Perbezaan di Antara Cendekiawan Agama, Ibn al-`Arabi dengan Ibn `Arabi

Pengkajian sejarah Islam di bumi Andalus amat memikat hati saya untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam, apatah lagi topik penyelidikan saya di UM adalah berkait rapat dengan pengajian tafsir al-Qur’an di Andalus. Sesungguhnya, Andalus merupakan sebuah wilayah istimewa yang sangat memberi erti yang begitu mapan kepada para pengkaji khususnya bagi mereka yang sering kali teruja dengan kronologi sejarah peradaban Islam di dunia. Percaya atau tidak, hakikatnya Andalus atau Andalusia suatu ketika dahulu sekitar abad keenam Masihi pernah menjadi salah sebuah wilayah Islam yang sangat terbilang berbanding wilayah-wilayah Islam yang lain dan kegemilangan ini telah berlangsung kira-kira hampir sembilan kurun lamanya di wilayah selatan Eropah, sedangkan hegemoni Kristian Katolik pada era tersebut mengalami pasca kegelapan (dark ages) dan keruntuhan yang begitu ketara. Namun begitu, saya tidaklah ingin berdiskusi panjang mengenai peradaban, wilayah taklukan, atau kegemilangan Islam di Andalus di dalam entri kali ini memandangkan perbincangan mengenai historiografi Islam di Andalus sangat panjang untuk dimuatkan sebagai artikel. Dan Insya Allah sekiranya berkesempatan, saya akan memuatkan perkara tersebut secara ringkas pada entri-entri akan datang.

Saya yakin dan percaya bahawa rata-rata sahabat-sahabat yang berkecimpung di dalam entiti harakah Islam pastinya amat tertarik dengan keunikan pemerintahan Islam di Andalus, kerana ia membabitkan kuasa besar Islam dan juga pertembungan siri-siri peperangan di antara Islam dengan Kristian. Kita sering mendengar beberapa nama tokoh-tokoh agung di Andalus seperti Tariq bin Ziyad, Ibn Rushd, Imam al-Qurtubi, Ibn `Atiyyah, Ibn `Arabi, Ibn Hazm, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, setelah saya menelusuri dan menyelidiki beberapa biografi tokoh ulama’ Andalus, terdapat dua tokoh besar yang sering menjadi kekeliruan masyarakat dan penuntut ilmu. Justeru, atas dasar inilah, dalam entri pada kali ini, saya sangat berbesar hati untuk memberikan diskripsi serta view yang menyeluruh di antara dua tokoh ulama’ tersohor, iaitu Ibn al-`Arabi (m. 543H) dan Ibn `Arabi (m. 638H) yang mana kedua-dua tokoh tersebut telah menghembuskan nafas baru di dalam disiplin keilmuan yang kian berkembang pesat di Andalus pada era tersebut.

Saya mulakan olahan perkongsian ini dengan memperkenalkan Ibn `Arabi. Nama penuh beliau ialah Abu Bakr Muhy al-Din Muhammad Ibn `Ali Ibn Muhammad Ibn Ahmad Ibn `Abd Allah al-Hatimi al-Tai al-Andalusi. Beliau dikenali dengan gelaran Ibn `Arabi (tanpa awalan al- ) di negeri-negeri sebelah timur untuk membezakan beliau dengan Abu Bakr Muhammad bin `Abd Allah Ibn al-`Arabi, sementara di wilayah Andalus, beliau dikenali sebagai Ibn Suraqah. Beliau turut dikenali dengan gelaran Ibn al-`Arabi (dengan awalan al- ) di negeri-negeri sebelah barat seperti Maghribi. Justeru, secara umumnya, boleh juga kita menganggap Ibn `Arabi sebagai Ibn al-`Arabi, namun untuk membezakan di antara kedua-dua ilmuan tersebut, awalan (al-) telah dihazafkan. Manakala, nama sebenar Ibn al-`Arabi pula ialah Muhammad Ibn `Abd Allah al-Ma`afiri al-Andalusi al-Ishbili. Dwi Ibn al-`Arabi ini membesar di Seville, Andalus dan mereka sememangnya mempunyai kepakaran di dalam bidang keilmuan masing-masing.

Mengimbau kembali latar belakang pendidikan ulama’ terdahulu, dapatlah disimpulkan bahawa sebahagian besar mereka menguasai hampir keseluruhan cabang-cabang ilmu pengetahuan agama merangkumi feqh, tafsir, hadith, bahasa Arab, dan lain-lain. Ditinjau melalui perspektif keilmuan, Ibn al-`Arabi merupakan salah seorang tokoh yang berjaya merangkul kepelbagaian bidang cakupan ilmu seperti kebanyakan ulama’ lain, antaranya ilmu fiqh dan kaedah penentuan hukum, ilmu hadith dan perawi hadith, ilmu tafsir, peradaban Islam dan syair. Tidak ketinggalan juga, Ibn `Arabi turut menjejaki langkah kelompok ulama’ tersebut dengan menguasai selautan besar ilmu pengetahuan agama, antaranya hadith, tasawwuf, tafsir, dan lain-lain. Potret kehidupan kedua-dua tokoh tersebut sememangnya bergelumang dengan ilmu dan penulisan sehingga dikatakan bahawa Ibn `Arabi telah menghasilkan lebih 500 judul kitab berjilid-jilid.

Apabila kita menyelami dunia akademik, satu perkara yang tidak mesti tidak terdapat pada ahli cendekiawan ialah penghasilan karya penulisan. Sudah tentunya Ibn al-`Arabi mempunyai karya-karyanya yang melimpah, dan keilmuannya yang tinggi tidak dapat dipertikaikan lagi apabila beliau telah menghasilkan karya-karya yang begitu bernilai. Dalam bidang tafsir, karyanya yang terpenting dan terkenal ialah Ahkam Al-Qur`an dan Al-Qanun fi Tafsir Al-Qur`an al-`Aziz. Dalam ilmu hadith pula, beliau telah mengarang kitab Al-Masalik fi Syarh Muwatta’ Malik, dan kitab `Aridah al-Ahwadhi `ala Kitab al-Tirmidhi. Adapun di dalam bidang fiqh dan usul fiqh, karyanya yang terkenal ialah Al-Mahsul fi Usul al-Fiqh. Manakala, Ibn `Arabi pula, antara contoh karyanya yang terkenal ialah Al-Futuhat al-Makkiyyah yang membicarakan prinsip-prinsip metafizik (tasawwuf), kitab Fusus al-Hikam, Insya’ al-Dawa’ir, Tarjuman al-Asywaq, Misykat al-Anwar, dan lain-lain. Dalam bidang tafsir, karya beliau ialah `Aja’ib al-Irfan fi Tafsir Ijaz al-Bayan fi Tarjamah `an al-Qur’an dan Tafsir al-Qur’an al-Karim.

Apa yang menjadi perbezaan di antara dua ilmuan Islam ini ialah, kecenderungan atau muyul mereka kepada bidang yang diceburi. Ibn al-`Arabi yang dikenali sebagai kadi dan pakar rujuk fiqh di zamannya menunjukkan bahawa beliau sangat menguasai aliran mazhab fiqh al-Maliki sehingga dikatakan beliau sangat ta’asub dengan mazhab tersebut lebih-lebih lagi ketika menghasilkan karya tafsirnya, Ahkam al-Qur’an. Aliran fiqhi yang mendasari fikiran dan karekteristiknya dapat diperhatikan menerusi karya tafsirnya, Ahkam al-Qur’an khususnya ketika mentafsirkan ayat-ayat hukum. Maka tidak hairanlah karya tersebut juga dianggap sebagai ensiklopedia fiqh al-Maliki. Adapun Ibn `Arabi, beliau sangat dikenali sebagai ulama’ sufi falsafi, dan ketokohan beliau sering menjadi kontroversi sebahagian ulama’. Wallahu A’lam… Namun, gelombang pengaruhnya dalam bidang tasawwuf telah banyak memberi implikasi yang mendalam kepada sejumlah besar penyair dari India, Parsi, dan lain-lain wilayah, sekali gus alirannya sedikit sebanyak telah mewarnai kehidupan masyarakat Andalus ketika itu. Satu ungkapan yang sering dikaitkan dengan Ibn `Arabi ialah persoalan wihdah al-wujud. Kepelbagaian tanggapan terhadap istilah tersebut menyebabkan sebahagian ulama’ mempertahankannya, dan ada di kalangan mereka yang menentangnya, bahkan ada yang mengkafirkannya. Persoalan wihdah al-wujud dapatlah dilihat melalui penulisan karya tafsirnya, tafsir al-Qur’an al-Karim. Oleh hal yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa ketokohannya sememangnya terserlah ekoran penulisan beliau yang begitu banyak dan karya-karya serta penulisannya telah diabadikan sehingga kini.

Kepelbagaian aliran pemikiran dan manhaj yang bercambah subur di bumi Andalus seperti aliran fiqh al-Maliki, aliran salafi, aliran sufi, aliran mazhab zahiri, aliran pemikiran falsafah dan lojik, dan sebagainya sekali gus menyaksikan bahawa wilayah Andalus suatu ketika dahulu telah mencapai satu tahap yang membanggakan, malah tidak dapat ditandingi oleh mana-mana peradaban khususnya di dalam aspek intelektualisme. Kepelbagaian aliran tersebut merupakan satu anugerah yang amat berharga kepada para pencinta thaqafah bagi mengkaji hal-hal tersebut dengan lebih mendalam seterusnya ia memberi satu anjakan paradigma kepada kita untuk berusaha membina kembali kepada khilafah Islam yang gilang-gemilang suatu ketika dahulu. Wallahu a’lam.

P/s: Nantikan artikel mengenai perbezaan di antara Ibn Qayyim al-Jauziyyah dengan Ibn al-Jauzi, juga akan dipaparkan mengenai perbezaan di antara Jalaluddin al-Mahalli dengan Jalaluddin al-Suyuti…

1 comments:

nik said...

Terima kasih, stlah mmbaca artikel ini saya dpt membezakan antara ibn al-arabi dan ibn arabi dgn lebih baik lagi. teruskan usaha murni anda..