Alangkah Sukarnya Mendidik Hati…

Alam muda-mudi merupakan suatu alam berfenomena yang membangkitkan transformasi mendadak ekoran desakan hati mereka. Golongan pemuda-pemudi yang hatinya terdorong untuk melakukan kebajikan akan menatijahkan keazaman membara serta kesungguhan berganda dalam melaksanakan kebajikan tersebut berbanding golongan kelas umur yang lain seperti golongan tua, golongan dewasa, dan sebagainya. Begitulah keistimewaan eksklusif golongan pemuda, memiliki dorongan hati yang kuat serta dikurniakan Allah s.w.t tiupan semangat membakar bagi melakukan transformasi, sama ada dalam hal-hal positif dan juga perkara-perkara negatif. Hanya sahaja yang menjadi kepincangan bagi para pemuda, mereka perlu dihulurkan bimbingan daripada kelompok yang lebih berpengalaman (iaitu mereka yang lebih berusia) agar tindakan anak-anak muda ini dapat bertapak pada jaluran Islam yang benar, juga agar kesepaduan harakah mereka bukanlah berlegar atas dasar semangat semata. Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna telah menggariskan 4 keistimewaan yang terdapat pada golongan pemuda-pemudi Islam sejati, iaitu keimanan, keikhlasan, semangat, dan pengorbanan beramal Islami. Selanjutnya beliau menyatakan:

أساس الإيمان القلب الذكي

وأساس الإخلاص الفؤاد النقي

وأساس الحماسة الشعور القوي

وأساس العمل العزم الفتي

Al-Qalb, al-Fu`ad, al-Syu`ur, dan al-`Azm… Bermula daripada bicara hati. Menyelami kosmologi hati, sememangnya ia agak subjektif untuk dirungkai. Pada hematku, alangkah sukarnya mendidik hati... Kerana pemilik hati dan Penciptanya sahaja yang mengetahui rahsia tuturannya serta hikmah bisikan sirrnya tanpa diketahui orang lain sekiranya ia tidak dimanifestasikan. Sekiranya hati ini berpenyakit, pada hakikatnya ia lebih berbahaya daripada penyakit-penyakit dosa yang dapat diidentifikasi dengan pancaindera, kerana hati ini tidak dapat dimengerti secara mendalam oleh manusia di sekelilingnya, serta tidak dapat dikenalpasti penyakitnya, hanya pemiliknya sahaja yang barangkali mengerti dan menangkap bisikan-bisikan halus yang menggoyahkan keimanannya.

Alangkah sukarnya mendidik hati ini… Khususnya apabila menjengah alam pemuda. Benar… Pastinya terdetik hati ini untuk cenderung kepada jantina yang berlainan dengannya, tetapi ia tidak dapat disingkap oleh manusia di sekelilingnya. Gejolak hati hanya semerta terlakar pada diri individu terbabit terhadap insan yang berlainan jantina dengannya dan hanya pemuda/pemudi tersebut memahami persoalan hati mereka… Subhana Allah… Itulah penganugerahan hati yang bersifat subjektif… Persoalannya, sejauh manakah kita mengelola hati agar dipandu menurut wahyu, seterusnya membentengi ia daripada berpenyakit cinta dusta..? Aku belum bersedia ya Allah… Jauhilah daku dari penyakit hati sebelum sampai detiknya kelak… Mengapakah hati ini adakalanya berputik untuk dijelmakan…? Walhal, itu hanyalah permainan dusta syaitan durjana. Lalu aqal memberikan jawapan, membatasi gelora hati secara rasional dan matang. Nyah engkau (bisikan-bisikan dusta) dari menguasai hati dan perasaan..! Sukarnya bagiku mendidik hati agar senantiasa suci dari fitnah…

Melentur hati dengan tarbiyah ruhiyyah, sekaligus memalingkan ia dari bermuara di persada cinta manusiawi. Itulah jawapannya kepada kemelut jiwa yang berlaku. Bagaimana mungkin daku mampu mendidik hati orang lain, sedangkan hati sendiri masih bernanah…?? Perisai iman diseru melalui segala amalan, agar hati mudah dibentengi dari virus-virus fitnah dan seterusnya dilentur dengan kalimah taqwa. Ya Allah, campakkanlah rasa cinta ini kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hatiku. Dan bencikanlah hati ini daripada kekufuran, kefasiqan, dan kemaksiatan… (Petikan daripada ayat 7, Surah al-Hujurat). Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ.

Maksudnya:

Sesungguhnya dunia itu indah dan hijau menawan, dan Allah s.w.t telah mengutuskan engkau sebagai khalifah di muka bumi, dan Dia Maha Melihat bagaimana engkau beramal dan berinteraksi dengannya. Maka takutkanlah dunia dan takutkanlah wanita, sesungguhnya permulaan fitnah yang berlaku pada Bani Isra’il adalah pada wanita.

(Hadith Riwayat Muslim dari Sahihnya)

Duhai sahabat-sahabatku… Tenangkanlah hati, damaikanlah jiwa, layarkanlah ia bersama Pemilik hati dan cinta semata, sehingga ia berlabuh di pelabuhan yang pasti pertautannya kelak, sementara kalian masih belum menginjak ke alam dewasa… Berusahalah untuk menghindari tarikan fitnah berupa fatamorgana… Suka kumengakhiri nukilan ini dengan memetik satu hadith, sabda Nabi s.a.w:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

Maksudnya:

Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada naungan lain selain naungan-Nya:

1. Pemimpin yang adil

2. Pemuda yang hidup dalam suasana ibadah kepada Tuhan-Nya

3. Orang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya

5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang berkedudukan lagi menawan, maka dia berkata: “Sesungguhnya aku takutkan Allah”

6. Orang yang menginfaqkan harta sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya

7. Orang yang mengingati Allah secara bersunyi-sunyian, lalu berlinanglah air matanya…

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam Sahihnya, serta al-Tirmidhi, dan al-Nasa`i di dalam Sunannya)

Ayuh sahabat-sahabatku… Bersama-samalah berusaha meraih naungan cinta Allah s.w.t, kerana sesungguhnya cinta-Nya jualah yang abadi… Wa Allahu waliyyu al-Tawfiq…

Akhukum,

## ribbiyyun ##

21 Oktober 2010,

4.10 pm,

Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadith,

APIUM.

1 comments:

Nur Munawwarah said...

Jagalah hatimu! Didiklah ia dengan cinta kepada Pencipta! Jauhilah gelojak hatimu daripada permainan cinta buta! Abang Long, sama-sama kita berusaha ya, untuk kembali kepada fitrah. Bersyukur sangat diri ini kerana dikurniakan abang kandung yang sangat bertanggungjawab seperti dirimu. Jom, kita berlumba-lumba mengejar mardhotillah! (^_^)