CERPEN: Ungkapan Azimat Itu…
“Bagaimanakah ummi?” Imtiaz bertanya… “Terpulanglah pada abang long, Insya Allah…”, jawab ummi ringkas. Abah pula menambah, “Kalau orang Melayu dulu-dulu, bila dengar anak sulung berpendidikan, bakal menjadi ilmuwan, dah mempunyai pendapatan yang stabil dan lumayan, dan ada pula adik-adik yang ramai, mak abah mereka lebih suka anak sulung tu meneruskan pekerjaan terlebih dahulu, nak merasa dulu “saham” dari anak… Tapi pada abah, tak pelah... Abah tak kisah. Yang penting adalah agama, dan tak perlulah kita terlalu terikut dengan adat Melayu”, ujar abah. Butir-butir bicara si abah membuatkan Imtiaz termenung. Baginya, sulit sekali memikirkan hal sebegini setelah beberapa kali di‘tanya’ orang. Maklumlah, usianya juga kian menjangkaui 24 tahun. Namun, dia punya prinsip yang begitu utuh, tatkala ditanya oleh individu tertentu, tidak pula dia bertanya satu-persatu siapa gerangan empunya diri melainkan melontarkan jawapan, “ana belum bersedia akhi…”
Dia begitu sedar, bahawa dia masih belum layak untuk memiliki dan dimiliki, masih begitu kerdil, hanya kerana belum mencapai satu “standard” ribbiyyun yang ditetapkan KPI-nya sendiri olehnya, jua masih belum berhasil menghidupkan hati yang mati, dan masih begitu rumit sekali untuk mendahulukan cinta dan penyerahan mutlak kepada Ilahi. Dengan secebis usahanya untuk tidak mahu mengenali nama-nama ‘mereka’ ketika cuba diperkenalkan oleh perantara, ia dapat mengubat hatinya untuk lebih tenteram melayari bahtera kehidupan sebagai seorang talibul Ilmi di samping menjadi pendidik di universiti perdana. Dengan langkah demikian juga, sedikit sebanyak anak muda tersebut dapat jua mendamaikan fikirannya. Kerana dia yakini, bahawa tempoh yang paling sesuai baginya pasti akan berkunjung kelak di kala dia benar-benar bersedia setelah bertahanuth di tanah suci pada waktu yang ditentukan, dan sekiranya masih dipanjangkan umur meniti usia. Inilah prinsipnya. Tambahan pula, Imtiaz bukanlah seorang yang gemar mempersendakan hati wanita melalui lafaz kata cinta seakan-akan dia bermain tarik tali… Namun, apabila dia dapat menggarap cinta terbabit, dia akan berusaha sedaya upaya agar benar-benar setia dan berpaut teguh pada janji. Apa yang penting ialah istikharah dan tawakal kepada Allah. Di lubuk hatinya, dia juga begitu menghormati srikandi-srikandi dengan keberanian yang dimiliki oleh mereka untuk menyatakan isi hati, laksana Siti Khadijah tatkala melamar Nabi s.a.w. Sungguhpun perasaan semulajadi dan keistimewaan wanita itu berupa kelembutan sifat malu berbanding pemuda, namun di sebalik malunya itu terzahir ketegasan dan keberanian. Itulah Siti Khadijah. Imtiaz begitu mengagumi keperibadian Siti Khadijah… “Astaghfirullah… Lupakan dulu wahai Imtiaz tentang soal itu…” Hatinya bermonolog. Lantaran itu, langsung saja dia meneruskan penulisan tesisnya di hadapan laptop usai berbincang dengan ummi dan abah. Dan…… Tersebutlah sebuah cerita…
Lulusan sarjana dari Universiti Ummul Qura, Mekkah itu begitu terkesan sekali dengan pentarbiahan Ikhwan al-Muslimin di Mekkah menerusi halaqah Ihya’ al-Rabbaniyyah tatkala menuntut ilmu di Tanah Haramain. Murabbinya merangkap pensyarah dan musyrifnya, al-Imam Sa`id Hawwa sentiasa menggenggam hatinya menerusi usrah dan halaqah takhassusi li al-du`at agar tidak terpalit dengan kepalsuan duniawi, serta menitipkan sepucuk warkah wasiat khusus untuknya pada saat-saat akhir di lapangan terbang sebelum dia kembali ke Malaysia. Ketika itu, dia baru saja menamatkan pengajian Master dalam bidang Al-I’jaz Al-Bayani fi Tafsir al-Qur’an bersama bimbingan musyrifnya, al-Imam Sa`id Hawwa. Masih terngiang-ngiang lagi bisikan dari murabbinya, al-Imam Sa`id Hawwa ketika dakapan terakhir di lapangan terbang Jeddah, “Kun Mutamayyizan, ya Imtiaz, ya bunayy, wa ya rafiqa darbi… Bir ruh, bid damm…” (Jadilah engkau orang yang benar-benar terpilih, wahai Imtiaz, wahai anakandaku, dan wahai teman seperjuanganku… Dengan ruh, dengan darah perjuangan). Dakapan murabbi tersebut begitu lama, seakan hati beliau dan hatinya sedang berdialog tanpa tuturan kata, ia begitu memberi makna yang sukar diungkapkan sehingga membeningkan air mata. Kini, dia sering kali membaca setiap baris kata di dalam karya al-Asas fi al-Tafsir hasil peninggalan hadiah berharga daripada murabbinya lantaran beliau telah menemui Ilahi dengan darah yang mewangi bersama para syuhada’. Khazanah bernilai buat sekalian umat manusia tersebut merupakan karya tafsir 30 juzuk, mempunyai 11 jilid, dan ia telah dikarang sendiri oleh al-Imam Sa`id Hawwa ketika beliau mendekam di dalam penjara militer.
Entah mengapa, ketika setiap kali Imtiaz menghayati beberapa perenggan tertentu dalam karya tafsir tersebut, hatinya mudah tersentuh. Tersentuh kerana mengenangkan pentarbiahan Ikhwan al-Muslimin melalui asuhan murrabbinya. Tersentuh kerana merasakan seakan gurunya sedang berbicara di hadapannya ketika mana dia menyelami pembacaan karya tafsir tersebut meskipun pada hakikatnya gurunya telah pun meninggal dunia. “Ya Allah, tidak kusesekali meninggalkan perjuangan ini..!” Gumamnya sambil menutup mata. Paling memberkas hati ialah, ketika mana dia berpeluang buat pertama kalinya mengikuti usrah takhassusi li al-du`at Ikhwan al-Muslimin. Usrah buat pertama kalinya dimulakan dengan sesi ta’aruf. Sedikit kegusaran menyelimuti hati Imtiaz lantaran merasakan kedhaifan diri (inferiority complex), kerana dia sahaja yang berbangsa Melayu dari 7 orang anggota Ikhwan berbangsa Arab yang berada dalam kelompok usrah tersebut. Seorang demi seorang memperkenalkan diri, manakala giliran memperkenalkan dirinya pula adalah yang terakhir. Ukhwah yang terbina begitu akrab sungguhpun baru pertama kali berjumpa. Pulang dari sesi usrah pertama, langsung saja dia ke hadapan Ka’bah, lalu bersimpuh berdoa mawaddah penuh kesyukuran berserta segunung pengharapan, lantaran terpilih bersama jundullah Ikhwan atas dasar kefahaman, lalu beliau memanjatkan ucapan, “Qul Hadhihi sabili…” berkali-kali sehingga tenggelam dalam lautan kenikmatan tidak bertepi muraqabatullah.
Paling meruntun hatinya ialah, ketika mana setiap sahabat-sahabat seperjuangannya dalam sesi usrah takhassusi pertama tersebut tidak terlepas untuk mengatakan: “Inni da`iyan ila Allah…” (Sesungguhnya aku menyeru kepada Allah…) apabila memperkenalkan kerjaya hakiki masing-masing. Setelah itu, barulah mereka menyatakan pekerjaan sampingan mereka seperti jurutera, pensyarah, dan doktor. Pada mulanya, Imtiaz ingin saja menuturkan bahawa kerjayanya adalah sebagai penuntut ilmu, namun kalimah yang terpacul pada setiap bibir para amilin tersebut sangat menyentakkan hatinya untuk memahami bahawa realiti kehidupan di muka bumi adalah menjadi hamba dan da`i, dengan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan Allah s.w.t secara bijaksana. Bait-bait kalimat tersebut (inni da`iyan ila Allah) ternyata menjadi pemangkin padu buat dirinya untuk thabat dalam medan perjuangan Islam. Pasti tidak terlupakan olehnya…! Tika lemah, dia melafazkan… Tika sakit, dia melafazkan… Tika malas, dia melafazkan… Tika dihimpit kekeringan wang, dia melafazkan… Tika kegusaran, dia melafazkan… Tika dizalimi, dia melafazkan… Tika itu dan ini, tetap jua dia melafazkan… Ungkapan azimat itu justeru menjadi motto buat dirinya, penggegar jiwa raganya, “INNI DA`IYAN ILA ALLAH..!! ALLAH… ALLAH… ALLAH…” Secara tidak semena-mena, bulu romanya meremang, semangatnya berkobar, fikirannya cergas dan optimis, seakan suatu himmah kurniaan Tuhan telah dibongkar dalam sanubarinya, bagi menjadi insan luar biasa. Inilah hasil pentarbiahan Ikhwan dalam dakapan al-Imam Sa`id Hawwa terhadapnya. Sehingga kini, dia masih merasai kehangatan pelukan beliau, dan pernah juga dia bercita-cita untuk menjadi murabbi tarbiah bagi harakah Islamiyyah di Malaysia suatu hari nanti. Ternyata, Al-Imam Sa`id Hawwa bukan sekadar menulis dan mencetak karya, bahkan beliau telah berupaya mencetak ribuan manusia, agar menerajui kepimpinan Islam berasaskan parameter Jil al-Qur’an al-Farid.
Iklim Ihya’ al-Rabbaniyyah yang dicerakinkan oleh al-Imam Sa`id Hawwa melalui suatu fasa-fasa tarbiah mendorong Imtiaz untuk menyelaminya dan mengkajinya dengan lebih mendalam dalam pengajian di peringkat kedoktoran di universiti. Tajuk penyelidikannya telah diterima oleh panel penyelidik dalam kalangan profesor dan para ilmuwan Islam yang lain untuk dijadikan sebagai suatu kajian ilmiah peringkat kedoktoran, iaitu mengenai aspek tarbiyah rabbaniyyah dalam karya Tafsir al-Asas fi al-Tafsir karangan al-Imam Sa`id Hawwa. Serentak dengan penyelidikan peringkat kedoktoran terbabit, dia turut dilantik oleh pihak pentadbiran universiti sebagai tutor/tenaga pengajar. Dalam pada itu, para mahasiswa dan mutarabbi juga sering kali mengambil kesempatan untuk berusrah takhassusi bersama dengannya, kerana itulah dia sering bermonolog, ”Aku ditarbiah untuk mentarbiah…”
Imtiaz tersentak dari lamunan. Tanpa disedari rupa-rupanya dia tertidur di hadapan laptop ketika menyempurnakan penyelidikan mengenai karya al-Asas fi al-Tafsir setelah berbual dengan ummi dan abah di kampung Dusun Tua mengenai soal baitul muslim. Karya al-Asas fi al-Tafsir tersebut masih terbuka di sebelah laptop, dan tiada siapa pula yang membacanya. Dia lalu terfikirkan kembali, apakah benar dia bertemu dengan al-Imam Sa`id Hawwa..? “Oh, tidak sesekali… Astaghfirullah al-`Azim… Rupanya aku hanyalah bermimpi.” Gumamnya. Namun, tiba-tiba bola matanya tertumpu kepada satu warkah, yang bentuknya saling tidak tumpah dengan warkah wasiat yang dikirimkan oleh al-Imam Sa`id Hawwa di dalam mimpinya ketika di lapangan terbang Jeddah. Lalu dibacanya dan diamatinya berulang kali kandungan warkah tersebut. Sungguh, warkah tersebut di dalam bahasa Arab! Dia menjadi semakin bingung tidak keruan, ekoran kewujudan warkah tersebut yang benar-benar terpampang di hadapannya usai bangun dari tidur ditambah pula dengan kandungannya yang berbahasa Arab! Kandungannya pula menyentuh tawsiah murabbi Sa`id Hawwa kepadanya khususnya berkaitan baitul muslim. Antara butir-butir nasihat terpenting ialah: (terjemahan Bahasa Melayu)
“Wahai anakandaku, usahlah engkau bermain kata ‘cinta’ terhadap srikandi-srikandi tertentu lantaran hatimu cenderung kepadanya. Kata ‘cinta’ itu begitu berbisa tatkala ia dititipkan pada si dia yang mempunyai kecenderungan yang sama terhadapmu. Maka, berwaspadalah engkau ketika melafazkannya kepada insan-insan sayap kiri perjuanganmu. Seandainya engkau benar-benar menyerahkan jiwa dan ragamu demi menggapai cinta dan MARDHOTILLAH merentasi kemilau warna-warni cinta yang lain, maka itulah kemilau cinta hakiki yang dituntut, pastinya ia berputik di bening kalbumu. Justeru, sekiranya engkau sudah merasa bersedia tika itu, katakanlah ungkapan azimat itu kepada si dia kerana Allah: “Inni uhibbuka/i fillah” sebagaimana anjuran Rasulullah s.a.w… Tetapi awas! Hatimu pastinya akan ditusuki jarum-jarum syaitaniyyah seandainya engkau berdolak-dalik menaiki perahu cinta yang tidak diketahui ke mana perlabuhannya yang pasti sedang engkau telah melafazkannya, namun engkau masih tidak “menemukan” siapa pemilik cinta itu. Sesungguhnya lafaz kata cintamu itu terhadap insan tertentu menjadi KESAKSIAN daripada Pemilik cinta hakiki Rabbul `Izzati, sama ada engkau memPERSENDAkan wisata cinta yang lahir dari lubuk jiwa wanita itu, atau engkau BENAR-BENAR BERHAJAT menyempurnakan sepertiga agamamu melalui anugerah Ilahi berupa mahligai yang dibina dari ikatan dua jiwa yang suci sesuci debu…”
Dalam warkah itu juga, al-Imam Sa`id Hawwa selanjutnya menyarankan kepada Imtiaz agar mengamati konsep baitul muslim di dalam karya beliau, Kay la Namdi Ba`idan `an Ihtiyajat al-`Asr di dalam satu subtopik “Baitul Muslim”. Penemuan warkah tersebut sekali lagi menyebabkan dia semakin sangsi akan tetapi begitu meredupkan hatinya, namun di sebalik kesangsian itu, dia tidak putus-putus memanjatkan hamdalah syukur kerana berkesempatan menemui murabbi tarbiah Ikhwan al-Muslimin, al-Imam Sa`id Hawwa meskipun di dalam bayangan mimpi. Warkah tersebut lalu disimpan rapi, menjadi sebuah sisipan rahsia yang begitu memberi erti buat dirinya setelah merentasi fasa-fasa tarbiah yang begitu menggamit hati meski di alam fantasi… Berlegar-legar pula dua ungkapan azimat yang menjadi hambatan padu buat dirinya, iaitu “Inni da`iyan ila Allah...” (Sesungguhnya aku menyeru kepada Allah) dan “Inni Uhibbuka/i fillah…”(Sesungguhnya aku cinta kepadamu kerana Allah)…
TAMAT
P/S: Aku sebenarnya agak jarang membaca cerpen atau novel. Penulisan ini hanyalah hasil imaginasiku semata-mata yang serba kekurangan… Penulisan cerpen buat pertama kalinya ini telah kupersembahkan ia dengan lukisan hati…
~ribbiyyun~
1.31 pagi,
Rabu, 9 Februari 2011,
Galeria Sri Perdana
0 comments:
Post a Comment