Berhijrah Melangkah kepada Kehidupan yang Lebih Terarah

وما سمي القلب قلبا إلا لتـقلبه...

وما سمي الإنسان إنسانا إلا لنسيانه...

“Dan tidaklah dinamakan hati itu sebagai hati melainkan kerana sifat dolak-daliknya…

Dan tidaklah juga dinamakan manusia itu sebagai manusia melainkan kerana sifat pelupanya…”

Salamu Allah `alaikum buat para pengujung blogku… ِBuat sahabat-sahabiah sekalian, ayuh kita bermuhasabah selalu… Bait-bait syair di atas sering berkumandang di segenap penjuru jiwa bagi mereka yang tidak ketinggalan membaca atau mendengar kuliah dan seumpamanya, memandangkan rangkap madah syair tersebut sangat popular digunakan di dalam penulisan atau ceramah. Apatah lagi, penggunaan tawazun yang sangat menyerlah pada bait tersebut mampu memikat sesiapa sahaja yang mencintai dan menjiwai bahasa syurga, diiringi intonasi gaya taujihat yang memukau.

Ya, aku memang seorang manusia… Nah, pastinya aku memiliki sekeping hati… Maka, sifat pelupa dan berdolak-dalik merupakan suatu sifat semulajadi yang lazimnya terdapat pada kebanyakan manusia khususnya aku. Benarlah, bahawasanya manusia merupakan sebaik-baik penciptaan, berdasarkan firman Allah:

لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya:

4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya .

Surah al-Tin (95): 4

Juga perlu diingat bahawa manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk sekalipun, ia tidak pernah sunyi daripada melakukan sebarang kesilapan. Sabda Nabi s.a.w:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya:

Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.

(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

Justeru, sesungguhnya aku tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, apatah lagi menjaga hati dan permintaan semua pihak. Aku menyedari bahawa pendekatan pengisian blogku tidak seberapa mapan dan berisi, khususnya apabila menyajikan kisah-kisah kenangan hidup silamku yang mungkin saja membosankan sesetengah pihak. Seolah-olah aku syok sendiri, sedangkan terdapat bertimbun-timbun perkara yang lebih bermanfaat dapat kukongsi. Sahabat-sahabat dan teman seangkatanku sekalian… Sesungguhnya aku tidak bermaksud demikian, bahkan ingin saja kupaparkan suatu wadah yang lebih bersifat ilmiah dan perkembangan semasa untuk dikongsi bersama. Aku berusaha untuk meraikan semua pihak, dan aku mengakui bahawa kecenderunganku adalah menukilkan suatu bentuk pengalaman silamku yang bermakna sebagai suatu proses muhasabah. Aku turut berminat untuk berkongsi mengenai Islam, namun pendekatanku ialah, aku lebih memilih jalan penghasilan karya yang bersifat santai mengenai Islam agar lebih mudah difahami dan didekati oleh orang ramai untuk membacanya.

Aku pun tidak pasti, dan terkadang buntu… Mungkin sahaja selepas ini aku melatih diri untuk lebih berjinak-jinak dengan karya ilmiah pula untuk dimuatkan di dalam artikel blog. Aku mampu melakukannya, namun boleh jadi juga aku semakin kurang menjengah blogku lagi selepas ini, disebabkan aku ingin menumpukan pengajian dan penulisan tesis pula… Maafkan daku wahai sahabat-sahabatku sekiranya terdapat kekurangan pada diri ini… Ya Allah, mudahkanlah urusanku dalam usaha dakwah melalui pelbagai medium sama ada penulisan, karya ilmiah, ceramah, kuliah, asalkan niatku tidak terpalit daripada menggapai redha dan rahmatMu… Terkadang juga, sebahagian manusia tersilap perhitungan terhadap insan lain, lalu kejahilan mampu menghukum mereka. Ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ وَإِنَّهُ لَمِنْ أَهْلِ النَّارِ وَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Maksudnya:

Sesungguhnya seseorang itu seakan melakukan amalan ahli syurga pada penglihatan (persangkaan) manusia, sedangkan sesungguhnya dia di kalangan ahli neraka, dan juga seseorang itu seakan melakukan amalan ahli neraka pada penglihatan (persangkaan) manusia, sedangkan dia di kalangan ahli syurga.

(Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari)

Hal ini juga adakalanya berlaku kepada diriku, maka berusahalah untuk berbaik sangka dan saling maaf-memaafi antara satu sama lain… Aku perlu berbaik sangka! Tidak menjauhkan hubunganku dengan Allah dan juga sesama makhluk, menjaga silaturrahim, menghulurkan bantuan, dan saling memahami antara satu sama lain. Terdapat satu kata hikmah yang sangat menarik perhatianku iaitu:

من حسن ظنه طاب عيشه

Maksudnya:

Barangsiapa yang berbaik sangka, maka sejahteralah hidupnya…

Begitu juga sabda Nabi s.a.w:

اليد العليا خير من اليد السفلى

Maksudnya:

Tangan di atas (menghulur) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (menerima).

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidhi, Nasa’i dan Ahmad)

Berusahalah merendahkan diri dan mendidik hati, kerana orang yang bijaksana ialah orang yang menghinakan diri di hadapan Pencipta dan merendahkan dirinya. Pastinya, Allah s.w.t jualah yang akan mengangkat martabatnya. Semakin seseorang merendah dan menghinakan diri, semakin tinggilah kemuliaannya di sisi Allah, jua di sisi makhluk… Akhir kalam, suka kumemetik serangkap hadith yang sangat memberkas jiwaku yang alpa, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya:

Orang yang bijaksana (yang terbuka basirahnya), ialah mereka yang merendahkan dirinya dan bermuhasabah, serta melakukan amalan sebagai persediaan selepas kematian. Dan orang yang lemah pula ialah mereka yang memiliki diri yang sering menuruti hawa nafsu, akan tetapi berharap (keampunan) daripada Allah (sungguhpun melakukan kemungkaran).

(Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Ibn Majah dan Ahmad)

Mudah-mudahan kita tidak terkeluar daripada dimensi limpahan kasih sayang dan cinta Ilahi… Ya Rabbul `Izzati, jauhilah daku daripada memiliki hati yang berbolak balik dalam usaha untuk mendekatiMu… Tetapkanlah hati ini di atas jalan agamaMu dan taat kepadaMu… Wa Allahu a’lam.

1 comments:

SITI RAHMAH BORHAM said...

Benar..memuaskan hati manusia bukanlah perkara yg mudah,syak wasangaka..tetapi yakinlah,andai keredhaan dan kepuasan Allah didahulukan pasti Dia akan memudahkan kehidupan dunia kita..