33 PERSOALAN ‘APAKAH’: Ayuh Kita menuju ‘PENCERAHAN’…! (1)

1. Apakah engkau pernah menunaikan solat berjemaah takbiratul ula secara berterusan walau hanya dalam tempoh seminggu?

2. Apakah engkau benar-benar menunaikan solat dengan penuh ketundukan dan kekhusyukan sehingga tidak memikirkan hal-hal lain melainkan engkau dan Dia?

3. Apakah engkau konsisten membaca dan memahami al-Qur’an 1 maqra’ (2 muka/surat setengah) dalam sehari?

4. Apakah engkau meneliti dan mengamati sedalam-dalamnya mafhum al-Qur’an walau sepotong ayat seumur hidupmu sehingga merasakan kekerdilan dan kehinaan diri engkau di dalam kefanakan indahnya madah kalam Tuhan, secara tidak langsung mengagumi kebesaran Maha Pencipta, Maha Kaya?

5. Apakah engkau telah menghabiskan pembacaan al-Qur’an dan terjemahannya 30 juzu’ sepanjang penghidupanmu dalam memahami dustur Ilahi?

6. Apakah engkau telah membaca dan memahami kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim?

7. Apakah engkau sering mengalirkan air mata keinsafanmu sendirian di hadapan Pencipta?

8. Apakah engkau memikirkan kehebatan Tuhan yang tiada taranya melalui penciptaan langit dan bumi, interaksi sesama manusia yang sangat ramai bilangannya, dan seumpamanya, yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain?

9. Apakah engkau berfikir dengan sedalam-dalamnya walau hanya sejenak, merenungi jasadmu, gerak-gerimu, lalu engkau memikirkan keberadaanmu di dunia yang fana?

10. Apakah engkau merintih kepadaNya melalui bicara hati yang mampu menggetar jiwamu?

11. Apakah engkau merasai kehangatan jiwamu apabila bertaqarrub kepadaNya?

12. Apakah hatimu benar-benar bergetar apabila mendengar serta melafazkan kalimah ALLAH?

13. Apakah engkau benar-benar berzikir dengan hatimu, bukan dengan lisanmu semata?

14. Apakah tidak timbul rasa ‘ujub dan riya’ walau hanya sebesar zarah sekalipun di dalam jiwamu apabila engkau dimuliakan dan dihormati oleh kebanyakan manusia? Maka berhati-hatilah…

15. Apakah engkau melakukan amalan yang sedikit, tetapi berterusan yang mampu menjernihkan basirahmu, atau apakah engkau melakukan amalan yang berganda-ganda tanpa tajarrud?

16. Apakah engkau melihat seorang pekak/buta/tuli/kudung, kemudian engkau memikirkan betapa besarnya nikmat pancaindera yang dikurniakan kepadamu, lalu engkau menggunakannya pada jalan yang benar?

17. Apakah engkau melihat mereka yang berada di persimpangan, lalu mendoakan agar mereka diberi taufiq dan hidayah serta tidak menghukum mereka?

18. Apakah engkau sangat bersungguh-sungguh bertemu dengan Pencipta melalui ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, bangun malam, dan sebagainya, dan kesungguhanmu mengatasi keseronokanmu membelai nafsumu seperti sifat malas, lembap, tidur, dan seumpamanya?

19. Apakah engkau memikirkan bahawa setiap butir bicaramu yang berulang-ulang merupakan suatu ungkapan doa?

20. Apakah engkau mendirikan solat malam setiap hari, sedangkan solat malam itu merupakan satu ibadah yang wajib bagi Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda?

21. Apakah engkau menghayati dan menekuni sirah perjuangan Baginda s.a.w, para sahabat, dan ‘alim ulama’ terdahulu, lalu membuatkanmu bergenang air mata?

22. Apakah engkau menghargai waktu walau sedetik saat yang berlalu dengan perkara yang berguna?

23. Apakah engkau benar-benar menepati waktu yang dijanjikan sekiranya terdapat liqa’, perjumpaan, mesyuarat, kuliah, dan seumpamanya?

24. Apakah engkau mempunyai prinsip hidup dan visi yang sangat nyata?

25. Apakah engkau benar-benar bersedia menjadi HUJAH agama?

26. Apakah engkau menyumbangkan bakti untuk Islam setiap hari?

27. Apakah engkau berusaha bertukus-lumus meneroka ilmu pengetahuan dengan mencari ruang dan peluang yang ada melalui kuliah-kuliah ilmu, halaqah, dan sebagainya?

28. Apakah engkau tidak berkata-kata melainkan hal-hal yang perlu dan berfaedah sahaja?

29. Apakah engkau memberikan sesuatu hadiah dan pemberian kepada orang lain, sedangkan hadiah tersebut merupakan barang yang paling engkau sayangi?

30. Apakah engkau tidak merasakan bahawa bila-bila masa sahaja engkau akan MATI?

31. Apakah engkau memaafkan setiap kesalahan manusia sebelum engkau tidur pada setiap malam?

32. Apakah engkau tidak pernah/sangat jarang sekali tidur selepas Subuh dan selepas Asar?

33. Apakah engkau tidak pernah meninggikan suara kepada kedua orang tuamu?

Mudah-mudahan persoalan-persoalan di atas akan menjadi panahan tajam kepada hati kita yang kian membeku… Renungilah Firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (18)

Maksudnya:

18. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.

Surah al-Hasyr (59): 18

Bersambung…

0 comments: