Buat Pendokong Islam… Penting! Sila Baca… Manhaj Aqidah Ikhwan al-Muslimin (1)

Manhaj Aqidah dari Perspektif Ikhwan al-Muslimin menerusi Pendirinya, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.

Saya merasa begitu terpanggil untuk menghuraikan secara ringkas mengenai manhaj aqidah Ikhwan al-Muslimin. Demi Allah… Saya merasakan bahawa hati ini begitu berat sekali untuk membicarakannya atas kejahilan dan keda`ifan saya yang teramat sangat, namun saya merasa bertanggungjawab dengan nada insaf dan hati yang ikhlas, saya ingin menjernihkan kembali pemahaman-pemahaman sebelum ini yang barangkali kurang tepat dan berbeza di kalangan pendiri/pimpinan jemaah Islam kampus itu sendiri pada masa kini sehingga menimbulkan sengketa di kalangan ahli yang boleh membawa kepada perpecahan. Jika diperhatikan entri-entri di dalam blog saya sebelum-sebelum ini, saya tidak pernah atau jarang sekali membangkitkan persoalan aqidah salaf dan khalaf, kerana saya begitu khuatir perbincangan ini hanya akan menimbulkan sentimen ketaksuban dan perbalahan, walhal saya tidaklah bermaksud demikian. Justeru, sudah tiba masanya untuk saya membicarakan yang hak, berasaskan hujah dan dalil, apatah lagi sejak kebelakangan ini, saya dihujani dengan pertanyaan demi pertanyaan mengenai manhaj aqidah yang benar dan yang bertanyakan itu adalah sahabat-sahabat serta adik-adik seperjuangan sendiri. Saya berharap agar sahabat-sahabiah bacalah artikel ini dengan hati yang terbuka dan dengan pertimbangan wahyu dan akal, insya Allah kita sama-sama beroleh tawfiq hidayah daripada Allah. Saya juga memohon tawfiq dan hidayah kepada Allah s.w.t agar kita tidak tergelincir dari pemahaman aqidah sebenar di dalam landasan jemaah…. Ya Allah, bimbinglah kami di atas manhaj aqidah yang benar dalam meninggikan Islam di dalam kesatuan jemaah.

Dorongan untuk menulis artikel ini dalam usaha untuk menjernihkan persoalan-persoalan aqidah dan jemaah adalah rentetan daripada penyertaan saya di dalam Seminar Pemikiran Islam, anjuran Jabatan Aqidah dan Jabatan Islam, APIUM pada hari Selasa sehingga Khamis baru-baru ini. Apatah lagi, beberapa cendekiawan yang membentangkan kertas kerja persidangan itu merupakan tokoh-tokoh besar dalam bidang aqidah yang hadir dari dalam dan luar negara. Di antara mereka ialah Dr. Toriq Lahham yang memiliki dua Ph.D, merupakan pensyarah di Global University, Beirut, Lubnan. Beliau merupakan pensyarah kepada sahabat saya, Aizuddin yang kini menuntut di Global University tersebut. Dr. Toriq Lahham memiliki kepakaran dalam bidang Hadith, `Ulum al-Qur’an, Syari`ah al-Islamiyyah, dan Dirasat al-Islamiyyah. Berbalik kepada perbincangan aqidah, dengan nada yang insaf dan hati yang ikhlas, saya menyatakan bahawa pegangan aqidah sebenar umat Islam ialah aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) melalui aliran al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah. Itu yang pertama. Yang kedua, apakah manhaj aqidah Ikhwan al-Muslimin melalui pendirinya, al-Imam Hasan al-Banna sejajar dengan manhaj al-Asya`irah atau al-Maturidiyyah..? Saya menyatakan sudah tentu… Cuma, berdasarkan tinjauan saya, sehingga kini saya masih belum menemui perbincangan yang begitu mendalam mengenai manhaj al-Asya`irah di dalam ideologue terkemuka Ikhwan tersebut (Hasan al-Banna), dan beliau menyatakan bahawa Ikhwan al-Muslimin berpegang kepada manhaj salaf, seterusnya beliau mengemukakan sedikit huraian ringkas mengenai pemahaman salaf melalui Usul 20 dan juga mengemukakan perbahasan ringkas mengenai manhaj sifat 20 aliran al-Asya`irah di dalam Majmu’ al-Rasa’il karangan beliau. Saya masih mencari pendetilan bagi persoalan ini… Sekiranya terdapat makluman, sila maklumkan kepada saya. Maka, apakah hubungan pula di antara salaf yang diperkenalkan oleh gerakan Ikhwan melalui pendirinya Hasan al-Banna dengan aqidah ASWJ menerusi aliran al-Asya`irah..?

Sahabat-sahabiah sekalian, umum mengetahui bahawa di dalam tradisi pengajian aqidah al-Asya`irah sendiri, ia terbahagi kepada dua kelompok utama, iaitu Salaf dan Khalaf. Perbincangan mengenai manhaj aqidah Salaf dan Khalaf dalam tradisi aliran al-Asya`irah menggambarkan keunggulan manhaj aqidah ASWJ itu sendiri yang mana ia mengetengahkan dalil-dalil naqal di samping tidak mengenepikan fungsi aqal. Hanya saja di dalam pemahaman aqidah ASWJ, kebanyakan umat Islam kini sering didoktrin oleh kelompok-kelompok minoriti tertentu yang mendakwa bahawa aliran al-Asya`irah seolah-olah lebih mengutamakan dalil-dalil mantiq (logik) yang sukar difahami sehingga dilihat pendalilan al-Qur’an dan al-Hadith kelihatan agak tenggelam, justeru mereka langsung menghukum bahawa aliran al-Asya`irah hanya mengutamakan pendekatan ta’wil daripada nas, bahkan ada juga golongan yang menyesatkan al-Asya`irah. Tegasnya, saya mendapati kenyataan sebegini begitu silap dan sangat berbahaya… Sedangkan pada pengamatan dan penelitian saya yang serius sehingga kini, aliran al-Asya`irah juga mengemukakan pendekatan tafwidh dalam menghadapi ayat-ayat mutasyabihat atau lebih dikenali sebagai manhaj SALAF. Cumanya boleh saya katakan bahawa di dalam tradisi keilmuan manhaj al-Asya`irah, pendekatan ta’wil tafsili agak lebih dominan digunakan oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam al-Asya`irah berbanding ta’wil ijmali (tafwidh) dalam membicarakan persoalan ayat-ayat mutasyabihat, maka dengan sebab itulah kebanyakan mereka yang gemar membincangkan kelompok salaf dan khalaf akan menyandarkan al-Asya`irah kepada kelompok khalaf yang menggunakan kaedah ta’wil tafsili dalam menghuraikan ayat mutasyabihat sungguhpun Abu al-Hasan al-Asy`ari hidup pada kurun ketiga terawal daripada Hijrah di dalam era SALAF AL-SOLEH, begitu juga terdapat tokoh-tokoh Asya`irah yang menggunakan manhaj salaf tafwidh dalam memahami nas. Namun begitu dari segi manhajnya, aliran al-Asya`irah terbahagi kepada dua pendekatan, iaitu salaf (ta’wil ijmali/tafwidh) dan khalaf (ta’wil tafili).

Setelah melakukan penelitian bersungguh-sungguh mengenai buah fikiran dan pegangan al-Imam Hasan al-Banna, saya begitu yakin, al-Imam al-Syahid berpegang dengan manhaj salaf tafwidh di dalam disiplin manhaj al-Asya`irah, hanya saja beliau tidak menyatakan secara terang-terangan di hadapan khalayak kerana matlamat perjuangan Ikhwan sebenar adalah ingin mengembalikan semula kekhalifahan Islam di muka bumi, berhukum dengan hukum Allah s.w.t, serta membina KESATUAN ummah justeru ia dianggap sebagai satu perjuangan yang lebih prioriti dan dominan berbanding perbincangan seputar salaf dan khalaf memandangkan keruntuhan umat Islam atas jahiliah moden pada ketika itu begitu meruncing, malah jahiliah moden masih berterus-terusan berlaku sehingga kini. Oleh sebab itulah, sepanjang pengamatan serius saya, saya mendapati bahawa kelompok yang dilabelkan sebagai Ahbash yang sangat berpegang teguh dengan aliran al-Asya`irah -pendekatan ta’wil tafsili- tidak menyesatkan apatah lagi mengkafirkan al-Imam al-Syahid, bahkan mereka menghormati dan menyatakan bahawa al-Imam al-Syahid merupakan seorang mujahid yang sangat soleh dan tawadhuk. Perkara ini saya dengar sendiri melalui kuliah talaqqi saya bersama Syeikh Umar, anak murid kepada Syeikh Abdullah al-Harari (yang didakwa sebagai pengasas gerakan Ahbash, iaitu sebuah gerakan aliran al-Asya`irah yang sangat tulen di Lubnan). Sekiranya al-Imam al-Syahid tidak berpegang dengan aliran salaf tafwidh mahupun ta’wil tafsili di dalam legasi manhaj al-Asya`irah, saya begitu yakin dan pasti bahawa sudah tentu golongan Ahbash yang begitu tegas dengan pendirian al-Asya`irah ini akan menyatakan bahawa al-Imam al-Syahid telah tergelincir daripada aqidah ASWJ yang sebenar lalu al-Imam al-Syahid dikategorikan sebagai sesat, tetapi polemik (isu tadhlil) ini tidak berlaku ke atas beliau. Namun, di satu golongan minoriti yang lain yang saya kira seakan berselindung di atas nama ‘salaf’, saya dapati terdapat elemen-elemen tadhlil dan takfir dilakukan ke atas al-Imam al-Syahid hanya kerana al-Imam al-Syahid pernah melalui zaman kesufian, mengharuskan tawassul dan menyatakan ia termasuk dalam perbincangan isu khilafiyyah dalam aspek ibadah, dan mereka mendakwa al-Imam al-Syahid telah menyediakan risalah al-Ma’thurat yang dianggap oleh mereka sebagai bid`ah. Saya juga telah membaca blog-blog dan web-web yang berkaitan dengan golongan tersebut. Dan saya mendapati hal ini berlaku bertitik-tolak daripada sikap ‘ghuluw’ pseudo-salafi yang menyebabkan sesebuah entiti kecil menghukum kafir dan sesat kepada indivividu-individu tertentu. Justeru, perlu kita renungkan… Siapakah sebenarnya yang berdiri di atas manhaj salaf yang sebenar dan siapa pula yang bertopengkan ‘salaf’..?

Terus terang saya katakan bahawa, saya begitu gusar membincangkan persoalan-persoalan sebegini disebabkan kecetekan ilmu saya yang teramat sangat, dan bimbang sekiranya perbincangan saya ini akan menimbulkan sentimen negatif sesetengah pihak terhadap saya, sedangkan saya sesungguhnya tidak bermaksud sedemikian, kerana saya berbicara atas platform ahli haraki yang mengambil kira wehdatul fikr dan wehdatul `amal dalam meruntuhkan kejahilan dan meninggikan Islam. Kerana saya cintakan jemaah dan perjuangan… Sehingga kini, setelah saya mencermati aqidah yang dijelujuri oleh Ikhwan al-Muslimin menerusi pendirinya, al-Imam Hasan al-Banna r.a, maka menerusi analisis saya, saya dapat simpulkan bahawa:

1. Ikhwan al-Muslimin berpegang pada konsep La Ifrat wa la Tafrit (tidak terlalu rigid dan tidak terlalu longgar). Menekankan konsep wasatiyyah dan berlepas diri dari persoalan takfir, tadhlil, dan tafsiq. Menghormati pandangan dan bersikap tasamuh. Serta menghormati pendangan aliran khalaf Asya`irah yang mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat dengan makna yang sesuai berasaskan dhawabit (indikator) pentafsiran sebenar yang jitu. Justeru, saya mendapati bahawa pendekatan salaf yang dibangunkan oleh al-Imam al-Syahid merupakan indikator yang terbaik dalam wehdatul ummah yang mana terdapat juga di kalangan mereka agak literal (rigid kepada pemahaman zahir ayat semata-mata yang mendakwa diri mereka adalah ‘salafi’ sehingga mengundang kepada tasybih dan tajsim) dan segolongan yang lain pula agak liberal (terlampau bebas dalam menggunakan aqal dan takwilan sesat). Pada pengamatan saya, manhaj salaf yang diperkenalkan oleh al-Imam al-Syahid ini merupakan salah satu cabang daripada manhaj al-Asya`irah setelah saya memerhatikan pendekatan Hasan al-Banna ketika berhadapan dengan ayat-ayat mutasyabihat di dalam al-Qur’an, tinggal lagi al-Imam al-Syahid tidaklah membahaskan persoalan sifat 20 secara terperinci melainkan hanya dibincangkan melalui karya Majmu’ al-Rasa’il beliau. Al-Imam al-Syahid mengeluarkan kenyataan bahawa kita wajib beriman dengan apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an serta menyerahkan (tafwidh) maksudnya kepada Allah s.w.t. dan pendekatan inilah dikenali sebagai salaf tafwidh atau ta`wil ijmali di dalam tradisi keilmuan al-Asya`irah, dan inilah pendapat jumhur ulama’ mengenai pegangan salaf yang sebenar apabila berhadapan dengan nas-nas mutasyabihat. Sahabat-sahabiah bolehlah merujuk karya Usul 20 dan Majmu’ al-Rasa`il karangan al-Imam Hasan al-Banna. Ya, saya akui… Yang mana di sana, terdapat juga pandangan syaz (minoriti) di kalangan ulama’ yang mendakwa mereka berpegang kepada manhaj salaf dan menyatakan bahawa kita perlu berpegang kepada zahir ayat (literal) dengan ithbat tanpa memikirkan ‘bagaimana’. Maka, apakah kira-kira kita ingin berpegang dengan pandangan syaz atau sewajarnya kita berpegang kepada pandangan jumhur ulama’? Di antara jumhur ulama’ tersebut ialah al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Imam al-Suyuti, al-Imam al-Haramayn al-Juwaini, al-Imam al-Qurtubi, al-Imam Abu Hayyan al-Andalusi, Imam Ibn al-Jawzi (Perlu dibezakan antara Ibn al-Jawzi yang hidup sekitar abad kelima hijrah dengan Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang hidup sekitar abad ketujuh Hijrah), al-Imam al-Ghazali, al-Imam Taqiyyuddin al-Subki, al-Imam Fakhr al-Din al-Razi, al-Imam Baihaqi, al-Imam al-Sanusi, al-Imam al-Syeikh al-Mutawalli Sya`rawi, Dr. Sayyid Ramadhan Buti, dan sebagainya… Terlalu ramai… Sila rujuk kertas-kertas kerja persidangan di dalam Seminar Pemikiran Islam, anjuran Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam, APIUM yang bertemakan “al-Asya`irah dan Cabaran Semasa” baru-baru ini. Di sini perlu kita membezakan di antara manhaj salaf sebenar dengan manhaj mundda`i al-Salafi (yang mendakwa diri mereka salafi). Maka, kita dapat simpulkan bahawa Ikhwan al-Muslimin berpegang kepada prinsip aqidah Salaf sebenar yang dinisbahkan kepada manhaj Rasulullah dan para sahabat, para salaf al-Soleh, seterusnya ia didokong oleh jumhur ulama’. Sahabat-sahabat, dengan nada insaf dan berlapang dada, saya menyeru, fikir-fikirkanlah…

2. Mengenai konsep pembahagian aqidah kepada 3 bahagian, sepanjang penelitian saya mengenai pemikiran al-Imam al-Syahid, al-Imam al-Syahid tidak pernah menyatakan PEMBAHAGIAN aqidah bermanhaj salaf terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah, dan Tauhid Asma’ wa al-Sifat. Hanya saja barangkali al-Imam al-Syahid pernah menggunakan TERMA atau KONOTASI perkataan Iluhiyyah dan Rububiyyah, tetapi tidak pula beliau mentaqsimkan tauhid kepada tiga bahagian. Bahkan, sebahagian besar pendokong-pendokong Ikhwan yang lain juga hanya menggunakan terminologi Uluhiyyah dan Rububiyyah sahaja, dan tidak memisah-misahkan ia menjadi bahagian-bahagian tertentu dalam disiplin ilmu tauhid. Sebahagian kader-kader Islam masa kini saja ada yang menghebahkan dan membesar-besarkan bahawa pembahagian aqidah tauhid kepada tiga bahagian itu merupakan aqidah yang dijelujuri oleh Ikhwan al-Muslimin dan pengasasnya, sedangkan pada hakikatnya TIDAK sama sekali. Pengenalan mengenai manhaj aqidah yang terbahagi kepada 3 bahagian ini hanya bermula selepas abad ke-7 Hijrah, dan ia hanyalah manhaj aqidah yang syaz, berbanding manhaj aqidah sawad al-A’zam al-Asya`irah yang didokongi oleh jumhur ulama’. Wa Allahu a’lam. Namun begitu, saya dengan nada hormat tidak sesekali menghentam membuta tuli kepada mereka yang berpegang kepada manhaj aqidah yang terbahagi kepada 3 bahagian, apatah lagi menyesatkan serta mengkafirkan mereka. Saya juga tetap menghormati al-Imam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah sebagai tokoh ilmuan dan cendekiawan agama. Justeru, saya mencadangkan agar bersikap lebih adil, perbincangan di dalam usrah-usrah tidaklah menyentuh persoalan manhaj tauhid tiga secara teoritikal dan terperinci, sebaliknya menjurus kepada hakikat tauhid, keesaan Allah dan kekuasaan-Nya yang mutlak, meletakkan bahawa Allah sw.t adalah matlamat tertinggi, yang mendorong diri kita berjuang di jalan Allah dan bertaqarrub kepada-Nya dan inilah dikatakan sebagai tarbiyah rabbaniyyah. Boleh juga menambah perbincangan usrah takwin mengenai sifat-sifat Allah menerusi karya Majmu’ al-Rasa’il karangan al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Akhirnya, kita dapat menghadirkan rasa diri berTuhan sepanjang masa dalam memahami tujuan hidup, lalu menjadi pemangkin kepada kita untuk berjuang di dalam kesatuan jemaah dan syahid di dalam cinta-Nya. Bersesuaian dengan slogan yang terdapat al-Qur`an:

إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ (92)

Maksudnya:

92. Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.

al-Anbiya’, (21):92

Juga firman-Nya:

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (40)

Maksudnya:

40. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Tawbah, (9):40

Dan juga:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya:

143. Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

al-Baqarah, (2):143

Bersambung………….

0 comments: