Imam Syuraim 2 (Imam Masjidil Haram) di Masjid Negara


Ramai di kalangan kita terkeliru di antara kalimah ‘tarawih’ dan ‘tarawikh’. Maka penggunaan kalimah yang lebih tepat adalah tarawih (pengakhiran kalimah adalah huruf ‘ha’, bukan ‘kha’) yang disandarkan kepada solat sunat selepas solat Isya’ pada bulan Ramadhan. Sekiranya kita memerhatikan definisi etimologi bagi kalimah tersebut, maka tarawih bermaksud merehatkan. Justeru, falsafah perlaksaaan tarawih bukanlah untuk memenatkan individu yang melakukannya lantaran ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang agak banyak, malah ia pada hakikatnya dapat merehatkan minda dan jiwa agar sentiasa tenteram bersama Allah s.w.t, khususnya ketika mengerjakan solat tersebut. Apabila seseorang mengerjakan solat tarawih dengan memusatkan tumpuannya hanya kepada Allah, merintih kepada-Nya, menghinakan diri dengan sesungguh-sungguhnya, tunduk, khudu’ dan khusyu’ dengan sebenar-benarnya, mempersiapkan diri untuk mati, maka kita akan merasai kerehatan dan ketenteraman minda juga jiwa di dalam solat tarawih tersebut. Itulah yang dipanggil sebagai terapi solat.

Apatah lagi, perlaksaan solat tarawih tersebut melibatkan jemaah yang begitu ramai serta bacaan imam yang begitu merdu dan menusuk jiwa… Subhana Allah, justeru kita akan merasai kemanisannya yang teramat sangat tanpa menyedari masa telah berlalu dengan begitu pantas pada malam tarawih tersebut. Maka, hal ini sememangnya berlaku di Masjidil Haram dan beberapa masjid besar yang lain di negara-negara Arab. Jemaah yang begitu ramai akan mengikat hati-hati insan yang berperwatakan pelbagai, namun menjurus kepada matlamat yang satu iaitu ALLAH. Lafaz Amiin secara beramai-ramai setelah Imam selesai membaca al-Fatihah di dalam solat akan memberikan kekuatan wehdatul ummah sehingga adakalanya liang-liang roma akan meremang dan hati pula akan bergetar saat melafazkan kalimah Amiin tersebut disebabkan perasaan dhawq yang hadir menusuk jiwa. Itulah kekuatan berjemaah. Dengan melakukan solat secara berjemaah, maka rukun-rukun yang tidak sempurna dilakukan oleh seseorang individu di dalam sesebuah jemaah terbabit akan ditampal/ditampung oleh individu lain yang sempurna melakukan rukun tersebut di dalam jemaah solat yang sama. Maka, semakin ramai keterlibatan manusia di dalam sesebuah jemaah solat, semakin banyaklah rukun-rukun solat dapat ditampal oleh jemaah yang besar di dalam solat tersebut yang akhirnya menatijahkan solat yang sempurna. Maka, kehidupan berjemaah memainkan fungsi sebagai tampungan kepada saudara seislamnya yang lain di dalam satu jemaah.

Berbicara mengenai solat tarawih berjemaah, seorang sahabat saya, Amilin mengesyorkan saya untuk bersolat Tarawih di Masjid Negara. Saya tertanya-tanya mengapa? Maka beliau menjawab bahawasanya bacaan Imam Tarawih di Masjid Negara saling tak tumpah seperti mana bacaan Imam Masjidil Haram, Mekah. Justeru, saya mengambil peluang untuk melakukan solat tarawih di Masjid Negara pada hari Sabtu malam Ahad yang baru sahaja berlalu, dan memang benar… Bacaan, lagu, suara, dan sebagainya oleh Imam Tarawih di Masjid Negara saling tak tumpah langsung seperti Imam Masjidil Haram, Imam Syuraim! Pada mulanya, saya menyangkakan bahawa Imam Syuraim telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menjadi imam di Masjid Negara, tetapi rupa-rupanya tidak. Hanya sahaja bacaan Imam tersebut sangat-sangat mirip dan sama dengan bacaan Imam Syuraim sama ada dari sudut lagu, suara, fasohah dan tajwid, dan sebagainya, subhana Allah… Saya amat menggemari bacaan Imam Syuraim, kerana bacaan beliau agak bersahaja namun sangat memberkas. Justeru, bermula pada hari tersebut, saya nekad untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Negara pada hari-hari berikutnya lantaran kedudukan masjid tersebut tidaklah begitu jauh dengan rumah saya yang jaraknya tidak sampai 10 minit sahaja sekiranya menaiki kereta.

Tidaklah menjadi asing bagi saya apabila melihat ramai jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Negara memandangkan bacaan imam tarawih tersebut seakan-akan imam Masjidil Haram. Ini kerana, saya merasakan bahawa ramai di kalangan mereka sangat merindui nostalgia di Masjidil Haram apatah lagi ketika bulan Ramadhan, maka sungguhpun mereka tidak menjejakkan kaki ke Mekah, sekurang-kurangnya mereka dapat mengembalikan semula nostalgia suasana solat jemaah di Masjidil Haram. Begitu juga saya, suasana sedemikian menyebabkan saya sangat teruja untuk menunaikan solat di Baitullah, mungkin saja bi’ah tersebut akan dapat dinikmati ketika menunaikan umrah nanti, Amiin… Sayup-sayup bacaan Imam di dalam solat tarawih menyebabkan hati saya tersentuh sehingga tidak menyedari bahawa saya sedang menunaikan solat tarawih di rakaat yang ke-20. Solat tarawih di Majid Negara tamat kira-kira pada jam 10.30 malam. Buat sahabat-sahabat sekalian, sekiranya mempunyai kelapangan masa, saya menjemput kalian semua untuk sama-sama kita menikmati keindahan bulan Ramadhan ini dengan bersolat tarawih di Masjid Negara, insya Allah kalian akan merasai kemanisannya… Tenang dan damai akan hadir asalkan kita mengikhlaskan niat lillahi Ta`ala… Garaplah fadhilat dan kelebihan di Bulan Ramadhan yang penuh barakah. Wassalam.

P/S: Majid Negara sediakan moreh jugak tau... =)

~ribbiyyun~

Ahad, 22 Ogos 2010,

Bersamaan 12 Ramadhan 1431 H,

1330 pm.

## Ramadhan Kareem ##

2 comments:

Mujahid Muda said...

salam...btul tu...ana pun ingat mula2 imam shuraim...ayah ana bgtau ana yg sebulan ni imam mekah di masjid negara...jd ana pulang ke rumah hujung minggu n bersolat di masjid negara...subhanallah aura semasa solat tu ibarat berada di mekah...mari ramai2 yg duduk berdekatan untuk pergi ke masjid negara...ana yg duduk jauh ni sekali sekala je dapat pergi...

kedaibiasa said...

Salam, saya pun asyik mendengar alunan bacaan imam tersebut, skrg Qiamulail pun saya join.. Jika berselisih harap dapat bersapa dengan anta..