Famili sakinah...


GHAYATUNA...

IMPIAN, MATLAMAT, CITA-CITA, DAN PERJUANGAN…


Pencapaian impian dan cita-cita bertitik tolak daripada:

1. Hidup di luar zon selesa – Contoh: Kurangkan tidur. Tidur tidak melebihi 6 jam sehari dan sentiasa melibatkan diri dalam gerak kerja Islam.

2. Bertindak di luar kotak pemikiran manusia – Contoh: Membaca bahan ilmiah tidak kurang 100 halaman setiap hari.

3. Laksanakan sesuatu yang luar biasa – Contoh: Sentiasa menginfaqkan sejumlah harta di jalan Allah kerana Allah tanpa diketahui orang ramai.

4. Amalkan perkara (ibadah) yang jarang dilakukan oleh individu lain – Contoh: Qiamullail setiap hari.

5. Lakukan sesuatu yang disukai Allah, namun ia adalah sesuatu yang agak dangkal pada pandangan makhluk. Utamakan pandangan Allah, sungguhpun ia berada di lembah kehinaan manusia… Kerana hidup perlu berusaha semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Contoh: Sentiasa membawa al-Quran ke mana sahaja sebagai sahabat karib serta teman sejati dan sentiasa membacanya sungguhpun masyarakat merasa dangkal dengan perlakuan tersebut.

Justeru, yakin dan percayalah bahawa hadiah di dalam Pengetahuan Allah menanti di hadapan kita tanpa kita sedari, meskipun di belakang kita musuh sentiasa mengekori.. Kejayaan untuk meraih impian dan cita-cita tidak akan tercapai seandainya kita masih lagi berada di takuk yang lama, tidak berusaha memperbaiki diri dalam memperkaya paradigma… ALLAH MATLAMAT KAMI!!!

Tadabburlah...


162. Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.
163. Tiada sekutu bagiNya; Dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)".
(Al-An`am: Ayat 162 – 163)

2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
3. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah Mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia Mengetahui orang-orang yang dusta.
(Al-`Ankabut: Ayat 2 – 3)

...والله ولي التوفيق

Jihad Menuntut Ilmu...!

Sejarah perkembangan ilmu amat penting didedahkan kepada seluruh masyarakat memandangkan ia merupakan suatu peringatan berkenaan perjuangan dan pengorbanan para ilmuan Islam mengembangkan ilmu mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa cinta seseorang terhadap segala cabang ilmu pengetahuan serta ulama’-ulama’ setelah mengetahui pengorbanan ulama’-ulama’ terdahulu yang tidak terhitung, sehingga kadang kala usaha mereka terhadap ilmu ini seolah-olah hampir-hampir tidak dapat diterima akal, bukan kerana terdapat penipuan atau pembohongan dalam penghasilan karya mereka, akan tetapi dengan melihat kepada perjuangan mereka yang sangat menggunung tinggi sehingga mengorbankan segala harta benda, nyawa, dan sebagainya demi menggarap dan mengembangkan ilmu Allah untuk kemudahan dan manfaat yang tidak ternilai bagi generasi-generasi seterusnya sehingga kini dan akan datang.
Agak sukar untuk dibayangkan jika terdapat penuntut ilmu yang berjalan kaki berbatu-batu jauhnya, dan berhari-hari lamanya demi hanya untuk berjumpa guru dan syeikh bagi memperolehi ilmu yang sangat bernilai. Agak sukar diterima akal jika terdapat ulama’-ulama’ yang menghasilkan karya-karya ilmiah pada waktu malam sehingga buta mata mereka disebabkan kegelapan malam yang hanya ditemani oleh sebuah pelita… Agak sukar dijelaskan kepada masyarakat sekiranya terdapat ulama’-ulama’ yang sanggup dipenjarakan seumur hidup dan mati di tali gantung hanya semata-mata untuk melihat generasi-generasi seterusnya menikmati penghasilan karya mereka… Agak sukar digambarkan andai di sana terdapat ulama’-ulama’ yang dapat menghasilkan sejumlah karya sehingga melebihi 300 judul kitab yang berjilid-jilid, sedangkan hayat mereka tidak menjangkaui 45 tahun! Sedangkan, kita sendiri seakan tidak mampu mengkhatamkan bacaan karya seorang ulama’ sahaja, namun beliau mampu menghasilkan karya yang bertimbun-timbun.. Inilah lakaran sejarah yang telah dibuktikan oleh ulama’-ulama’ terdahulu berkenaan kecintaan mereka terhadap ilmu.
Maka persoalannya, bagaimana pula dengan kita yang hanya bergoyang kaki, menangkuk dagu, tidak memikirkan sebarang sumbangan kepada orang lain!!!??? Mana letaknya seruan haya `alal falah’ yang sering dilaungkan di corong-corong pembesar suara masjid dan surau..? Adakah kita masih tidur, tidak sedarkan diri? Ayuh, bangkit wahai pejuang-pejuang sekalian! Ngorak langkahmu, hayun penamu, jadilah pejuang ILMUAN ISLAM terbilang..!

Allah dan aku...

Peliharalah Allah, maka nescaya Allah akan memelihara engkau...

Cintailah Allah dengan meletakkan cinta yang tertinggi kepadaNya, nescaya Allah akan mengurniakan CintaNya yang tidak berbelah bahagi kepada engkau, juga nescaya engkau akan dicintai oleh orang lain tanpa engkau sedari...

Lapangkalah masa bertemu dengan Allah tanpa rasa gundah dan ragu-ragu, nescaya Allah akan melapangkan masa bagi segala urusan dan ibadah engkau...

Sekadar renungan dari insan yang hina.... Wassalam...

Blog.. O... Blog...

Alhamdulillah… Buat pertama-tama kalinya aku memperkenalkan blog nukilanku kepada orang lain. Maka bermulalah ruang medanku melakar tinta ilmu… Segala puji dan puja hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam dan tiadalah pujian yang layak selainNya… Ucapan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. , keluarga dan sahabat-sahabat Baginda, yang berjuang mempertahankan agama dengan air mata dan darah mereka… Alhamdulillah… Kunukilkan kesempatan ini mengenai perihalku, maklumat berkenaan diriku, butir-butir peribadiku, serta titipan renungan, tausiah, madah pujangga, dan lain-lain yang tiadalah tujuanku melainkan hanyalah peringatan buat diriku… Tiadalah kuharapkan melainkan keredhaanMu… Dan tiadalah kupersembahkan melainkan sekadar muhasabah sebelum lidah terkelu…. Kerana ajal tidak mengerti masa dan waktu… Kuungkapi coretan ini melalui bicara-bicara rahsiaMu yang tidak dituturkan secara zahir mudah-mudahan ia menjadi saham buatku di hari muka… Amin…

Tadabbur...

Janganlah kagum dengan ilmumu, mungkin ia adalah penghijabmu. Janganlah kagum dengan ibadahmu, mungkin ia akan membinasakanmu…
Kesombongan adalah jalan kebinasaan, merasa faqir dengan Tuhan adalah kunci keselamatan…
Walau banyaknya ilmumu, ia hanyalah setitik dari lautan ilmuNya… Walau banyak manapun ibadahmu, ia tidak akan mampu membayar harga walaupun satu zarah ciptaanNya dalam tubuhmu…
Mengapa perlu mengembangkan dadamu sedangkan nasibmu di dalam rahsiaNya? Kerdilkan dirimu dalam lautan kebesaranNya, fanakan dirimu dalam lautan kewujudanNya…

Sahabat... Baca dan renungilah luahan hatiku... "Antara Dua Jiwa..."

Suatu ketika, jiwaku terdetik untuk menghayun qalam berikutan terlintas di jiwaku akan seLAUTAN perjuangan sahabat bersama junjungan besar Rasulullah S.A.W. menegakkan agama yang pengorbanan mereka tidak terhitung, di antaranya Saidina Abu Bakar R.A, sahabat kekasih Allah... Jauh di sudut hati, hatiku berbisik siapalah aku… Begitu juga, memori ini sedang berlegar mengingatkan daku akan seseorang yang amat bermakna buat diriku juga penghidupanku……..
Lantas kuterfikir sejenak, namun fikiranku tidak berkata-kata sebaliknya kata-kata batin itu lahir dari keunikan semulajadi jiwaku yang tulus lalu digubah menjadi rangkaian madah pujangga indah melalui huraian mata pena… Iaitu…
Kuimpikan seorang sahabat yang apabila…Kuterleka dalam buaian indah fatamorgana, lalu ia mengingatkan daku agar tidak tersasar daripadaNya…
Kudambakan seorang sahabat yang apabila…Kumenghampiri padanya, secara tidak semena hati ini akan berusaha untuk lebih hampir mendamba cintaNya…
Kuinginkan seorang sahabat yang apabila…Kurindu dan kasih padanya, secara tidak langsung hati ini akan bermujahadah untuk lebih rindu dan kasih pada Al-Khaliq dan kekasihNya…
Kuidamkan seorang sahabat yang apabila…Hatiku terkadang lemah menyeru padaNya, lalu ia membisikkan daku taujihat-taujihat agar kuthabat dalam perjuangan atas landasanNya…
Kumahukan seorang sahabat yang apabila…Terdapat kekurangan dan kekhilafan pada diriku, lalu ia menampal sisa-sisa kekurangan itu dengan kelebihan-kelebihannya serta tausiah baja keimanan yang mendamaikan jiwa…
Kukehendakkan seorang sahabat yang apabila…Terdapat keaiban yang wujud pada diriku ini oleh sebab kekurangan yang ada pada diriku sebagai seorang manusia, lalu ia menutupi segala keaiban itu dengan menganggap keaiban tersebut suatu mutiara hikmah yang bernilai buat dirinya…
Kuharapkan seorang sahabat yang apabila…Kusenyum dalam kepahitan hempedu cubaan, lalu ia mengubati daku dengan kemanisan senyuman madu keikhlasannya yang dapat menghilangkan segala gundah gulana…
Kucitakan seorang sahabat yang apabila…Kuberjuang menegakkan kalimahNya, lalu ia menjadi pemuka hebatku dan pendamping setiaku sepanjang masa dalam perjuangan atas sirat yang lurus diiringi tasyji’ darinya yang tidak putus-putus hatta kuterharu lantas tanpa kusedari kumengalir air mata hiba…
Kuhasratkankan seorang sahabat yang apabila…Kutadabbur akan keindahan alam maya, lalu ia berbicara padaku akan hakikat penciptaan alam semesta yang mengingatkan peranan dan taklifanku sebagai HAMBA yang kerdil dan hina…
Kutuntut seorang sahabat yang apabila…Kuberhadapan dengan gelodak hatiku yang tidak keruan, lalu ia mendamaikan jiwaku dengan kejernihan raut air muka dan hatinya yang luhur dan suci seakan ia memiliki suatu qudrat istimewa yang menambat dan mendidik jiwa…
Dan akhirnya kuhajatkan seorang sahabat yang apabila…Kudatang dan kembali menemui Ilahi, lalu ia tidak putus-putus titipkan daku sekalung doa mawaddah di setiap tika bahkan di sepertiga malamnya dengan LINANGAN AIR MATA ketulusan dan keikhlasannya agar kuberoleh bahagia bersama penghuni singgahsana…
Kerana yang demikian itulah menunjukkan bahawa si dia sangat menghargai ukhwwah yang terbina sekian lama di bawah panji keadilanNya dan rahmat kasih sayangNya…
Kerana yang demikian itu jugalah membuktikan bahawa si dia merupakan insan terISTIMEWA, SETIA dan sangat BERMAKNA buatku hingga ke akhir hayatku yang entah bilanya tiba…
Oleh itu, bergembiralah bagi mereka yang memiliki ramai TAULAN, akan tetapi berBAHAGIAlah bagi empunya diri yang memiliki walau hanya seorang SAHABAT…
Kerana sahabat dan taulan dua insan yang sangat berbeza…
Kerana itu juga mencari sahabat umpama mencari mutiara di lautan bergelora…
Ia amat sukar ditemui… Justeru, ia membawa erti dan nilai yang tidak terkira buat diri dan penghidupan yang hakiki di dunia dan akhirat… Maka, hargailah bila bersahabat, sayangilah bila bersama walau sedetik ia bersua…
Kerana itu, kita saling melengkapi dan memerlukan… Inilah kuntuman cita-cita dan harapan murniku buatmu yang teristimewa, wahai SAHABAT seaqidahku, seangkatanku, seperjuanganku… Sungguhpun nukilan ini berakhir dengan titik noktah, namun ikatan PERSAHABATAN kita pasti tiada noktahnya…Ikhlas dariku untukmu…
Salam Ukhuwah Fillah, Salam Persahabatan, Salam Perjuangan!
Nukilan asli,-imtiaz- -21 Sya’ban 1429 Hijrah, 2.17 a.m
Biografi Pendidikanku dan Matlamat Hidup...
Bakal membuka dimensi baru bagi dunia Islam!



1. Tadika Islam Kg. Bharu, Kuala Lumpur
1992 / 5 tahun


2. Taska Murni, Bandar Baru Selayang, Gombak, Selangor
1993 / 6 tahun


3. Sek. Keb. Bandar Baru Selayang, Gombak, Selangor
1994 – 1999 / 7 – 12 tahun (sesi pagi)
-PTS: Tidak berjaya langkau tahun berikutnya
-UPSR: 4A 1B


4. Sek. Agama Selayang Baru, Gombak, Selangor
1994 – 1997 / 7 – 10 tahun (sesi ptg)


5. Sek. Agama Rakyat Al-Furqan, Bandar Baru Selayang, Selangor
1998 – 1999 / 11- 12 tahun (sesi ptg)
-SPRA: 89.2% (Jayyid Jiddan)
-Pelajar terbaik sekolah SPRA



6. Sek. Agama Men. Rawang, Selangor
2000 – 2001 / 13 – 14 tahun


7. Sek. Men. Agma Kerajaan Johor, Kluang, Johor
2001 – 2004 / 14 – 17 tahun
-PMR: 8A 1B
-SMRA: 11 Mumtaz 1 Jayyid
-SMA: 9 Mumtaz
-SPM: 5A 3B 4C
-Pelajar kedua terbaik Johor SMA



8. Ma`ahad Johor, Johor Bahru, Johor
2005 / 18 tahun
-STAM: 10 Mumtaz
-Antara pelajar terbaik Johor STAM



9. Markaz Dirasat al-Islamiyyah wal `Arabiyyah, Johor Bahru (MARSAH)
2006 / 19 tahun (1 semester)
-Program Pengukuhan Bahasa Arab sehingga hujung bulan Mei 2006



10. Universiti Malaya, Kuala Lumpur
2006 – 2009 / 19 – 22 tahun
-Sem 1: PNGK: 4.00
-Sem 2: PNGK: 3.97
-Sem 3: PNGK: 3.86
-Sem 4: PNGK: 3.90
-Sem 5:
-Sem 6:
- Cadangan kajian Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Usuluddin mengenai “Pengajian Tafsir Al-Qur`an di Andalus”
-B.Us kelas pertama



11. Jelajah ke Syria
2009 / 22 tahun (2 bulan setengah)
-Penguasaan Bahasa Arab, hafazan al-Qur`an dan pengajian kitab-kitab turath



12. Umrah
2009 / 22 tahun


13. Universiti Malaya, Kuala Lumpur
2009 – 2012 / 22 – 25 tahun
-Ph. D.
-Hafazan al-Qur`an secara sambilan
Menghafaz Al-Qur`an (persijilan Tahfiz)sambil menjadi pensyarah sementara
2012 – 2014 / 27 tahun
-Hamilul Qur`an (1 Tahun setengah)


14. Berumah Tangga / Kahwin
2014 / 27 tahun
-Baitul Muslim


15. Pensyarah tetap di Universiti Malaya
2014 – 2044 / 28 – 58 tahun
-Prof. Madya Dr. (sebelum 35 tahun)


16. Penyelidikan di Timur Tengah
Sebelum 2026 / Sebelum 40 tahun
-Prof. Dr.


17. Penghasilan sejumlah besar karya-karya ilmiah khususnya penghasilan Tafsir Al-Quran bil Ma’thur 30 juzu’ versi Bahasa Melayu
-Sebelum meninggal dunia
-Prof. Dr.


18. Pejuang Agama dan ilmuan Islam!
-Sebelum meninggal dunia
-Sewajarnya hukum Allah dilaksanakan di pelosok dunia!



*Firman Allah S.W.T. di dalam surah Luqman, mafhumnya:

34. Sesungguhnya Allah, Hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok
[1]. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

ADAKAH ENGKAU LUPA?
APAKAH TUJUANMU DIUTUSKAN DI DUNIA?
APAKAH KEJAYAAN MAMPU DIKECAPI BEGITU SAHAJA?
ADAKAH DIKATAKAN SESEORANG ITU BERIMAN SEKIRANYA DIA TIDAK DIUJI DENGAN CABARAN DAN LIKU-LIKU KEHIDUPAN YANG MENDEWASAKANNYA?

SENTIASALAH SELIDIKI DIRIMU...
KOREKSILAH SEGALA TINDAK-TANDUKMU...
RENUNGILAH SEGALA GERAK-GERIMU DAN SETIAP NAFASMU...
AGAR ENGKAU MENJADI LEBIH BERANI SERTA BERSEDIA MENGHADAPI SEGALA MACAM RINTANGAN,
LANTAS ENGKAU BAKAL MENJADI INSAN YANG LUAR BIASA UPAYANYA..!
BAHKAN, TIADA YANG MUSTAHIL BUAT DIRIMU WAHAI PEJUANG..!
ASALKAN MENGIMBAS KEMBALI SIRAH NABAWI YANG DITELUSURI OLEH RASULULLAH S.A.W.,
QUDWAH YANG TIADA TOLOK BANDINGAN DAN TANDINGAN..!

KUTITIPKAN SEUNTAI SELAWAT DAN SALAM BUATMU JUNJUNGAN MULIA KEKASIHKU...
SIAPALAH DAKU MESKIPUN PEWARIS AHLUL BAITMU WALAU SETITIS...
KERANA DIANGKAT MARTABAT KEMULIAAN MAKHLUK ITU,
TATKALA KEMULIAANNYA HANYA TERLETAK PADA TAQWA,
& BUKANNYA PADA PANGKAT DAN KETURUNAN,
KAMI MENYAHUT SERUANMU... TAKBIR!

-imtiaz-

[1] Maksudnya: manusia itu tidak dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok atau yang akan diperolehnya, namun demikian mereka diwajibkan berusaha.

Manual Kecemerlangan Akademik Bagi Seorang Mujahid...

"Kemenangan, ketenangan, dan kejayaan milik hati-hati insan yang beriman…”

Sebelum Peperiksaan: (Sepanjang tempoh kuliah):
Jasmani:
*Umum:
- Kurangkan tidur – 6 jam sehari
- Peruntukkan membaca bahan-bahan ilmiah dalam sehari sekurang-kurangnya 1 jam
- Kurangkan berbual kosong
*Assingment, Kuiz, Pembentangan, & Ujian:
- Pembentangan dan assignment; Perlu dilakukan dan disiapkan dengan hasil yang terbaik dan memuaskan hati; 40% sangat mempengaruhi keputusan peperiksaan keseluruhan
- Siapkan assignment sebelum tiba minggu ulangkaji
- Kuiz dan ujian; Tidak dipandang remeh. Buat persediaan sebaik mungkin- Curi ruang-ruang waktu yang ada
*Kuliah dan pensyarah:
- Fokus dan beri tumpuan 100% semasa kuliah dan tutorial disampaikan
- Sentiasa bertanya jika kurang faham dan sering berhubung dengan pensyarah
- Sentiasa berdamping dengan pensyarah dan membantu mereka
*Penyusunan jadual kuliah dan tutorial:
- Penyusunan jumlah jam kredit dalam satu semester perlu sesuai dengan kemampuan dan kesesuian waktu
- Sebaiknya tentukan subjek yang tarikh peperiksaannya bukan pada hari yang sama
- Berpakat dengan rakan-rakan lain dalam memilih subjek dan tidak bersendirian
*Amal Jamaie:
- Amal jamaie perlu diutamakan seperti mesyuarat dan perjumpaan – Peruntukkan secara purata 2 hingga 3 jam sehari
- Ikhlaskan niat – Fikirkan matlamat dan tujuan sebenar
- Diterapkan (amal jamaie) juga melalui perkongsian nota sebelum menghadapi peperiksaan; Pembahagian tugasan dalam menghasilkan nota khususnya di kalangan sahabat yang sama jabatan
*Usrah:
- Usrah dijalankan sekurang-kurangnya seminggu sekali selama 1 jam
- Ikhlaskan niat
- Manfaatkan perkara yang telah dipelajari di dalam kuliah untuk dibawa ke usrah supaya kita akan lebih mengingati apa yang dipelajari
*Lain-lain:
- Libatkan diri dalam kuliah-kuliah ilmu dan seminar-seminar ilmiah
- Menyampaikan ceramah dan tazkirah kepada orang lain dengan memanfaatkan sebarang perkara yang telah dipelajari di dalam kuliah; Hal ini akan menjadikan kita lebih mengingati apa yang telah dipelajari
- Dalam sesetengah situasi, kita perlu berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit dengan keterlibatan-keterlibatan tertentu seperti bahas anak usrah, mesyuarat yang tidak putus-putus, tamrin, & aktiviti selain jemaah seperti balik kampung, dan aktiviti persatuan-persatuan lain.
- Manfaatkan hari minggu (Sabtu dan Ahad) dengan membaca dan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah sekiranya terdapat kelapangan waktu
- Menghargai waktu dengan melakukan sesuatu perkara tepat pada masanya dan tidak bertangguh
*Ketika minggu ulangkaji:
- Berhubung dengan pensyarah untuk mengetahui soalan-soalan ramalan
- Memanfaatkan masa sebaik mungkin walaupun seminit untuk murajaah
- Peruntukkan masa untuk mengulangkaji lebih daripada 8 jam
- Rangka jadual mengulangkaji pelajaran; Tetapkan target bacaan yang perlu dihabiskan dan diingati dalam tempoh masa tertentu sebelum peperiksaan
- Mengoptimumkan tumpuan 100% ketika murajaah dengan tidak mengendahkan perkara-perkara yang tidak perlu dan tidak penting
- Berikut merupakan jadual pembahagian jam semasa minggu ulangkaji
AMALAN KEROHANIAN:

*Umum:
- Bacaan Surah Yasin dan ma’thurat setiap hari. Surah Yasin-Pagi , Ma’thurat-Petang
- Qiamullail sekurang-kurangnya 2 kali seminggu; Tahajjud, Taubat, Hajat dan Witir
- Doakan kesejahteraan ibu bapa dan minta ibu bapa doakan kejayaan kita
- Membaca al-Quran sekurang-kurangnya 1 maqra’ setiap hari
- Bersangka baik kepada Allah dan meletakkan pergantungan yang tertinggi kepadaNya
- Berwudhuk ketika menghadiri kuliah dan majlis ilmu
- Solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
- Ikhlas dalam menuntut ilmu – Mengharapkan keredhaan Allah, bukan ingin berkerjaya
- Tenangkan fikiran melalui muhasabah dan tafakur selepas solat fardhu
- Sentiasa berzikir, beristighfar dan berselawat ke atas Nabi S.A.W. – Terpulang kepada individu untuk menetapkan bilangan
- Sentiasa memaafkan sekalian manusia khususnya ketika sebelum tidur
- Meletakkan keyakinan bahawa jemaah merupakan suatu tuntutan dan amanah yang telah dijanjikan oleh Allah kejayaan bagi para pendokongnya agar kita memahami bahawa gerak kerja agama tidak akan menjejaskan pembelajaran, bahkan menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin
- Sentiasa mendoakan kesejahteraan guru-guru dan pensyarah
- Menunaikan hak Allah, dan hak sesama manusia, dan tidak berdendam; Menjaga hubungan dengan Allah, manusia, dan alam sekitar
- Merendah diri dan bersyukur sekiranya berjaya, dan perlu juga menganggap ia merupakn ujian daripada Allah kerana kejayaan tersebut terkadang menipu daya seseorang dan menyebabkan seseorang meninggi diri dan lupa diri
- Sekiranya tidak berjaya, hendaklah bersabar dan redha akan ketentuanNya kerana segala ketentuan Allah mempunyai rahsianya yang tersendiri. Anggaplah ia sebagai ujian daripada Allah, dan ujian tersebut dapat mendekatkan diri kita kepadaNya kerana tidaklah dikatakan seorang itu mukmin melainkan apabila ia diuji…

Ketika Minggu Peperiksaan:
*Jasmani:
- Dapatkan rehat yang cukup – tidur 6 jam sehari
- Mendisplinkan masa semaksimum mungkin – Memanfaatkan ruang-ruang masa walau seminit dengan mengulagkaji pelajaran serta mengabaikan perkara-perkara yang tidak penting seperti berbual kosong dan menonton televisyen
- Perlu tekun dan bersungguh-sungguh semaksimum mungkin
- Membuat jadual ulangkaji
- Masuk ke dewan peperiksaan dengan melangkah kaki kanan dan dengan hati yang tenang
- Setelah tamat peperiksaan sesuatu subjek, berehat sebentar untuk menenangkan fikiran seperti tidur sementara selama ½ - 1 jam. Kemudian, barulah memulakan semula ulangkaji dengan subjek peperiksaan seterusnya
- Sentiasa berbicara dengan hati nurani dengan mengatakan bahawa: “Aku mampu memperoleh 4flt, Insya-Allah…” atau kata-kata seumpamanya
- Kurangkan aktiviti yang melibatkan jemaah, dan fokus kepada perkara yang lebih utama iaitu muraja`ah
*Rohani:
- Cari sumber ketenangan dan kekuatan dalaman bagi mengawal mental – Bangun malam; Senaman dan terapi rohani yang paling mujarab. Setiap hari bangun malam khususnya pada hari menduduki peperiksaan dan berbicaralah melalui bisikan sirr dan menangislah
- Bertawakal dengan bersungguh-sungguh kepada Allah
- Di dalam dewan peperiksaan sebelum menjawab soalan:
· Istighfar
· Baca ayat seribu dinar
· Surah al-Nasyr
· Doa pembuka hati
· Doa tawakal
· Selawat 3x
· Dan basmalah dengan hati yang tenang ketika membuka kertas soalan
- Sekiranya lupa apa yang dihafal dan diingat, tenangkan fikiran dan mula jalani proses mengingati semula dengan membaca selawat – Insya Allah perkara yang lupa akan ingat semula – Jika tidak ingat juga, jangan berputus asa untuk berusaha mengingatinya kembali. Namun, utamakan soalan-soalan yang belum dijawab dahulu
- Sentiasa berhubung dengan ibu bapa khususnya pada hari peperiksaan dan meminta mereka supaya mendoakan kita dan memohon ampun atas kesalahan yang telah kita lakukn kepada mereka – Doa ibu bapa merupakan doa yang mustajab
*Selepas Minggu Peperiksaan:
- Sentiasa beristiqamah bertawakal kepada Allah
- Melibatkan diri dalam urusan jemaah ketika cuti, atau perkara-perkara berfaedah seperti membantu kedua ibu bapa di kampung, kursus bahasa dan sebagainya
- Banyakkan membaca buku-buku ilmiah seperti buku-buku haraki, majalah agama
- Redha dengan segala ketentuan Allah… Yakinlah, bahawa ketentuan sesuatu perkara itu tidak sia-sia dan mempunyai hikmahnya yang tersendiri...
- Sekiranya berdoa untuk memperoleh kecemerlangan, namun tidak diperkenankan, maka wajiblah kita mengetahui dan meyakini bahawa Allah S.W.T. akan mengurniakan sesuatu yang lebih bermakna buat kita, dan lebih baik daripada kejayaan tersebut.

Inilah ramuan kejayaanku yang sebenar... Sekadar perkongsian...
WALLAHU WALIYYUT TAUFIQ...

Asalamualaikum....

Perjuangan kita belum selesai...