Antara Manhaj dengan Aliran Tafsir...

Sebagaimana yang sedia maklum, setiap ulama’ mempunyai manhaj masing-masing berdasarkan kepada tiga manhaj asas di bawah. Pembahagian tafsir al-Qur’an (menurut kepada sumber pentafsiran) terbahagi kepada tiga manhaj iaitu:

1. Tafsir bi al-Ma’thur

2. Tafsir bi al-Ra’y

3. Tafsir bi al-Isyari

Maka, dari pembahagian di atas, jelas menunjukkan bahawa manhaj ulama’ tafsir bi al-Ra’y berbeza dengan ulama bermanhaj tafsir bi al-Ma’thur, begitu juga mereka berbeza dengan manhaj tafsir al-Isyari. Jadi, ulama’ tafsir akan berbeza dari sudut manhaj mereka sekiranya mereka menggunakan manhaj yang berlainan (ma’thur / ra’y / isyari). Setiap mufassir al-Qur’an pastinya tidak terkeluar daripada ketiga-tiga manhaj di atas.

Perbincangan mengenai syi`ah, khawarij, dan sebagainya bukanlah terkandung dalam perbincangan MANHAJ, sebaliknya ia dimasukkan dalam pengkategorian ALIRAN tafsir atau lebih dipanggil sebagai ITTIJAH. Aliran yang dimaksudkan dalam perbahasan ilmu tafsir ialah kecenderungan atau isu-isu yang KERAP dibahaskan (menjadi pokok pentafsiran yang menDOMINASI) dalam tafsir tersebut. MANHAJ dan ALIRAN merupakan dua perkara yang berbeza. Pembahagian ALIRAN tafsir juga sangat luas dan sangat banyak, antaranya:

1. Aliran fiqh mazhabi (hanafi, maliki, syafi’i, maliki),

2. aliran lughawi,

3. aliran I’tiqadi (Asya’irah wa al-Maturidiyyah, Salafiyyah, Syi’ah (Imamiyyah, Ismailiyyah, Rafidah, Zaidiyyah), Mu’tazilah, Khawarij, Zahiri),

4. aliran falsafi,

5. aliran sufisme,

6. aliran Ijtima’i Siyasi,

dan sebagainya…

Bagi setiap aliran di atas, pastinya mereka mempunyai manhaj juga, dan manhaj mereka tidak terkeluar daripada tiga manhaj di atas. Seorang mufassir HANYA menuruti satu manhaj sahaja berdasarkan kekerapan dan peratusan penggunaan manhaj tersebut di dalam karya tafsir mereka, namun boleh jadi, mereka mempunyai beberapa aliran di dalam mentafsirkan ayat dalam karya tafsir mereka. Contohnya, Imam al-Razi mengarang kitab tafsir Mafatih al-Ghayb menuruti manhaj tafsir bi al-Ra’y, dan mengikut aliran i’tiqad Asya’irah di dalam tafsirnya. Contoh kedua, Imam al-Zamakhsyari bermanhaj tafsir bi al-Ra’y, mengikut aliran lughawi dan aliran i’tiqad mu’tazilah. Contoh ketiga, Abu Hayyan al-Andalusi mengarang tafsir al-Bahr al-Muhit mengikut manhaj tafsir bi al-Ra’y, dan mengemukakan aliran i’tiqad Asya’irah dan aliran lughawi. Contoh keempat, Imam al-Tabari mengarang tafsir Jami’ al-Bayan menurut manhaj tafsir bi al-Ma’thur, mengemukakan aliran salafi kerana mendatangkan sanad dan matan yang lengkap apabila mengemukakan hadith dan athar.

Mudah-mudahan, perkongsian ini dapat menghilangkan kesamaran dalam pemahaman kita. Wa Allah a’lam. Wassalam.

2 comments:

coklat_31 said...

salam.. merujuk pada buku Pengenalan Usul Tafsir oleh Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman dan Prof. Madya Dr. Musaffa Abdullah ni, boleh x ana nk tanye soalan.. (pg 66 n 67) ape beze ayat mutlak n ayat umum?? cm same jek.. ag satu (pg 71) pentafsiran menerusi bacaan atau qiraat yg sahih.. harap enta dpt tolong ana.. jazakumullahukhairankathira..

Unknown said...

mohon perkongsian ilmu...
semoga bermanfaat..