Menyemai Baja Iman melalui Ta’aruf

Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama menghadiahkan sekalung al-Fatihah kepada Allahyarham Prof. Madya Dr. Abdul Rashid bin Ahmad yang telah meninggal dunia pada 8 Mei 2010… Beliau merupakan seorang pensyarah Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadith, APIUM yang telah banyak berbakti kepada anak bangsa, meninggalkan sejumlah ilmu yang bermanfaat yang mudah-mudahan ganjaran amalan gersebut berterusan sehingga hari kiamat. Seorang yang berjiwa murabbi tarbiah, dan memiliki kepakaran dalam bidang tafsir. Aku sangat tersentuh ketika beliau menyampaikan kuliah tafsir apatah lagi apabila beliau menghubungkan penghuraian tafsir tersebut dengan harakah Islamiyyah.

Pernah satu ketika sewaktu kami mengambil subjek I’jaz al-Qur’an (Kemukjizatan al-Qur’an), semua mahasiswa yang jumlahnya kira-kira 150 orang di dalam dewan kuliah membisu senyap, sunyi, dan sepi apabila beliau menghuraikan sumbangan Sayyid Qutb dalam menghasilkan karya Fi Zilal al-Qur’an dan kekentalan Sayyid Qutb saat-saat kematiannya di tali gantung. Penghuraiannya yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh sangat menyentuh hati para mahasiswa pada hari tersebut. Aku sangat teringat waktu itu, sehingga sahabatku yang duduk bersebelahan denganku ketika itu, akh Syakir menitiskan air mata, begitu juga juga Abang Saiful Azmi yang merupakan batch senior dalam jemaah dari Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith… Dikatakan bahawa beliau pernah mengikuti sesi usrah Ikhwan bersama al-Imam Sa’id Hawwa r.a. Subhana Allah…

Apabila menyingkap kembali jasa dan sumbangsih arwah Ust. Rashid, fikiran ini mula mengenang semula keterlibatanku di dalam beberapa kem kepimpinan. Keterlibatanku dalam beberapa kem kepimpinan pada minggu lepas sangat memberikan impak kepada diriku agar mengislah diri kepada hal yang lebih baik dan lebih cemerlang. Pengisian dan muhasabah yang telah disampaikan secara tidak langsung menjadi suatu koreksi juga kepada diriku agar aku tidak berkata-kata tanpa bertindak, kerana sebenar-benar orang yang beriman ialah orang yang bertindak berdasarkan kata-katanya. Terdapat satu kaedah yang sering diuar-uarkan di dalam Islam iaitu:

لسان الحال أبقى من لسان القول

Maksudnya:

“Perbuatan itu lebih diambil kira daripada berkata-kata”

Sewajarnya sebarang apa yang disampaikan dan diucapkan oleh seseorang individu kepada orang lain perlu diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Alhasil, segala pengisian tersebut akan lebih hampir kepada jiwa menuju kebaikan dalam mengislah diri dan mad’u. Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna turut memberikan peringatan kepada para pendokong Ikhwan agar lebih banyak bertindak daripada berkata-kata, apatah lagi daripada berbicara tentang hal yang tidak perlu. Nabi s.a.w telah bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya:

“Sebahagian kebaikan mengenai keislaman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak perlu.”

(Al-Muwatta’, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah)

Buat sahabat-sahabat ikhwah dan akhawat, aku mengambil kesempatan pada entri kali ini untuk memohon maaf kepada kalian andai terdapat keterlanjuran di dalam bicaraku, perbuatanku, dan sebagainya terhadap kalian khususnya ketika bergerak kerja dan berprogram, sama ada sedar mahupun tidak sedar. Aku menyedari, adakalanya aku tidak menumpukan kepada gerak kerja utama dan hanya berbual kosong sehingga kadang-kala aku bertanyakan soalan dan pertanyaaan yang dirasakan tidak perlu. Maka, fikiranku ini mula berlegar dalam merenungi sepotong ayat al-Qur’an dari surah al-Furqan, ayat 72 mengenai perihal ciri-ciri IbadurRahman:

وَالَّذِينَ لا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا (72)

Maksudnya:

72. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

Aku turut menjadi penta’aruf di dalam beberapa buah kem. Ketika menjadi penta’aruf, ia sekaligus memberikan satu bentuk muhasabah yang sangat mendalam kepada diriku sendiri yang sering alpa dan leka dengan sandiwara dunia. Subhana Allah… Sehingga aku merasakan bahawa orang yang pertama sekali yang akan mula merobah diri di kalangan pendengar ketika berta’aruf ialah diriku sendiri. Buat adik-adik di kem kepimpinan khususnya adik-adik Nilampuri, aku sangat memohon maaf kepada kalian ketika berta’aruf andai kata-kataku, tutur bicaraku, provokasiku, teguran membinaku, kata-kata pembakar semangat dan taujihatku, juga muhasabahku ini sangat pedih atau lunak untuk kalian terima sehingga membeningkan air mata tanpa dapat dikawal… Aku merasa sangat serba salah. Maafkan daku wahai adik-adik seperjuanganku. Indahnya Islam sekiranya kita mampu berukhuwwah Islamiyyah seperti bangunan yang begitu utuh, susah dan senang tetap kita bersama-sama. Itulah antara elemen utama yang kudambakan dan kupupuk dalam sesi ta’aruf dalam kalangan antum,maka wujudkanlah tafahum dan takaful, agar gerak kerja jemaah kan menjadi lebih mudah dan licin kelak…

Sedikit muhasabah ingin kukongsikan pada sahabat-sahabat mengenai baja keimanan di dalam hati kita sebagai pendokong agama Allah. Tanda Iman kita semakin bertambah ialah tika mana hati kita berada dalam keadaan tenteram dan tenang sungguhpun kita dihujani aneka permasalahan, kesibukan dan kesulitan. Ketenangan dalam usaha menambahkan Iman dapat diperolehi melalui kelima-lima pancaindera yang telah dikurniakan Allah Ta’ala kepada kita. Indra penglihatan dengan melihat al-Qur’an, melihat ciptaan Allah s.w.t yang luas terbentang sambil memikirkan hikmah dan kehebatan Maha Pencipta, indra pendengaran dengan mendengar bacaan al-Qur’an, mendengar ceramah-ceramah dan kuliah, nasyid-nasyid dan qasidah yang dapat mendidik jiwa, indra sentuhan/gerakan dengan bersalaman dan berpelukan ukhwah bersama sahabat-sahabat, melangkah ke rumah Allah dan gedung ilmu/kuliah ilmu bermanfaat, indra pertuturan dengan membaca Kalam Allah, zikrullah, berbicara mengenai Islam, nasihat dan tazkirah, dan sebagainya. Maka, hati ini akan menjadi lebih tenang… Nabi s.a.w bersabda melalui hadith Qudsi, Firman Allah s.w.t:

…”وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ"

Maksudnya:

“…Hambaku masih berterusan bertaqarrub kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya, dan sekiranya Aku mencintainya, maka Aku merupakan pendengaran dengan apa yang didengarinya, dan penglihatan dengan apa yang dilihatnya, (menggerakkan) tangannya dengan apa yang digerakkan olehnya, (menggerakkan) kakinya dengan apa yang dia jalan dengannya, dan sekiranya dia memohon kepada-Ku, maka Aku akan memperkenankan permintaannya, dan sekiranya dia memohon perlindungan-Ku, maka Aku akan melindunginya…”

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Justeru, insan yang benar-benar beriman secara tidak langsung akan dicampakkan keinginan berupa ilham oleh Allah s.w.t ke dalam lentera qalbunya, seterusnya ia dimanifestasikan melalui segala perlakuannya untuk melakukan segala kebaikan yang membawa kepada keredhaan-Nya, serta menjauhi segala larangan-Nya. Inilah yang akan dapat meningkatkan keimanan mereka kepada Rabb, Tuhan semesta Alam dan hal ini mendorong hati ke arah satu bentuk pemusatan ketenangan yang hakiki sebagai hamba Allah yang bersyukur dan redha dengan segala ketentuan-Nya di muka bumi. Dalam usaha mengecapai keimanan sebenar, maka yakinlah, kita akan berhasil mengembalikan semula kegemilangan Islam yang hakikatnya telah merentasi setiap zaman keemasan dunia sehingga ke hari ini… Sahabat-sahabat bolehlah menonton satu video klip ringkas bertajuk: “1001 Inventions” yang sangat dampak memaparkan bahawa kegemilangan dan kemakmuran tamadun Islam mendahului segala-galanya dalam mana-mana tamadun dan peradaban dunia sekalipun… Subhana ALLAH… Salam Kecemerlangan, Salam Perjuangan… Salam Kedamaian Hakiki… Wassalam.

0 comments: