Memburu Sinar Harapan Hakiki…


Di manakah lagi lentera hatinya kan bergelandangan..? Dia memburu sinar harapan hakiki, menyelami maksud hidup menerusi bicara Tuhan dalam potret kehidupan. Setiap helaan nafas, setiap denyutan nadi, pasti punya erti tatkala dia merenung dan memikirkan. Iaitu erti penyerahan, pengharapan, dan kebergantungan mutlaq kepada al-Khaliq. Pesona nafsu dan hasutan syaitan ada kalanya menyebabkan hatinya bermundar-mandir di persimpangan. Antara hak dan batil. Mengapa tidak?? Kerana dia bukan Malaikat, dia bukan Nabi, bukan juga wali. Dia hanyalah seorang insan yang pasti punya kelemahan. Lantaran merasakan jiwanya semakin berada jauh dari rahmat Tuhan, maka perasaan resah dan ‘kosong’ mula menyelubungi hati. Lalu sering saja jiwanya menyelami susur galur kehidupan, dulu, kini, dan selamanya, mentadabbur Kalam Ilahi, demi menyingkap hakikat insan berTuhan, mencerap setiap detik waktu yang berlalu dan sedang berlaku dengan nilai `ubudiyyah seorang hamba dan Rububiyyah Sang Pencipta. Ya, itulah tarbiyah Allah… TARBIYAH ALLAH… TARBIYAH RABBANIYYAH… Subhana Allah… Satu spektrum baru yang menaungi segala warna-warni kehidupan, maka terbiaslah satu sinar harapan kudus yang hanya disandarkan kepada Pemilik segala hati. Kerana Dialah yang Maha Menciptakan… Kerana Dialah yang Maha Menentukan… Kerana Dialah yang Maha Menetapkan… Kerana Dialah yang Maha Menggerakkan… Kerana Dialah yang Maha mengHIDUPkan dan meMATIkan hati…

Maka, semaiannya itu menyuburkan pohonan hati yang tegar serta teguh pendiriannya terhadap al-Deen, justeru dia tidak akan gundah dan gelisah dalam apa saja kondisi, kerana Allah s.w.t pasti saja menemaninya sentiasa. Allah s.w.t yang tidak pernah meninggalkannya… Allah s.w.t yang tidak pernah melupakannya… Allah s.w.t yang tidak pernah membiarkannya… Ia hanya dimengerti oleh insan yang merenungkan dan memikirkan HAKIKAT tatkala mengaudit dan mengkoreksi diri, mengamati tarbiyah Tuhan berupa kesulitan mahupun kesenangan, agar sinar harapan yang malap itu kembali bergemerlapan, seindah sinaran langit membiru yang mendamaikan hati… La tahzan, Inna Allaha ma`ana… Begitulah lafaz Nabi saw yang telah meredupkan hati Saydina Abu Bakar, sahabat Baginda saw, memberikan sinar harapan kembali berupa ketenangan hakiki, tatkala dirundung kesulitan, ketika mereka di Gua Hira’…

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (40)

Maksudnya:

40. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya (Abu Bakar): "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan rasa tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir di bawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Tawbah (9): 40

Mudah-mudahan hatinya tidak terhijab disebabkan kealpaan dunia, lantas memusatkan nawaitunya mendamba cinta-Nya semata. Akhirnya melahirkan jiwa yang merencahkan erti syukur dari banyak meminta… Alangkah indahnya munajat ini dihiasi dengan lingkaran syukur tidak bertepi seperti:

“Aku merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada-Mu ya Allah dengan nikmat kesihatan dan kefahaman yang Engkau kurniakan”

Daripada meminta:

“Ya Allah, kurniakanlah daku nikmat kesihatan dan kefahaman…”

…Aku memanjat setinggi-tinggi kesyukuran kepadaMu ya Allah, kerana mentarbiyah jiwa ini menjadi seorang hamba yang redha dan bersyukur dengan segala nikmat-Mu… Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah, dengan tarbiyah-Mu yang mendetikkan hati-hatiku dan orang-orang di sekelilingku agar saling mentarbiyah hati untuk mengingati hari di kemudian hari menuju ke mihrab-Mu… Segala-galanya adalah Engkau… Subhana Allah… Alhamdulillah… Wa Lailaha Illa Allah… Allahu Akbar… Wa La Hawla Wa La Quwwata Illa biLlah al-`Aliy al`Azim… Buat sahabat-sahabatku, ingin kupersembahkan bingkisan ketulusan hati ini dengan menuturkan: “LA TAHZAN, INNA ALLAHA MA`ANA,” lambang jalinan utuh ukhuwah kita demi mendaulatkan agama dalam lembayung tarbiyah-Nya yang hakiki… Yang mewarnai kehidupan insan berTUHAN seindah pelangi…

~ribbiyyun~

Hotel Indonesia, Kabupaten (Daerah) Tuban, Jawa Timur, Indonesia,

Sabtu,4 Jun 2011, 9.42 am.

Dipostkan ke dalam blog pada:

Rabu, 8 Jun 2011, 5.21 am.

0 comments: