Seorang Insan Bertanya…

Salamu Allah `alaikum... Dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat sekalian mengenai pertanyaan ilmu tafsir oleh salah seorang pelajar menerusi emel yang diajukan kepada saya. Berikut merupakan pertanyaan beliau:


1. Adakah kesemua tafsir bi al-ra'yi tu tidak boleh diterima?

Dan


2. Adakah pentafsiran yg mengandungi unsur-unsur Israiliyyat itu termasuk dlm tafsir bi al-ra'yi?

Saya mengakui bahawa saya bukanlah seorang pakar tafsir, namun saya berusaha menjawab soalan-soalan yang telah diajukan berdasarkan pengetahuan saya yang sekelumit cuma, insya Allah, sebagai satu buah perkongsian ilmiah buat kita semua... Sebelum saya menjawab pertanyaan di atas, suka saya nyatakan bahawa manhaj tafsir secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian utama (mengikut kepada sumber pentafsiran), iaitu:

1. Tafsir bi al-Ma’thur: Iaitu seseorang mufassir mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an dengan mengemukakan tafsiran ayat al-Qur’an yang lain, atau hadith-hadith Nabi s.a.w, atau kata-kata para sahabat (hadith mawquf), atau kata-kata para tabi’in – terdapat khilaf – dalam menghuraikan maksud ayat al-Qur’an yang ingin ditafsirkan. Justeru pembahagian tafsir bi al-Ma’thur boleh dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu:

· Tafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an

· Tafsir al-Qur’an dengan hadith Nabi s.a.w

· Tafsir al-Qur’an dengan kata-kata para sahabat

· Tafsir al-Qur’an dengan kata-kata tabi’in (terdapat khilaf)

2. Tafsir bi al-Ra’y: Iaitu seseorang mufassir mentafsirkan al-Qur’an dengan menggunakan ijtihad mereka dalam menghuraikan maksud ayat al-Qur’an yang ingin ditafsirkan, dan pentafsiran sebegini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

· Tafsir bi al-Ra’y al-Mahmud: Pentafsiran yang terpuji mengikut garis panduan dan syarat yang diperlukan oleh seorang mufassir dalam mentafsir al-Qur’an, dan pentafsiran yang dilakukan bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Hadith serta mengikut landasan syara’.

· Tafsir bi al-Ra’y al-Madhmum: Pentafsiran yang tercela, tidak mengikut garis panduan dan syarat yang diperlukan oleh seorang mufassir dalam mentafsir al-Qur’an, dan pentafsiran yang dilakukan tidak bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Hadith serta tidak mengikut landasan syara’.

3. Tafsir bi al-Isyari: Iaitu seseorang mufassir mentafsirkan al-Qur’an di sebalik zahir ayat menurut kehendak isyarat tersembunyi yang dimiliki oleh ahli-ahli ilmu dan ahli suluk tertentu, yang mana pentafsiran mereka mempunyai perkaitan dengan zahir ayat. Pentafsiran sebegini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

· Tafsir isyari (sufi) yang hanya diketahui oleh ahli suluk dan golongan muttaqin.

· Tafsir isyari (nazari) yang dilihat menerusi isyarat yang nyata menerusi penyelidikan dan kajian, seperti pentafsiran ayat dalam memaparkan kemukjizatan (i’jaz) al-Qur’an.

Berikut merupakan jawapan bagi pertanyaan di atas:


Jawapan bagi soalan 1:

Berkenaan tafsir bi al-Ra'y , jumhur `ulama' tafsir membahagikan tafsir bi al-Ra'y kepada dua bahagian, iaitu tafsir bi al-Ra'y al-Mahmud (terpuji), dan tafsir bi al-Ra'y al-Madhmum (tercela). Jadi, pada pandangan saya ialah, sangat silap sekiranya kita menyatakan bahawa kesemua tafsir bi al-Ra`y itu tidak boleh diterima, sedangkan penghasilan tafsir bi al-Ma'thur pada era kini sangat sukar dihasilkan kerana memerlukan kepakaran yang mendalam dalam ilmu athar untuk menghasilkan tafsir, menguasai cabang ilmu sanad dan matan, riwayah dan dirayah. Tetapi, sekiranya kita meletakkan prioriti dengan mendahulukan tafsir bi al-Ma’thur tanpa menafikan keberadaan tafsir bi al-Ra’y yang sahih, maka itu adalah tepat. Sekiranya kita perhatikan, ulama' tafsir kini lebih menaqalkan pandangan-pandangan mufassir terdahulu dengan merujuk kepada karya-karya tafsir mereka. Begitu juga, sekiranya kita melihat kepada historiografi perkembangan ilmu tafsir, perkembangan tafsir bi al-`ma'thur lebih berkembang terlebih dahulu pada kurun 1 - 7 Hijrah, diikuti tafsir bi al-Ra'y , bermula secara tersusun pada kurun 3 Hijrah sehingga kini. Justeru, jika kita perhatikan, tafsir-tafsir kontemporari lebih hampir kepada metodologi tafsir bi al-Ra'y, seperti tafsir al-Azhar oleh Hamka, dan tafsir fi Zilal al-Qur'an oleh Sayyid Qutb... Tapi, bukanlah bermakna apabila tafsir kontemporari pada zaman sekarang hampir kepada tafsir bi al-Ra'y, para ulama' tafsir kini mengabaikan elemen tafsir bi al-Ma'thur. Tidak sama sekali... Terdapat juga di sana ayat-ayat al-Qur'an dan riwayat-riwayat daripada athar dipetik dan dibukukan dalam karya mereka, cuma peratusan dalam mengemukakan elemen tafsir bi al-Ra'y oleh ulama' tafsir pada masa kini adalah lebih dominan.

Justeru, pembahagian tafsir bi al-Ma'thur atau tafsir bi al-Ra'y pada pengamatan saya adalah dengan melihat kepada dominasi manhaj penulisan mereka sama ada lebih menjurus kepada tafsir bi al-Ma'thur atau tafsir bi al-Ra'y, dan tidaklah tepat untuk kita katakan bahawa kesemua tafsir bi al-Ra'y tidak boleh diterima... Antara contoh-contoh tafsir bi al-Ra'y al-Mahmud (yang boleh dirujuk dan digunapakai) yang masyhur ialah tafsir Mafatih al-Gayb oleh al-Razi, Tafsir Jalalayn oleh dua Imam Jalal al-Din, tafsir al-Bahr al-Muhit oleh Abu Hayyan al-Andalusi, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga tafsir bi al-Ra'y al-Madhmum yang tidak menjadi prioriti sebagai rujukan, melainkan perlu berhati-hati kepadanya. Atau lebih mudah untuk kita katakan bahawa tafsir bi al-Ra'y al-Madhmum adalah tafsir yang tidak menepati manhaj tafsir dan syariat itu sendiri. Antaranya ialah tafsir al-Kasysyaf oleh al-Zamakhsyari yang mana pendedahannya cenderung kepada aliran Mu'tazilah, tafsir Mir'at al-Anwar wa Misykat al-Asrar oleh al-Kazirani yang beraliran Syi`ah Imamiyyah dan banyak lagi. Tafsir sebegini justeru terkeluar daripada jaluran ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah. Wa Allahu a'lam.

Jawapan bagi soalan 2:

Sebelum kita menelusuri unsur-unsur Israiliyyat, adalah lebih baik untuk kita mengetahui makna Israiliyyat itu sendiri secara umum. Riwayat Israiliyyat adalah suatu bentuk perkhabaran atau kisah-kisah yang telah dipetik oleh beberapa mufassir daripada ahl al-Kitab dalam mentafsirkan ayat al-Qur'an, dan khabar-khabar Israiliyyat ini menurut Ibn Kathir (pengarang tafsir Ibn Kathir) terbahagi kepada tiga bahagian:


1. Apa yang diketahui akan kesahihannya dari Nabi s.a.w dengan nukilan yang sahih, maka Israiliyyat sebegini diterima.

2. Apa yang diketahui akan pendustaannya yang bertentangan dengan syara', maka Israiliyyat sebegini ditolak, dan perlu berhati-hati dengannya.

3. Apa yang didiamkan mengenainya, tidak kita membenarkannya dan tidak juga kita mendustakannya, dan kisah Israiliyyat sebegini diharuskan dalam pentafsiran merujuk kepada pandangan Syeikh `Abd al-Rahman al-`Ak dalam karyanya Usul al-Tafsir wa Qawa`iduh.

Berkenaan hubungan unsur-unsur Israiliyyat dengan tafsir bi al-Ra'y, memang terdapat riwayat Israiliyyat tersebut dengan melihat kepada tafsir-tafsir bi al-Ra'y tertentu kerana karya tafsir bi al-Ra'y juga sangat banyak. Begitu juga karya tafsir bi al-Ma'thur, dan beberapa karya tafsir bi al-Ma'thur turut tidak terlepas daripada unsur-unsur Israiliyyat. Maka, riwayat Israiliyyat tidak terbatas kepada tafsir bi al-Ra'y semata-mata... Antara contoh-contoh karya tafsir bi al-Ma'thur yang terkenal yang dikaitkan dengan riwayat Israiliyyat ialah tafsir al-Kasyf wa al-Bayan oleh al-Tha'labi. Begitu juga tafsir Ibn Kathir, tafsir Jami' al-Bayan oleh al-Tabari dan beberapa karya mufassir yang lain. Hanya yang membezakan mereka dalam mengemukakan riwayat Israiliyyat ialah terdapat mufassir yang mengkomentar riwayat tersebut dan berhati-hati dengannya seperti Ibn Kathir, dan terdapat juga ulama' tafsir yang hanya menyertakan riwayat Israiliyyat dalam karya tafsir mereka tanpa mengkomentar riwayat tersebut dengan lebih lanjut seperti Imam al-Tha'labi dan Imam al-Tabari meskipun karya-karya mereka merupakan tafsir bi al-Ma'thur.

Begitu juga halnya dengan tafsir bi al-Ra'y. Antara tafsir bi al-Ra'y yang masyhur yang mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat ialah ialah tafsir Jalalyn dan tafsir Lubab al-Ta'wil oleh al-Khazin. Terdapat juga mufassir yang menghasilkan karya tafsir bi al-Ra'y dan sangat berjaga-jaga dalam mengemukakan riwayat Israiliyyat. Antaranya ialah tafsir al-Nasafi. Imam al-Nasafi tidak mengemukakan riwayat Israiliyyat melainkan sedikit sahaja, dan sekiranya beliau mengemukakan riwayat Israiliyyat, beliau memberi komentar dan berhati-hati terhadapnya.

Justeru, dapat kita simpulkan di sini ialah riwayat Israiliyyat bukanlah menjadi kayu ukur terpenting dalam menentukan manhaj (ma'thur / ra'y / isyari) sesuatu karya tafsir. Riwayat Israiliyyat tersebut hanyalah satu bentuk pendekatan atau gaya penulisan para mufassir dalam menghasilkan karya tafsir mereka. Seperti mana juga penekanan terhadap aspek bahasa, perbincangan fiqh, dan qira'at yang mana ia juga merupakan antara bentuk-bentuk pendekatan atau gaya penulisan yang dikemukakan di dalam karya-karya tafsir mu'tabar. Dan kesemua elemen-elemen ini tidaklah diklasifikasikan / dikhususkan di dalam manhaj (ma'thur / ra'y / isyari) tertentu, kerana setiap elemen tersebut akan disentuh perbincangannya di dalam setiap manhaj tafsir. Wa Allahu a'lam.

Untuk makluman lebih lanjut, sahabat-sahabat bolehlah merujuk kepada karya-karya yang terlampir di bawah. Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini dapat memberikan maklumat dan ilmu tambahan kepada kita yang bergelar Talib al-`Ilm. Jazakum Allah. Wassalam.

Rujukan:

1. Al-Tafsir wa al-Mufassirun oleh Dr. Muhammad Hussayn al-Dhahabi
2. Usul al-Tafsir wa Qawa'iduh oleh Syeikh Khalid 'Abd al-Rahman al-'Ak
3. Al-Madkhal li al-Dirasah al-Qur'an al-Karim oleh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah

4. Pengenalan Usul Tafsir oleh Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman dan Prof. Madya Dr. Musaffa Abdullah

0 comments: