Hari-hari dalam Hidupku… 22 Mei


Kesepian yang menjengah di blogku kerana sudah sekian lama tidak kunukilkan beberapa makalah untuk tatapan bersama tidaklah menjadi penghalang kepadaku untuk konsisten berkarya melalui laman maya. Hari-hari dalam hidupku… Demikianlah topik perkongsian daku pada kali ini, dan topik ini telah kupetik daripada judul sebuah buku kronologi dan biografi seorang srikandi muslimah yang bernama Zainab al-Ghazali. Zainal al-Ghazali yang satu ketika dahulunya pernah menjawat jawatan sebagai ketua dewan muslimat gerakan al-Ikhwan al-Muslimun wa hatta pernah dipenjarakan dalam satu tempoh yang begitu lama ini sungguh mengagumkan diriku. Sosok tubuhnya yang meskipun hanyalah seorang muslimah, namun ketabahan dan keberaniannya umpama seekor sang singa dalam menegakkan perkara yang haq sangat membuahkan justifikasi utuh kepada erti sebuah perjuangan hakiki. Buat sahabat-sahabat dan adik-adik sekalian, justeru aku mengesyorkan pada kalian semua untuk membaca karya tersebut, iaitu ‘Hari-hari dalam Hidupku’ agar kita berhasil menggarap satu nafas baru yang luar biasa, yang mampu membangkitkan semangat perjuangan sebagai `ibadullah dan jundullah.

Hari-hari dalam hidupku ini telah dititi dan dilangkahi apabila usiaku kini akhirnya menjejaki 23 tahun pada 22 Mei yang baru sahaja berlalu semalam. Alhamdulillah… Allah s.w.t memanjangkan usiaku, yang mudah-mudahan dengan usiaku ini, dapat jua kusumbangkan bakti demi Islam tercinta. Ummi… Satu-satunya insan yang sangat terpahat di hati ini… Satu-satunya insan yang mengingati diri ini walau diselimuti kesibukan bekerja dan kesibukan mentarbiah anak-anak yang agak ramai. Satu-satunya insan yang sangat mengambil peduli dengan begitu mendalam terhadap diriku ini. Satu-satunya insan yang mengirimkan ucapan hari lahirku melalui pesanan ringkas sms kepada daku pada tarikh 22 Mei tika orang lain tidak menyedari… Tidak pernah ummi melupakan daku walau seketika…Sayang Ummi…

Pada tarikh keramat 22 Mei juga, satu konvensyen mengenai Sejarah Gerakan-gerakan Islam Dunia telah diadakan di De Palma Hotel, Ampang yang telah dianjurkan oleh GAMIS. Aku telah menjadi salah seorang peserta dalam konvensyen tersebut dan sungguh... Aku memperoleh input-input yang sangat berguna, dan konvensyen ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada diriku untuk memahami dan menelusuri perjuangan Islam sebenar. Semakin faham dan faham… Aku pasti, apabila seseorang semakin ‘faham’, maka mereka akan bertambah rasa ingin melakukan ibadah gerak kerja Islam secara ikhlas. Mereka akan berasa semakin seronok dan sanggup berkorban apa sahaja demi Islam, maka perlu diingati bahawa nikmat “faham” merupakan antara nikmat yang terbesar selepas nikmat Iman dan Islam. Hal inilah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi. Dan Alhamdulillah… Nikmat kefahaman ini sedikit sebanyak telah dapat kunikmati, kerana apabila bertambah kefahamanku, aku berasa semakin seronok untuk melakukan gerak kerja Islam. Alhamdulillah, syukur nikmat-Mu ya Allah…

Teringat daku pada satu kuliah yang telah disampaikan oleh seorang ustaz. Ternyata, kata-kata dan pandangan beliau agak sama dengan apa yang telah kufikirkan sebelum ini. Antaranya, seorang yang berjiwa murabbi, hatinya secara tidak langsung dengan sendirinya akan merasa terpanggil untuk melakukan usrah, menyampaikan kuliah, bergerak kerja, bermuhasabah, dan sebagainya. Kerana Allah s.w.t. telah mencampakkan nikmat kefahaman di dalam hatinya. Malah, jiwa murabbi ini, melihat taklifan berupa kuliah, ta’aruf, ceramah, dan seumpamanya sebagai satu peluang dan ruang untuk menyebarkan dakwah, mendamba redha Allah, dan bukanlah memandang ia sebagai satu penghadang dan bebanan buatnya. Subhana Allah… Ya Allah, kurniakanlah kepada diriku ini nikmat kefahaman para Nabi..! Justeru, aku merasa ada kebenarannya, apabila kita cuba untuk memahami petikan ini:

“Apabila barisan pimpinan dianggap sebagai ‘bos’, dan apabila pendokong gerakan Islam dianggap sebagai orang suruhan… Apabila gerak kerja ibadah dianggap sebagai bebanan… Maka, akan terhakislah keikhlasan…”

Pimpinan bukanlah seorang yang semata-mata memberikan arahan, pendokong bukanlah semata-mata orang yang melakukan arahan tersebut, begitu juga gerak kerja bukanlah sebagai satu bebanan, sebaliknya ia merupakan satu ibadah… Fikir-fikirkanlah…

Berbalik kepada program konvensyen yang telah kuhadiri pada 22 Mei lalu. Aku berasa sungguh bertuah kerana Tuhan telah mempertemukanku semula dengan sahabat baikku, Hafez Sabri yang sama-sama belajar di UM, di kuliah usuluddin, APIUM. Setelah sekian lama kira-kira hampir 3 bulan tidak ketemu, akhirnya pada tarikh ini juga kami bersua. Subhana Allah… Entah mengapa kami berasa sangat terharu sekali dalam pertemuan ini, setelah sekian lama dia menghilangkan diri kerana menyertai kursus tarbiah Ikhwan Muslimin dan pengukuhan Bahasa Arab di Yaman selama kira-kira 2 bulan lebih dan juga menyelesaikan pergolakan yang berlaku di Perak. Aku sangat terkesan dengannya… Kerana kami dahulunya bersama-sama bergerak kerja di dalam satu lajnah, malah di dalam satu unit/jabatan. Dia dahulunya merupakan ketua unit. Penukarannya ke post anak negeri tidak mematahkan semangatku untuk bertanggungjawab menggalas amanah, meneruskan gerak kerja unit. Dia sering memberikan kata-kata semangat dan tasyji’ kepadaku untuk menjana tunjang jemaah. Sekiranya unit ini tidak dikendalikan dengan baik, maka barangkali ia akan menguncupkan kerancakan gerakan jemaah khususnya tarbiah. Sungguhpun dia merupakan anak sulung dan mempunyai adik-beradik yang begitu ramai melebihi 13 orang, namun ia tidak menghalangnya untuk berpartisipasi melakukan gerak kerja dakwah yang sewajarnya dipacu sebagai perjuangan hakiki. Syukran jazilan kathiran ya akhi kerana banyak memberikan sokongan padu dan membantuku dalam menambah kefahaman… Ya Allah… Mudahkanlah urusan kami…

Pada 25 Mei ini pula, aku diundang oleh pentadbiran APIUM ke APIUM Nilampuri bagi memeriahkan majlis forum mahasiswa kelas pertama sebagai panelis. Aku akan ke sana dengan menaiki kapal terbang. Alhamdulillah, tiket penerbanganku disponsor. Sungguh aku tidaklah begitu layak untuk membicarakan topik ini. Bahkan, ramai sahaja di kalangan sahabat-sahabatku malah senior-seniorku yang lebih arif untuk membincangkan topik mahasiswa kelas pertama. Namun, apabila dilihat ia merupakan satu peluang bagiku untuk menyuntik satu idea faham Islam kepada para hadirin khususnya mahasiswa-mahasiswa baru tahun satu di Nilampuri, maka kugagahi… Aku ingin melihat Abna’ al-Harakah yang berjaya di masa hadapan… Aku ingin melihat mereka menjadi pendokong-pendokong Islam yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan, akademik, dakwah, hubungan sesama manusia, dan sebagainya. Aku yakin dan percaya, mereka rata-ratanya adalah insan-insan terpilih… Mudah-mudahan… Sering saja hati ini mendoakan, ingin melihat kegemilanagan Islam itu kembali, sekembalinya ruh al-Jadid yang kini masih lagi menyepi… Bangkitlah!

0 comments: