Al-Quran: Penyuluh umat dari kegelapan

Al-Quran merupakan asas pegangan umat Islam yang mengandungi segala perlembagaan hidup manusia. Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. sekaligus memadamkan api kejahilan yang menyelinap di segenap pelosok manusia seterusnya membawa cahaya yang menyinari manusia ke jalan kebenaran, kesejahteraan, dan kebahagiaan abadi. Manusia perlu menyedari dan beriman bahawa tiada satu kitab atau mana-mana rujukan yang dapat menandingi kemurnian dan keagungan al-Quran daripada dicemari oleh tangan-tangan golongan yang memusuhi Islam. Ini terbukti dengan sorotan sejarah silam yang menyaksikan bahawa pengajian, pengumpulan, dan pembukuan al-Quran tidak dapat disekat dan diganggu gugat, malah usaha untuk memelihara Kalam Allah semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Kebenaran al-Quran sememangnya terbukti dengan perkembangannya yang begitu pesat semenjak kehidupan Rasulullah S.A.W. lagi sehingga sekarang bahkan hingga ke hari kiamat ekoran sejumlah besar umat manusia khususnya umat Islam berusaha tanpa jemu untuk memahami serta menghayati intipati yang terkandung di dalam al-Quran. Tidak kurang juga ramai manusia yang menyedari akan kemuliaan dan kehebatan kalam Allah ini berusaha untuk memeliharanya sama ada melalui hafazan dan penulisan zaman-berzaman. Rentetan ia dipelihara dan dijaga oleh sejumlah besar umat manusia di setiap era, maka pastinya ia mustahil untuk didustakan dan diselewengkan. Keunikan yang terdapat pada al-Quran pastinya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makhluk atau peradaban, bertepatan dengan firman Allah S.W.T. mafhumnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".[1]
Menyorot kembali sirah Baginda S.A.W., madrasah al-Quran yang telah dibina oleh Nabi Muhammad S.A.W. tidak tenggelam dek hanyut dimamah waktu begitu sahaja, bahkan para sahabat meneruskan agenda perjuangan Nabi S.A.W. dalam usaha untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah ke seantero dunia melalui pemahaman dan garapan yang terkandung di dalam al-Quran. Usaha memelihara kalam Allah di samping mengembangkan skop perbahasan yang berkaitan al-Quran memberikan anjakan kepada kewujudan madrasah tafsir di Mekah, Madinah, Syam, dan Iraq. Sehingga pada abad ketiga Hijrah, dalam tempoh yang begitu singkat sahaja, pengajian al-Quran dari segenap aspek terus bercambah hingga merentasi sempadan Arab menuju ke wilayah Andalus dan wilayah-wilayah lain.
Lipatan sejarah mengenai pengajian tafsir al-Quran di Andalus pada awal-awal pemerintahan Islammya telah berjaya memikat hati pencinta al-Quran ketika itu. Pencetusan kepada penghasilan karya tafsir al-Quran oleh Baqiy bin Makhlad pada awal abad ketiga Hijrah telah menghembuskan nafas kebangkitan dan satu paradigma baru kepada ulama’-ulama’ tafsir selepasnya untuk meneruskan perjuangan meneroka segala ilmu pengetahuan yang bersangkut paut dengan al-Quran. Pola perkembangan ini disaksikan dengan kemunculan tokoh-tokoh tafsir tersohor dunia seperti Ibn al-`Arabi, Ibn `Atiyyah, al-Qurtubi, dan Abu Hayyan al-Andalusi. Keempat-empat tokoh ini telah berjaya membuka dimensi baru peradaban dunia melalui pentadbiran di Andalus yang berorientasikan pengamalan yang jitu menurut landasan yang berpaksikan al-Quran dan sunnah.
Pelbagai indikator dan metodologi yang telah digunapakai oleh ulama’-ulama’ Andalus dalam proses menghasilkan karya tafsir mereka. Tumpuan yang berbeza kepada penghasilan sesebuah karya tafsir al-Quran di Andalus menjadi faktor pelengkap sebagai panduan kepada kehidupan masyarakat majmuk di Andalus. Umpamanya Ibn al-`Arabi dan al-Qurtubi memberi tumpuan kepada aspek perbahasan fiqh, manakala Ibn `Atiyyah dan Ibn Hayyan memberikan penekanan terhadap aspek bahasa di dalam penulisan karya tafsir mereka. Tidak ketinggalan juga, Ibn `Arabi yang juga merupakan tokoh besar di dalam aliran sufi falsafi telah menghasilkan satu karya tafsir al-Quran lengkap yang memberi tumpuan terhadap perbahasan tasawuf dan falsafah. Kepelbagaian aliran pemikiran serta metodologi yang mewarnai madrasah tafsir di Andalus ini nyata membuktikan bahawa pengajian ini sudah berada pada tahap yang cukup terbilang suatu ketika dahulu.
Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hamba Allah yang meyakini serta mengimani segala ajaran yang terdapat di dalam al-Quran, seterusnya memartabatkannya daripada diinjak oleh golongan-golongan yang memusuhi Islam.

0 comments: