Cerminan Tarbiah Tersurat dan Tersirat Menjelang Ramadhan…

Selama lebih seminggu juga aku tidak menulis blog setelah menyambut ketibaan Ramadhan. Ini kerana kadang-kala aku tidak punya masa untuk menaip lantaran aku lebih menumpukan kepada perkara-perkara yang lebih aula, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan – Tumpuanku antaranya melipatgandakan amalan… Mungkin juga kerana laptopku rosak teruk menyebabkan daku terpaksa menumpang taip di komputer lain. Aku beruntung kerana dipertemukan oleh Allah dengan Ramadhan kali ini. Ramadhan kali ini sedikit sebanyak memberikan erti yang mendalam buatku sungguhpun baru seminggu sahaja berlalu. Aku merasakan, selain tarbiah berbentuk riadah rohani dalam meniti institusi tarbiah Ramadhan ini, aku tersentak dengan beberapa mehnah yang membuatkanku terfikir lantas mengingatkan daku kepada kebesaran Pencipta. Sebelum menjelang Ramadhan dalam beberapa hari, ada saja jasad ini tidak merasa selesa dengan batuk-batuk, selsema, dan sakit tekak. Namun pada 1 Ramadhan, Allah s.w.t memberikan nikmat kesihatan kepadaku untuk menjalani ibadah di dalam bulan Ramadhan dengan lebih tenang dan harmoni. Aku lalu berfikir, sekiranya aku tidak diuji dengan tubuh badan yang tidak sihat sebelum tibanya Ramadhan, belum tentu lagi aku akan memahami, menyedari lalu menghayati nikmat kesihatan. Kerana itu Allah s.w.t mendatangkan beberapa penyakit agar aku menyedari bahawa betapa besarnya nikmat kesihatan yang dikurniakan untuk dimanfaatkan dengan sebaik mungkin khususnya di bulan Ramadhan. Ini mengingatkan daku kepada sabda Nabi s.a.w. Rasulullah sering menyebutkan dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia melalui hadith sahihnya yang berbunyi: Dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Ternyata hadith tersebut merupakan suatu realiti yang sering berlaku pada kebanyakan manusia termasuk aku. Dengan nikmat kesihatan yang diberikan inilah, aku akan memanfaatkannya sebaik mungkin di dalam bulan yang penuh barakah ini.

Datang pula satu hal yang tidak kuduga. Komputer ribaku pula mulai rosak pada 2 Ramadhan, sedangkan pada waktu-waktu sebelum ini, komputerku tidak menunjukkan apa-apa masalah atau simptom rosak. Aku agak sukar menaip dan menyimpan rekod-rekod kerja r.a. ku di samping agak rumit untuk menulis artikel. Kerosakan yang berlaku pada komputer membuatkanku sedikit gelisah kalau-kalau terdapat fail-fail penting yang akan hilang. Setelah diperiksa kerosakan komputer, proses pembaikian komputerku memakan belanja RM1500-RM1800. Seakan mustahil… Lalu kuberfikir untuk membeli laptop baru sahaja pada bulan depan memandangkan aku agak kekeringan wang buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana maklumat-maklumat penting yang terdapat di dalam komputerku masih tersimpan. Di sebalik tribulasi yang hakikatnya merupakan satu proses tarbiah daripada Allah s.w.t, aku merenung kembali… Allah s.w.t memberi peringatan kepadaku agar tidak melengah-lengahkan penghasilan proposal penyelidikanku bagi menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D. serta menghargai masa dan kemudahan yang sedia ada (komputer), supaya dengan ujian tersebut, aku menyedari bahawa aku mempunyai tanggungjawab yang besar kepada ummah khususnya setelah menamatkan pengajian. Sedangkan ulama’ terdahulu tidak mempunyai komputer atau kemudahan menaip, namun mereka berupaya menghasilkan beratus-ratus judul karya ilmiah yang menjadi rujukan sehingga kini. Maka, siapakah aku yang mempunyai pelbagai kemudahan, tetapi tidak memanfaatkannya sebaik mungkin..?! Seharusnya, aku sewajarnya berupaya menghasilkan karya yang lebih banyak berbanding mereka kerana mempunyai pelbagai kemudahan meskipun agak mustahil. Jadi, mahu tidak mahu, aku perlu menyegerakan sebarang perkara yang bersangkut-paut dengan pengajianku agar aku berhasil menamatkan pengajian secepat mungkin.

Beberapa hari kemudian, hadiah konvokesyen berupa jam tangan daripada ibu bapaku pula telah hilang di dalam bulan Ramadhan ini juga. Hatiku sedikit sedih memikirkan hal tersebut, dan kesedihan ini disebabkan beberapa faktor, antaranya kehilangan jam tersebut disebabkan oleh kecuaianku sendiri. Selain itu, jam tangan tersebut merupakan satu-satunya hadiah yang sangat berharga bagiku daripada kedua ibu bapaku hasil kecemerlangan di dalam pengajian, apatah lagi harganya juga agak mahal. Kehilangan tersebut berlaku ketika aku terlupa mengambil semula jam tanganku yang kutinggalkan kira-kira 15 minit di bilik air di KLIA. Usah dirungutkan tentang perkara yang telah berlalu, wahai Ali... Nabi s.a.w mengajar kepada kita di dalam hadithnya mafhumnya, sekiranya perkara tersebut telah berlalu, lalu seseorang tidak berpuas hati dengan hasilnya, janganlah mengatakan: kalau aku buat begini dan begini, maka pasti jadi begini… Tetapi katakanlah: QADDARALLAH WA MA SYA’A FA’ALA (Allah telah menentukannya dan apa yang dikehendakiNya, Dia lakukan)… Aku lalu mengerti. Setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Lalu aku memuhasabah diri ini semula bahawa Tuhan mendidikku agar sentiasa berwaspada serta tidak cuai, selain itu ia mengingatkan daku akan kepentingan menghargai masa (yang dikaitkan dengan kehilangan jam) walau sedetik. Lalu, aku berusaha mengikhlaskan niat, bahawa aku menjadikan kehilangan jam tersebut sebagai satu infaq di dalam bulan Ramadhan. Di dalam bulan Ramadhan juga, Rasulullah sering memberi galakan agar umat Islam sentiasa menginfaqkan harta dan makanan, dan di dalam mafhum hadith sahihnya, sekiranya kita menginfaqkan harta dan memberikan makanan kepada sesiapa sekalipun, maka kita akan memperoleh ganjaran keseluruhan pahala yang terdapat pada orang yang memperoleh pemberian tersebut. Subhana Allah… Sungguh indah kehidupan di dalam agamaMu ya Allah… Ganjaran demi ganjaran diberikan kepada mereka yang mengharapkan keredhaan di sisiNya, dan seandainya ganjaran tersebut dizahirkan di hadapan mereka, sudah pasti berbondong-bondong manusia akan melakukan kebaikan tersebut tanpa dipaksa!

Bulan Ramadhan yang penuh hikmah dan rahsianya tersendiri juga menjawab persoalan dan permasalahan yang timbul terhadap diriku dalam usaha untuk menambah keimanan kepada Allah. Sungguh Hebat percaturan Allah s.w.t.! Setiap perkara berupa ujian yang berlaku, digantiNya dengan perkara dan balasan yang lebih baik. Ketika daku kekeringan wang di dalam bulan ini, satu-persatu Allah s.w.t memberikan pertolongan kepadaku berupa wang dan makanan. Makanan sentiasa saja cukup untuk kuberbuka puasa dan bersahur tanpa kuperlu mengeluarkan apa-apa belanja untuk membeli makanan. Ada saja pemberian wang dari sahabat-sahabatku tanpa kuminta hanya kerana sekelumit sahaja bantuanku kepada mereka seperti menjadi pemandu kereta ke kawasan-kawasan tertentu khususnya di dalam program, menjadi pengkuliah Ramadhan, dan membantu beberapa sahabat yang memerlukan bantuan. Berapalah sangat bantuanku kepada mereka, malah aku tidak mengharapkan apa-apa. Setiap kali mereka menaiki kereta bersamaku, mereka sendiri yang menawarkan diri untuk membayar wang petrol tanpa kupinta… Sesungguhnya, Allah s.w.t Penguasa bagi hati inilah telah menggerakkan hati-hati mereka. Subhana Allah, syukran jazilan wahai sahabat-sahabiahku sekalian! Aku tidak menyangka perkara sebegini berlaku, dan ia hanyalah berlaku sekiranya kita meletakkan pengharapan dan pergantungan yang mutlak dan hakiki kepada Allah s.w.t. Kerana Dia sahajalah yang Maha Mengetahui isi hati manusia yang keluh kesah tanpa diketahui oleh mana-mana makhluk sekalipun… Jadi, pohonlah keampunan dan kerahmatan dariNya, pasti Dia akan membantumu! Firman Allah s.w.t:

186. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Surah al-Baqarah (2): 186

Ya Allah, berikanku ketabahan… Ya Allah, berikanku kekuatan… Ya Allah, aku sungguh berdosa, demi RahmatMu kusanggup berjuang meninggikan kalimahMu… Inilah madrasah tarbiahku, RAMADHAN... Satu madah pujangga Arab yang sering dikaitkan dengan bantuan Allah ialah: Wa Allahu fi `aunil `abdi ma damal `abdu fi `auni akhikhi… (Sesungguhnya Allah s.w.t memberi bantuan kepada seorang hamba selagi mana hamba tersebut sentiasa memberikan bantuan kepada saudaranya…) Di dalam minggu pertama Ramadhan ini juga, aku memperoleh khabar gembira lagi dengan perolehan voucher berjumlah RM600 untuk membeli bahan bacaan ilmiah hasil kecemerlangan bergraduasi. Hamdan wa syukran lillah..! Hatiku sangat-sangat tersentuh dengan kehebatan dan fadhilat yang terdapat di bulan Ramadhan, doa pengharapan diperkenankan Allah khususnya ketika saat-saat berbuka puasa dan ketika di keheningan malam. Lakukanlah tahajjud setiap hari, membaca al-Qur’an tidak henti, mendirikan tarawih di malam hari, dan lain-lain lagi… Manfaatkanlah masa dengan sebaiknya dengan beramal. Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita. Taqabbala Allahu minna wa minkum… Di sebalik kepayahan yang didatangkan untuk menguji iman kita di bulan Ramadhan, Allah s.w.t memberikan kenikmatan serta anugerah yang tidak kita jangka, asalkan kita sentiasa bersyukur, redha, dan tabah dengan ujian yang didatangkan. Kerana sesungguhnya kepayahan itu diiringi dengan kemudahan (surah al-Nasyr, ayat 5 – 6), dan kemudahan ini dihadiahkan oleh Allah s.w.t kepada sesiapa yang berjaya mengatasi rintangan dan ujian dan dalam proses peningkatan iman dan amalan… Wa Allahul musta`an…

0 comments: