Menyingkap Tabir Hikmah Pada Derap Langkah di Ma’had dan di UM…(1)

Kutatap kembali lembaran kertas yang tertampal pada dinding bertentangan dengan meja belajarku di rumah Bangsar. Kuamati berkali-kali kronologi dan ambisiku merentas kehidupan Talib al-`Ilmi pada kertas tersebut. Lalu kupersoalkan diriku, apakah yang telah engkau buktikan..!? Apakah yang telah engkau perjuangkan setelah meniti sisa-sisa waktu terdahulu..? Apakah terdapat perubahan demi perubahan pada batang tubuh dan nalurimu setelah membelah gelora lautan kehidupan di alam universiti selama lebih tiga tahun pengajian menatang ilmu? Apakah kayu ukur keberjayaan engkau pada sebuah urutan kecemerlangan yang tertampal pada dinding, namun engkau masih ketiduran dibuai mimpi yang mengalpakan? Tersentak daku dengan buah persoalan dan pertanyaan yang menghujam fikiranku satu persatu, yang terbit dari sanubariku sendiri, dalam usaha mengislah kembali hala tujuku yang hakiki agar daku sekali-kali tidak tergelincir dengan bisikan-bisikan dusta. “Kejayaan hakiki… Adalah suatu yang subjektif…” Gumamku dalam hati. Secara tidak semena-mena fikiran ini melayang kembali menggamit memori dari alam persekolahan menengah sehingga alam universiti kini, mengintai-intai hikmah yang amat mendalam yang telah dititipkan melalui bicara Tuhan yang sangat menyentuh, dalam memahami erti kehidupan insan bertuhan…

Melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pastinya menjadi impian sesiapa sahaja yang ingin menambah pengetahuan dengan lebih mendalam. Ketika di pertengahan pengajian (bulan Mei) di Ma’had Johor, ingin sahaja hati ini untuk berhenti belajar di ma’had hanya kerana aku ingin merasai suasana pembelajaran di alam matrikulasi atau universiti yang mungkin sahaja tidak terlalu terikat dengan peraturan. Aku seakan acuh tidak acuh mengenai keberadaanku dalam tingkatan 6 di ma’had ketika itu. Ini kerana, pada saat itu mulalah kedengaran satu demi satu rakan-rakanku melanjutkan pengajian di beberapa matrikulasi dan IPTA seperti di UIA, UM, UTM, USIM, dan sebagainya, ditambah pula dengan persepsi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa pelajar-pelajar tingkatan enam merupakan pelajar kelas kedua berbanding mereka yang melanjutkan pelajaran ke matrikulasi atau universiti selepas tingkatan lima. Hal ini semakin membuntukan fikiranku apabila daku mendapat tawaran kemasukan ke Kolej Matrikulasi Johor dalam aliran Sains Tulen dan juga tawaran APIUM Nilampuri dalam aliran Sains Gunaan dengan Pengajian Islam ketika mana aku masih lagi mengikuti sesi pengajian di ma’had, apatah lagi mengingati semula momokan guru-guru sains di sekolah lamaku, SMAKJ, bahawa ma’had merupakan sekolah yang tidak berkualiti. Apabila memikirkan semula, rasa panas membakar diri dengan kata-kata kesat guru yang merendah-rendahkan martabat ma’had, sedangkan pada hakikatnya ma’had merupakan madrasah tarbiyah yang terbaik buatku dalam menyemai nilai-nilai Islam. Walau bagaimanapun, aku tetap juga berusaha keras untuk menjadi pelajar cemerlang di ma’had di samping menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t dalam menentukan hala tuju pengajianku pada masa akan datang.

Allah s.w.t memberikan taufiq dan hidayahNya kepada sesiapa sahaja yang benar-benar menyerahkan dirinya kepadaNya, lalu Dia memberikan cahaya petunjuk kepadaku menyebabkan daku berjaya menghilangkan kegusaran dan keraguan pada diri ini dengan meneruskan pengajian di ma’had yang tercinta sehingga akhir tingkatan enam yang tempoh pengajiannya tidaklah sampai setahun. Aku tidak pernah menyesal dengan pilihanku ini kerana ia adalah petunjuk daripada Ilahi, dan keredhaan hati ini disusuli kesungguhanku yang berhempas-pulas, lalu membuahkan hasil apabila aku berjaya menggapai kejayaan cemerlang dalam ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan STAM, dan peperiksaan STAM di ma’had. Alhamdulillah… Aku memperoleh natijah yang baik dan tersenarai dalam kalangan lima pelajar terbaik sekolah setiap kali imtihan daripada kira-kira 500 orang pelajar, seterusnya memperoleh mumtaz bagi kesemua subjek STAM dan tersenarai juga di kalangan 80 pelajar terbaik Malaysia daripada kira-kira hampir 6000 calon yang menduduki STAM. Inilah rahsia mengapa Tuhan memberikan laluan kepadaku untuk meneruskan pengajian di ma’had. Aku semakin merasai kemanisan bertuhan, serta kegungan dan kebesaran Ilahi, apabila buat julung-julung kalinya Ma’had Johor mengadakan Hari Konvokesyen graduan Ma’had Johor yang bertempat di Kompleks Islam Johor, walhal pada tahun sebelum-sebelum ini, pihak pentadbiran ma’had tidak pernah pun mengadakan hari konvokesyen bagi pelajar-pelajar yang cemerlang. Ini kerana, buat pertama kalinya, natijah STAM ma’hadku beroleh cemerlang dengan mendadak apabila terdapat 30 orang pelajarnya memperoleh mumtaz pada kesemua subjek (mumtaz sufi) daripada kira-kira 80 orang mumtaz sufi di Malaysia, juga terdapat kira-kira 150 orang pelajar memperoleh mumtaz di ma’had daripada kira-kira 550 pelajar mumtaz di Malaysia sekaligus melonjakkan nama Ma’had Johor, memperoleh anugerah sekolah terbaik di Malaysia. Sedangkan pada tahun sebelumnya, terdapat hanya 13 pelajar sahaja yang memperoleh mumtaz sufi di Ma’had Johor dan kira-kira 80 pelajar sahaja yang memperoleh mumtaz dalam STAM. Ini disusuli pula dengan anugerah pelajar terbaik keseluruhan STAM peringkat Malaysia yang merupakan sahabatku sendiri, bersama-sama bersaing denganku ketika di ma’had dalam tahun pengajian yang sama di ma’had. Subhana Allah… Aku berasa begitu beruntung sekali menjadi warga ma’had pada ketika itu.

Tamatnya pengajian di Ma’had Johor, aku melanjutkan pengajian di institut Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH) bagi mengikuti kursus pengukuhan Bahasa Arab selama kira-kira lima bulan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di mana-mana IPT. Ketika di MARSAH, aku di dalam proses meninjau-ninjau IPT yang ingin kusambung pengajian di sana. Hanya saja yang berlegar-legar di fikiranku untuk melanjutkan pengajian ialah di Universiti Al-Azhar, UIA, Darul Qur’an atau UM. Uni.Al-Azhar merupakan antara cita-citaku memandangkan daku sangat cintakan pembelajaran agama di dalam Bahasa Arab di samping ramai sahabatku yang bilangannya hampir 100 orang berpakat melanjutkan pelajaran di sana. Cuma kekangan kewangan dan tiada peruntukan biasiswa yang menyebabkan daku tidak melanjutkan pelajaran ke sana, ditambah pula tanggungjawabku sebagai anak sulung daripada 11 adik-beradik yang sering memerlukan perhatian keluarga. UIA turut menjadi sasaranku kerana ia merupakan universiti bertemakan Islam yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswa antarabangsa, jadi aku tidak begitu gusar kerana aku dapat mempraktikkan bahasa Arab di sana di dalam jurusan al-Qur’an dan al-Sunnah. Hanya ketika itu, aku terdengar desas-desus menyatakan bahawa pengajian Islam di UIA hanyalah satu pengajian yang sangat kecil yang diterajui oleh golongan salafi jika dibandingkan dengan fakulti-fakulti yang lain, kerana matlamat UIA adalah untuk melahirkan graduan Islam Profesional. Hal ini lalu sedikit membimbangkan aku. Darul Qur’an turut menjadi pilihanku melanjutkan pengajian selepas tamat pengajian di ma’had berikutan cita-citaku untuk menghafal al-Qur’an serta berada di dalam ruang lingkup bi’ah solehah. Hanya disebabkan ia merupakan pengajian peringkat diploma, maka aku tidak meneruskan pengajian di sana. Manakala UM pula tetap juga menjadi antara pilihan hatiku kerana para pensyarah dan tenaga pengajar kursus Pengukuhan Bahasa Arab di MARSAH pada ketika itu merupakan di antara anggota yang menggerakkan Mu’assasah al-Bayan yang berpusat di APIUM Kuala Lumpur. Tambahan pula, di kalangan mereka juga terdapat ustaz atau ustazah yang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D di APIUM. Justeru, aku memikirkan bahawa aku masih mampu untuk menguasai Bahasa Arab di UM dengan kewujudan mu’assasah tersebut, dan aku menanggapi bahawa APIUM merupakan pusat pengajian Islam yang terbaik memandangkan ramai tenaga pengajarku di MARSAH melanjutkan pengajian mereka di APIUM. Aku juga ingin menebus kembali penolakanku mengenai tawaran pengajian di APIUM Nilampuri ketika di ma’had dahulu dengan meneruskan pengajian ijazahku di APIUM, K.Lumpur. Tambahan pula, pengajian di APIUM hanya memakan masa 3 tahun sahaja jika dibandingkan dengan UIA, memakan masa kira-kira 4 hingga 5 tahun, apatah lagi pada waktu itu, UM seringkali digembar-gemburkan di dalam majalah dan media massa bahawa ia di antara 100 universiti terbaik dunia. Seringkali juga kedengaran buah mulut orang yang menyatakan bahawa bi’ah Islamiah di APIUM Nilampuri merupakan bi’ah yang terbaik, justeru aku ingin bertemu dengan mereka (mahasiswa APIUM Nilampuri) di APIUM KL untuk sama-sama menghidupkan dan menyelami bi’ah sebegini, kerana aku cintakan pentarbiahan Islam.

Aku sangat keliru pada waktu itu untuk memilih UIA atau UM sebagai pilihan pertamaku ketika mengisi borang UPU, namun selepas melakukan solat istikharah dan bertawakal kepada Allah, pintu hatiku mula terbuka untuk memilih APIUM sebagai pilihan pertamaku, disusuli UIA. Alhamdulillah, aku berjaya melanjutkan pengajian di APIUM K.Lumpur, Kuliah Usuluddin, Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, dan aku sangat meminati bidang tafsir dan hafazan al-Qur’an di samping memelihara Bahasa Arabku daripada hilang begitu sahaja. Pertama kali menjejakkan kaki di UM, aku sering bertanya: “Inikah UM..!?” Aku seakan tidak percaya pentadbiran UM yang tidak menerapkan nilai-nilai Islam kepada para mahasiswa baru. Aku masih belum memahami rahsia Tuhan menetapkan daku di UM, lalu aku sering kali merungut sahaja. Ada saja hati ini ingin keluar dari meneruskan pengajian di UM pada semester awal pengajian dalam bulan 7 dan 8 tahun 2006, lalu aku memikirkan cara untuk melanjutkan pengajian di universiti al-Azhar yang mana pengajiannya bermula pada awal bulan 10. Aku meninjau-ninjau kalau-kalau di sana terdapat ruang-ruang yang memungkinkan daku memperoleh biasiswa melanjutkan pengajian ke universiti al-Azhar, namun kesemuanya gagal. Seakan Tuhan memberikan isyarat kepadaku agar bersabar, tabah, dan meneruskan pengajian menuntut ilmu di UM. Aku terfikir kembali, aku telah membuat keputusan berdasarkan ilham dan petujuk daripada Tuhan, justeru mengapa pula aku mengingkariNya, sedangkan segala penghidupan kita berada di dalam kunci rahsia keangunganNya… Subhana Allah… Lalu aku terus bersabar dan pasrah dengan mehnah yang mendewasakan… Dan akhirnya, apabila difikirkan semula sehingga kini, aku sangat merasai kemanisannya apabila berada di UM, sebuah universiti yang sangat kucintai. Dan ingin kuhuraikan satu-persatu mengapa aku merasa begitu bertuah menjadi warga UM… Terlalu banyak hikmah yang ingin kusingkap… Terlalu banyak… Sehingga tidak kuhenti-henti mengucapkan lafaz syukur kepadaNya… Lantas hati ini sering tersentuh dan bersimpuh kerana kudapat menyingkap tabir hikmah dariNya… Kerana kudapat memahami bisikan sirrNya yang Maha Dahsyat…

0 comments: