Istilah ‘SAHABAT’ di antara Ikhwah dan Akhawat Ajnabiyyah..



Terlintas di fikiran saya untuk berkongsi idea mengenai suatu perkara yang barangkali sering berlegar di kalangan kita, ikhwah dan akhawat… Mengenai penggunaan istilah ‘sahabat’ secara literal mahupun konseptual, bahasa mahupun istilah, etimologi mahupun terminologi… Secara umumnya, kita mampu untuk mengungkapkan erti persahabatan dan rasa kasih kita sama ada daripada seorang lelaki kepada sahabat lelaki mahupun daripada seorang perempuan kepada sahabat perempuan yang lain, malah hal ini merupakan suatu tuntutan sunnah Baginda s.a.w. Namun, perkara yang menjadi pokok perbincangan di sini ialah, apakah wujud istilah ‘sahabat’ di antara lelaki dengan wanita ajnabiyyah? Sekiranya wujud, sejauh manakah piawaian keakraban di antara mereka..? Maka, hal sebegini mendorong kita untuk mencermati kembali pengertian ‘sahabat’ dalam erti kata yang sebenar agar tidak disalahtanggapi…

Saya yakin dan percaya, dan kebanyakan sahabat-sahabat mungkin juga turut menyokong pandangan saya bahawa pengertian ‘sahabat’ ini barangkali berbeza sedikit dengan pengertian rakan, taulan, teman, kenalan, kawan, dan seumpama dengannya. Apatah lagi membincangkan hubungan antara lelaki dengan perempuan ajnabiyyah mengenai soal kekasih, pencinta, pakwe, makwe, awek, balak, justeru hal ini terkeluar dari ruang lingkup batasan perbincangan pengertian ‘sahabat’. Maka seharusnya kita menelusuri kembali apakah yang dimaksudkan dengan ‘sahabat’…

Perkataan ‘sahabat’ berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud ‘yang menemani’. Daripada perkataan sahabat, terbit juga kalimah ‘sahibah’ yang bermaksud ‘isteri’ apabila kalimah tersebut disandarkan dengan dalil al-Qur’an, ayat 3 dari surah al-Jin:

وَأَنَّهُ تَعَالَى جَدُّ رَبِّنَا مَا اتَّخَذَ صَاحِبَةً وَلا وَلَدًا (3)

Maksudnya:

3. `Dan (ketahuilah Wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.

Demikianlah pengertian ‘sahabat’ secara ringkasnya, yang dipetik dari Kamus al-Mu’jam al-Wasit, sebuah kamus Bahasa Arab standard kontemporari masa kini.

Sahabat juga merujuk kepada kata jama’ bagi sahabiy yang mana mereka hidup sezaman dengan Nabi s.a.w, sempat bertemu dan bermulazamah dengan Baginda, dan beriman dengan Allah dan RasulNya. Sekiranya kita memetik pengertian ‘sahabat’ sebagaimana persahabatan di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan para sahabat, maka alangkah akrabnya persahabatan mereka. Nilai akrab persahabatan mereka dijadikan ikon dan ikutan buat generasi-generasi Islam seterusnya dalam usaha menuruti sunnah Baginda dan para sahabat. Justeru, pengertian sahabat di sini memaparkan hubungan dan ikatan tali persaudaraan Islam yang sangat erat atau lebih dikenali sebagai ukhwah Islamiyyah. Terdapat juga pengertian-pengertian lain bagi ‘sahabat’, namun saya kira tidak perlu untuk untuk saya kemukakan di sini secara mendasar.

Tuntasnya, kalimah ‘sahabat’ membawa maksud yang agak subjektif dan membuka kepada justifikasi yang pelbagai. Namun dapat disimpulkan bahawa istilah sahabat memerlukan kepada hubungan, jalinan ukhwah, dan interaksi antara manusia, kenal-mengenali, saling memahami antara satu sama lain, bantu-membantu serta saling lengkap-melengkapi. Malah, pada hemat saya, istilah ‘sahabat’ adalah satu lambang ikatan ukhwah yang paling erat sekali yang merupakan satu seni hubungan dari hati ke hati, berbanding penggunaan perkataan-perkataan lain seperti kawan, teman, taulan, rakan dan sebagainya sekiranya perkataan ‘sahabat’ ini dinisbahkan kepada nilai persahabatan di antara Nabi s.a.w dengan para sahabat Baginda s.a.w, dan juga sekiranya perkataan ini disandarkan kepada ‘sahibah’ yang bermaksud isteri, kerana isteri adalah rahsia suami seperti mana yang terdapat dalam madah pujangga Arab: الزوجة سر الزوج. Ini memaparkan bahawa isteri merupakan seorang insan yang sangat memahami si suami dan dialah paling mengetahui dan menyimpan rahsia-rahsia suami, maka sememangnya dia merupakan sahabat dan sahibah (orang yang paling hampir dengan) si suami.

Berbalik kepada topik perbincangan kita, apakah wujud istilah ‘SAHABAT’ di antara ikhwah dan akhawat ajnabiyyah setelah kita mengamati pengertian sahabat itu sendiri..?? Di sini saya ingin melontarkan idea saya, dan saya beranggapan bahawa TIADA istilah ‘sahabat’ di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram secara KHUSUS. Yang dimaksudkan secara khusus ialah apabila seseorang meluahkan persahabatan kepada seorang insan yang bukan mahram yakni antara DUA INDIVIDU AJNABI (bukan berjemaah). Contohnya: “Ana (lelaki) ingin bersahabat dengan enti”, atau “Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan ana”, atau “Wahai sahabat ana…”, atau “entilah sahabat ana (lelaki)…” dan yang seumpama dengannya. Sama ada penggunaan perkataan tersebut melalui sms, yahoo messenger, emel, internet, ataupun melalui kata-kata bicara kita sendiri terhadap insan tersebut. Namun begitu, sekiranya kita menggunakan istilah sahabat secara UMUM seperti ketika menyampaikan ucapan, pidato, sms kepada sekalian sahabat, melalui artikel dalam blog, dan yang seumpama dengannya, maka pada pandangan saya hal ini dibolehkan. Wa Allahu a’lam... Ini kerana, apabila melihat kembali pada pengertian sahabat, maka kalimah tersebut memberi makna yang cukup akrab berbanding dengan kalimah lain seperti kawan dan rakan. Saya memohon maaf sekiranya pandangan saya tidak sealiran dengan pandangan para pembaca sekalian…

Adapun penggunaan kawan, rakan, atau kenalan, di antara lelaki dengan wanita ajnabiyyah, maka bagi pendapat saya itu tidak mengapa. Contohnya, seandainya si fulan (lelaki) menyatakan bahawa: “Dia (si fulanah-wanita) merupakan ‘rakan’ saya”, maka saya kira hal ini diperbolehkan, selagi mana tidak melanggar batas-batas ikhtilat di dalam Islam antara lelaki dengan wanita. Justeru saya mengambil kesempatan ini untuk sama-sama kita bermuhasabah semula sejauh manakah pemahaman kita mengenai ikhtilat di antara lelaki dengan wanita ajnabiyyah… Wujudkah istilah sahabat secara khusus di antara mereka berdua? Fikir-fikirkan… Mungkin saja ia bergantung kepada persepsi kita sendiri sejauh mana pemahaman kita terhadap makna ‘sahabat’ itu sendiri. Sekiranya seseorang beranggapan istilah sahabat itu sama saja dengan pengertian rakan, kawan, dan sebagainya, maka saya no comment... ‘Ala kulli hal, marilah kita sama-sama berdoa dan memohon keampunan daripada Allah sekiranya terdapat kesilapan dan kekhilafan dalam pergaulan ukhwah islamiyyah, khususnya bagi individu yang berjiwa pejuang muslim, yang sering kali terdedah dengan meeting-meeting, liqa’-liqa’, gerak kerja, kuliah-kuliah ilmu, projek-projek, seminar, dan sebagainya yang mana melibatkan satu proses mu’amalah di antara lelaki dengan wanita ajnabiyyah… Ya Allah, aku memohon keampunan daripadaMu seandainya terdapat kekhilafan yang telah kulakukan kepadaMu dan juga terhadap sahabat-sahabatku… Sesungguhnya kutahu tipu daya syaitan itu sangat halus, menyusup di setiap urat nadi manusia, membisikkan fitnah-fitnah wanita di liang sukma menyebabkan kuterleka dan alpa, namun kuyakin dan percaya, bahawa keampunanMu mendahului kemurkaanMu jua… Maka, ampunilah daku ya Allah…” Wahai sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekalian, saya memohon maaf sekiranya terdapat kekhilafan pada diri saya dalam menyemai ukhwah kita, dan saya turut memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata yang menyinggung perasaan mana-mana pihak… Maafkan daku wahai sahabat-sahabatku… Sama-samalah kita kembali dan bertaqarrub kepadaNya… Ingatlah dan amalkanlah doa yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w:

اللهم إني أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِي إِلَى حُبِّكَ

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu, dan cinta orang yang mencintaiMu, serta cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan aku kepada kecintaanMu.

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Turut diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi – Hadith Hasan)

Maka, sesungguhnya Allah sahajalah sebaik-baik Penolong. Firman Allah s.w.t, sebagai pengukuhan jiwa Nabi Muhammad s.a.w lantaran berdakwah, iaitu sekiranya terdapat insan-insan yang berpaling daripada ajaran Islam, Allah s.w.t berfirman:

فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (129)

Maksudnya:

129. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadanya aku berserah diri, dan Dialah yang Mempunyai Arasy yang Besar."

Surah al-Tawbah (9): 129

Marilah sama-sama kita menggoptimumkan pergantungan diri kepada Allah s.w.t agar diajuhi daripada bisikan-bisikan syaitaniyyah, tanpa mengharapkan pandangan makhluk, seterusnya kita berusaha mengukuhkan hati-hati kita demiNya semata… Amalkanlah pembacaan:

حسبي الله ونعم الوكيل، نعم المولى ونعم النصير

dengan mengambil `ibrah daripada ayat al-Qur’an di atas.

Hanya saja yang berlegar di fikiran saya ialah, bagaimana pula dengan tunang?? Adakah boleh untuk seseorang itu meluahkan persahabatannya terhadap tunangnya secara khusus? Mungkin saja boleh, namun ada batasannya… Tetapi batasannya bagaimana pula? Atau mungkin juga tidak boleh… Saya tidak pasti sama ada boleh atau tidak, wa Allahu a’lam… Maka, saya serahkan kepada para sahabat sekalian untuk menjawab, dengan melihat kepada sejauh mana persepsi kita dalam menanggapi pengertian ‘sahabat’ itu sendiri... Wa Allahu a’lam…

---Bingkisan makalah ini mudah-mudahan menjadi satu MUTIARA peringatan yang sangat berharga buat diriku jua…


2 comments:

Shahir said...

Salam akhi, setelah mengamati tulisan nta ana sungguh gembira sekali kerana dikurniakan sahabat seperti nta..semoga ukhwah fillah antara kita tersu kekal selamanya insyaAllah =)

~Nisrina~ said...

pohon izin untuk letak link blog anda di blog saya, untuk artikel ini... jazakallah