8 Mei dan 22 Mei…

Alhamdulillah rabbil `alamin… Kupanjatkan sejuta kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan limpahan nikmat kurniaan-Nya… Kudiberi nafas oleh-Nya untuk terus melangkah bagi meneruskan episod permusafiran melangkaui usia 24 tahun pada 22 Mei 2011. Syukran jazilan buat sahabat-sahabiah yang menitipkan ucapan Hari Lahir diselangi tazkirah dan tawsiah membina. 22 Mei 2011… Tarikh yang mengimbau kembali kenangan silamku tatkala melihat gambar di atas. 22 Mei 2011… Tarikh yang mengingatkanku jasa seorang ibu yang mentarbiyahku semenjak kecil. 22 Mei 2011… Tarikh yang terus-menerus menjadi pengajaran buatku untuk sentiasa mengingati mati apatah lagi pada waktu tersebut, terdapat insiden yang begitu menyayat hati… Satu tragedi yang menggemparkan negara yang membabitkan kematian 16 orang anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Sungai Semungkis di Hulu Langat akibat kejadian tanah runtuh pada petang 21 Mei 2011. Inna lillah wa inna Ilayhi raji`un… Begitu dekat dengan rumahku di Hulu Langat, jaraknya kira-kira 5 minit sahaja. Agak sayu telahan hati ini kerana yang pergi itulah dalam kalangan kanak-kanak yang suci hatinya, yang sebahagian besarnya mengikuti pengajian tahfiz al-Qur’an dalam usia yang agak muda. Pada Sabtu malam, 21 Mei 2011, jalan begitu sesak. Aku bersama adik-adikku, Im dan Diana dalam perjalanan pulang ke rumah Hulu Langat ketika itu…

Pada 22 Mei 2011 juga, terdapat satu seminar “Membina Negara Sejahtera” yang dianjurkan oleh Persatuan Syubban Malaysia (Di bawah PUM) dan Youth Centre. Alhamdulillah… Aku sempat menghadiri seminar tersebut meskipun terdapat beberapa pembentang tidak dapat kuikuti pembentangannya. Seminar yang menyentuh persoalan pembinaan negara Islam dan perlembagaan negara. Namun terdapat satu tarikh yang lbegitu berharga buat diri ini... Iaitu 8 Mei. 8 Mei merupakan Hari Ibu. Lalu kuteringat kepada firman Tuhan pada surah al-Ahqaf, ayat 15-16:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (15) أُولَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجاوَزُ عَنْ سَيِّئَاتِهِمْ فِي أَصْحَابِ الْجَنَّةِ وَعْدَ الصِّدْقِ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ (16)

Maksudnya:

15. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah, sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan, setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

16. Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

Al-Ahqaf (46): 15 – 16

Syukran jazilan buat umi yang telah mendidikku dan mengasuhku. Jutaan terima kasih buat umi yang telah menyusukanku selama 2 tahun, untuk menjadikan anak ini seorang yang benar-benar bergelar ‘manusia’ yang mengenali Pencipta, agar diri ini berusaha ke arah menjadi anak yang soleh… Buat sahabat-sahabiah, marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang terkandung dalam ayat 15 di atas, agar beroleh keturunan yang baik dalam mengerjakan amal soleh, lambang kesyukuran kita ke hadrat Allah. Wa Allahu a’lam… Buat umi, kuhadiahkan sebuah simfoni lagu di bawah… Wassalam…

P/S: Gambar kuning tu telah dilukis oleh sahabatku ,Lukman, untukku, ketika aku menuntut di Ma`ahad Johor pada usia 18 tahun…

~ribbiyyun~

JAQH,APIUM,

Rabu, 25 Mei 2011, 5.15 pm.

0 comments: