaat, 22 April 2011,

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadis,

APIUM, KL

UMMATKU… Rindu kepada Rasulullah s.a.w… (T_T)

UMMATKU… Rindu kepada Rasulullah s.a.w…

Saya begitu terharu apabila menonton video klip muhasabah mengenai topik “Ikon” dalam episod sentuhan qalbu –TV9. Mengenangkan kembali kecintaan Baginda Nabi Muhammad s.a.w terhadap umatnya, ia sekali gus dapat mengikis permainan angan-angan cinta yang tidak pasti perlabuhannya entah di mana. Ia mengingatkan saya kepada hadis kemanisan Iman yang telah disabdakan oleh Baginda s.a.w:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

Maksudnya:

Daripada Anas bin Malik r.a dari Nabi s.a.w telah bersabda: Tiga perkara sesiapa yang mendapatkannya maka ia akan memperoleh kemanisan Iman. (Pertama) Seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya berbanding yang lain, (Kedua) Seseorang yang mencintai seseorang yang lain dan tidaklah ia mencintainya melainkan kerana Allah s.w.t, (Ketiga) Seseorang yang benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

(Muttafaqun `Alayh)

Liku-liku perjuangan Baginda s.a.w begitu panjang. Perjuangan Baginda antara lain ialah memperbaiki akhlak manusia. Lantaran itu, saya sering melihat kembali penulisan khat saya yang terpampang di hadapan meja belajar saya di rumah sewa mengenai hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.” Saya bukanlah seorang yang berjiwa seni, tidaklah pandai melukis dan berkaligrafi, hanya sedikit sahaja Tuhan melimpahkan bakat yang dipinjamkan kepada saya untuk dimanfaatkan kepada ummah. Alhamdulillah, tulisan khat ini telah ditulis oleh saya ketika di alam mahasiswa, dan telah mendapat tempat kedua peringkat Universiti Malaya… Kerana dahulunya subjek tulisan khat merupakan subjek teras di sekolah menengah agama saya, justeru sedikit sebanyak saya mengetahui selok belok penulisan khat dan jenis-jenisnya.

Buat akhirnya, suka saya memaparkan kembali video klip mengenai “Ikon” yang sangat menghambat hati. Mudah-mudahan ia memberikan suatu manifestasi keinsafan yang sangat bermakna buat kita sebagai Ansarullah, Jundullah Rabbani, serta mata-mata rantai perjuangan Nabi… Serta meletakkan cinta kita kepada Allah dan Nabi s.a.w sebagai cinta yang tertinggi dan abadi.... Sekian…

Sungguh, ia begitu meruntun kalbu….. T_T


~ribbiyyun~

2.03 pagi,

Khamis, 21 April 2011,

Galeria Seri Perdana, KL

Umrah Tarbawi Disapa dengan Hujan Rahmat…

Umrah Tarbawi Disapa dengan Hujan Rahmat…

Sering saja dia mengintai-intai waktu yang terluang untuk dipenuhi dengan penulisan blog. Sungguh dia tidak berkesempatan sejak kebelakangan ini kerana satu persatu tugasan harus dipenuhi. Dengan penglibatan diri dalam seminar serantau Usuluddin, penghasilan kertas kerja, dan lain-lain, hal ini sedikit sebanyak tidak memberikan ruang untuknya untuk melayari internet. Kalau punya waktu sekalipun, dia hanyalah berkesempatan membuka internet kejap-kejap saja sejak pulang dari umrah tarbawi. Itu pun hanyalah ingin melihat perkembangan semasa dan membuka e-mel serta menjenguk sebentar sahaja blog sendiri. Alhamdulillah… hari ini barulah dia berhasil mewarnai blognya semula dengan artikel setelah sekian lama kusam. Hari ini barulah dia dapat meluangkan waktunya menghadap laptop untuk menjana idea dan mengatur jari jemari di papan kekunci. Longgokan idea sering saja menerjah kotak fikiran untuk menukilkan travelog pengalaman usai saja pulang dari menunaikan umrah tarbawi pada 26 Mac lalu. Walau bagaimanapun, idea tersebut harus dipadatkan dan diringkaskan untuk dipahatkan dalam entri kali ini sungguhpun dia merasakan ia mampu dicitrakan menjadi sebuah karya novel tarbawi. Program Umrah Tarbawi anjuran DPP Malaysia yang dilaksanakan pada 13 hingga 26 Mac 2011 lalu sangat menggamit kalbunya memandangkan umrah terbabit merupakan umrah yang julung-julung kali buatnya. Alhamdulillah rabbil `alamin… Dia memanjatkan selautan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah s.w.t dengan panggilan-Nya yang Maha Kudus, lalu dia menyahut panggilan tersebut dengan langkahan kakinya yang hina di sisi-Nya menapaki lembah tandus yang penuh barakah diiringi laungan doa Labbaik Allahumma labbaik bersama jemaah umrah yang lain…

Umrah tarbawi ternyata memiliki keistimewaannya yang eksklusif berbanding pakej umrah yang lain. Pengisian-pengisiannya penuh bermanfaat dan setiap masa yang terluang ketika di tanah haramain akan diisi dengan sesi kuliah, usrah, qiamullail, tilawah al-Qur’an, dan liqa’ fikr. Maka tidak hairanlah dia berasa begitu terharu dan terpilih dalam kalangan 60 orang jemaah umrah dengan keterlibatannya dalam Umrah Tarbawi ini lantaran ia merupakan umrah pemuka dan pertama kali buatnya bagi menjejakkan kaki di tanah suci. Sungguh ia lain daripada yang lain… Belum pun sempat mereka menjejakkan kaki di tanah suci, satu persatu cabaran dihadapi oleh mereka yang pada hakikatnya ia merupakan suatu bentuk tarbiah daripada Tuhan. Mereka bertransit di Thailand selama 8 jam. Kemudian bas yang sedang dinaiki di Thailand pula terkandas di pertengahan jalan. Lalu mereka berjalan kaki sejauh hampir 1 km untuk sampai ke Pusat Islam di Thailand dengan membawa bagasi-bagasi yang besar. Begitulah tarbiah… Ketika tiba di Pusat Islam di Thailand, Ust Nik Abduh telah menyampaikan tazkirah mengenai keimanan terhadap Qada’ dan Qadar Tuhan. Antara isi penting yang sangat ditekankan oleh beliau dalam ceramahnya ialah bersangkut paut kebahagiaan. Kebahagiaan hakiki seorang insan ialah apabila dia dapat menerima segala ketentuan Tuhan dengan redha dan berlapang dada, serta tenang dengan segala ujian yang ditempuhi. Ceramah beliau tersebut secara tidak langsung membangkitkan kesedaran dalam kalangan ahli jemaah umrah agar memperbetulkan niat masing-masing tanpa mengeluh panjang. Lalu dia pula teringatkan butiran kata yang telah dilontarkan oleh srikandi sufi, Rabiatul Adawiyah:

“Saat kebahagiaanmu yang hakiki ialah apabila engkau merasakan situasi yang menghimpitmu tetap saja menenangkan jiwamu sebagaimana situasi lapangmu…”

Setelah itu, mereka berlepas pula ke Mesir. Di Mesir mereka bertransit selama 10 jam. Sempat juga mereka berjaulah sekitar bandar Kaherah seperti di Masjid al-Azhar, Universiti al-Azhar, Bazar Hussain, Masjid Hussain, Pekan El Khalili, melewati Dataran Tahrir, bergambar di perkarangan Istana Salehuddin al-Ayyubi dan sebagainya. Realitinya, segala permusafiran mereka di Thailand dan di Mesir hanyalah dirancang oleh pengiring Pemuda pada minit-minit akhir perjalanan, dan kesemua peristiwa terbabit pada hakikatnya adalah hasil percaturan Allah s.w.t jua. Cabaran demi cabaran telah dihadapi oleh mereka dalam tempoh hampir dua hari sebelum bertandang ke bumi Allah yang penuh barakah di Mekah dan Madinah. Masih ada lagi cabaran-cabaran tarbiah yang tidak dapat dinukilkan di sini kerana agak banyak untuk dikongsikan. Begitulah tribulasi pembersihan hati yang merupakan satu isyarat tarbiah daripada Tuhan pada saat-saat akhir sebelum tiba di Jeddah, Madinah, dan Mekah. Subhana Allah…

Dalam entri ini hanya dipaparkan jadual rutin ketika berada di bumi Mekah. Secara umumnya, pengisian seharian buat tarbiah dirinya adalah seperti berikut:

3.30 pagi – Bangun tidur

3.45 pagi – Ke Masjidil Haram

4.00 pagi – Qiamullail

5.10 pagi – Azan Subuh

5.30 pagi – Solat Subuh

5.45 pagi – Mengaji al-Qur’an dan zikrullah

6.45 pagi – Pulang ke Hotel

7.00 pagi – Sarapan

7.20 pagi – Kendiri

7.30 pagi – Berkumpul di lobi hotel untuk pergi ke tempat miqat bagi menunaikan umrah / Ziarah / Ke Universiti Ummul Qura dan Kedai-kedai Buku

11.00 pagi – Pulang ke hotel dan berehat / Qailulah

12.15 t. hari – Ke Masjidil Haram

12.30 t. hari – Azan Zuhur

12.50 t. hari – Solat Zuhur

1.00 ptg – Mengaji al-Qur’an dan iktikaf di masjid

1.30 ptg – Pulang ke hotel

1.45 ptg – Makan t.hari

2.00 ptg – Ceramah oleh Ust Nasruddin Tantawi / Ust Nik Abduh / Ust Fadhil Nor / Ustazah Hamidah / Forum Tarbawi

3.00 ptg – Kendiri

3.45 ptg – Ke Masjidil Haram

4.00 ptg – Azan Asar

4.20 ptg – Solat Asar

4.30 ptg – `Ubudiyyah

5.00 ptg – Usrah Takhassus buat Pemuda

6.00 ptg – Mengaji al-Qur’an / Ke Multazam@Hijr Ismail@Solat Sunat / i’tikaf di masjid

6.30 ptg – Azan Maghrib

6.45 ptg – Solat Maghrib

7.00 mlm – Mengaji al-Qur’an

7.20 mlm – Tawaf Sunat / Ke Multazam@Hijr Ismail dan Solat Sunat di sana

8.00 mlm – Azan `Isya’

8.15 mlm – Solat Isya’

8.30 mlm – Solat sunat / Mengaji al-Qur’an

9.00 mlm – Pulang ke hotel

9.15 mlm – Makan malam

9.30 mlm – Liqa’ fikr takhassus bersama mahasiswa Universiti Ummul Qura / Membeli belah di sekitar hotel

11. 00 mlm – Pulang ke hotel

11.30 mlm – Tidur

Ada kalanya dia menjadi kepala talbiah kepada jemaah yang lain. Suatu perkara yang benar-benar tidak diduga olehnya ialah semasa para jemaah umrah tarbawi baru memulakan tawaf qudum dalam pelaksanaan umrah yang pertama ketika waktu malam, tiba-tiba saja tawaf mereka disapa dengan hujan rahmat yang begitu lebat tetapi seketika. Akan tetapi hujan tersebut berhenti serta-merta setelah mereka tamat menghabiskan pusingan tawaf yang pertama. Subhana Allah… Seolah-olah kehadiran mereka di Baitullah disambut dengan limpahan rahmat daripada-Nya lantas Dia menitipkan titisan hujan rahmat yang membasahi kain ihram dan seluruh anggota. Kota Mekah yang merupakan suatu lembah yang kontang yang jarang berlakunya hujan tiba-tiba saja dibasahi dengan manik-manik air yang datang dari ufuk langit tanpa diundang. Peristiwa unik ini sememangnya begitu mengharukan hati mereka. Maka, siapakah pula yang tidak menitiskan air mata apabila melalui peristiwa-peristiwa unik sebegini di samping melihat Kaabah buat pertama kalinya…??? Alhamdulillah rabbil `alamin… Kenikmatan-kenikmatan maknawi yang sukar diungkapkan justeru satu-persatu hadir menyelubungi hatinya kemudiannya, dan Tuhan saja yang Maha Mengetahui naluri dan perasaan cintanya yang membuak-buak tika itu.

Sebagai langkah permulaan bagi memastikan perjalanan umrah berjalan dengan lancar dan tenteram, dia telah bertafakur dalam sujud buat pertama kalinya di Raudhah agar dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang umrah… Syukur kepada Allah s.w.t. Sepanjang pelaksanaan umrah di Mekah, dia dikurniakan kesihatan yang baik meski teman-teman serta jemaah umrah tarbawi yang lain sebahagiannya kurang sihat tatkala berada di Mekah. Segala yang terlintas di hatinya ternyata berlaku saja di tanah suci. Ketika ingin berbuka puasa, dia terlintas untuk iftor di dalam Masjidil Haram, maka seorang jemaah Arab di sebelahnya menghidangkan padanya pelbagai juadah setelah menunaikan solat Maghrib. Perkara tersebut sememangnya tidak terjangkakan olehnya kerana pada pengamatannya, tidak ada makanan untuk iftor di Masjidil Haram melainkan air zam-zam. Begitu juga terdapat beberapa peristiwa unik telah berlaku ke atasnya. Segala perjalanan di Mekah secara keseluruhannya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Dia sempat untuk mengucup Hajarul Aswad, berdoa di seluruh tempat mustajab seperti di Hijr Ismail, Multazam (bersebelahan Hajarul Aswad), Maqam Nabi Ibrahim, Safa dan Marwah. Dia turut berkesempatan menunaikan solat sunat beberapa kali di Hijr Ismail dan di Raudhah, malah seakan semua perjalanannya dipermudahkan tanpa perlu berhimpit-himpit dengan para jemaah yang lain… Sekali lagi dia merasakan kebesaran cinta Tuhan, lalu lidahnya tidak putus-putus melafazkan tahmid yang menggoncang sanubari. Tanpa disedari, air matanya berjurai deras tanpa dapat dikawal lagi… Allahu Akbar…

Mengenangkan `ibrah dari sirah Nabi junjungan dalam perjuangan Baginda mendaulatkan Islam, hatinya sekali lagi sebak. Sebak lantaran merentasi sendiri perjalanan dengan menaiki bas di antara Mekah dan Madinah yang jaraknya tidak kurang 400 km. Sedangkan zaman Rasulullah s.a.w sendiri tidak mempunyai kenderaan bermotor yang canggih. Sebak lantaran melihat ketinggian gua Thur yang didaki oleh Rasulullah s.a.w ketika diburu musuh. Sebak lantaran sa`i di antara Safa dan Marwah, yang mana laluan itulah telah ditapaki oleh Siti Hajar sejauh lebih 3 km. Dia turut mengambil kesempatan untuk mendaki Gunung Thur bersama 2 orang sahabat pemuda yang lain bagi menjiwai sendiri pengorbanan dan mehnah yang diharungi oleh Baginda s.a.w. Sungguh jiwanya begitu tersentuh dengan segunung perjuangan dan selautan pengorbanan yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa manis yang tidak dapat tertahankan jiwanya ialah pada saat-saat akhir di Masjidil Haram pada pagi Jumaat, 25 Mac. Dia berhasil mengkhatamkan al-Qur’an usai menunaikan solat Subuh di hadapan Ka’bah setelah mentadabbur al-Qur’an bermula pada hari Isnin malam, 14 Mac ketika di lapangan terbang Jeddah. Dia memanjatkan kesyukuran dan bertafakur dalam rindu yang memuncak pada sujud di hadapan multazam dengan bacaan doa khatam al-Qur’an. Dia tenggelam dalam sujud yang tidak terungkapkan kemanisannya sehingga mengalir air mata yang menghapus dosa… Dia bermunajat panjang tatkala sujud tanpa memikirkan langsung insan-insan di sekelilingnya, kerana yang ada pada saat terbabit hanyalah dia dan Cintanya yang abadi, Allah `Azza wa Jalla… Subhana Allah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… Setelah beberapa ketika kemudian, barulah dia melakukan tawaf wada’ dalam omongan kerinduan dan kesedihan yang tidak keruan...

Setiba di tanah airnya, Malaysia, dia disambut oleh keluarga tercinta dengan penuh pengharapan, agar dia dan seisi keluarganya kembali kepada fitrah, ibarat kain putih… Sehari kemudian, kifarah dosa mengetuk jasadnya. Dia demam 3 hari. Namun apa yang lahir di bibirnya adalah ucapan tahmid kerana dia mengetahui itulah alamat dari Tuhan bagi penyucian jiwa dan pembersihan hati setelah pulang dari tanah suci. Dia terus saja memanjatkan kesyukuran kerana demamnya hadir di kemudian hari, dan tidak pula menimpanya ketika di Mekah serta di MadinatunNabi… Apa yang menggembirakan hatinya sejurus pulang dari umrah juga ialah apabila mendapat khabar gembira bahawa rakannya, Shahriansyah merangkul johan dalam Akademi al-Qur’an musim kelima. Dia masih ingat lagi ketika dia menjadi pegawai pengiring kepada rakannya dalam musabaqah tilawah al-Qur’an peringkat IPTA di UTM pada tahun lalu... Sungguhpun rakannya tidak mendapat tempat dalam musabaqah terbabit, namun dia sangat memahami bahawa rakannya selayaknya mendapat tempat sebagai johan atau naib johan. Namun, perlunya kesabaran dan redha dengan segala ketentuan Tuhan. Pasti ada hikmahnya. Berkat kesabaran rakannya, subhana Allah, Allah s.w.t memberikan sesuatu yang lebih baik kepadanya dalam pertandingan akhir Akademi al-Qur’an bagi menjulang al-Qur’an sebagai manhaj kehidupan. Peristiwa itulah begitu menggembirakan hatinya dan hati rakannya…

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian yang dapat dicoretkan. Mudah-mudahan ia memberikan manfaat buat kita sebagai insan yang tidak terlepas daripada kesilapan. Mudah-mudahan, kita sentiasa beriltizam dengan kerinduan dan kecintaan untuk bertandang di bumi haramain yang dilimpahi keberkatan, yang mana ganjarannya 1000 kali ganda di Madinah, dan 100 000 kali ganda di Mekah bagi mereka yang dapat menunaikan solat di sana dengan penuh ketundukan. Inni da`iyan ila Allah… Wassalam.

~ribbiyyun~

Jumaat,

8 April 2011,

1915pm

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadis,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya, KL