Buat Pimpinan ‘Ribbiyyun’ PMIUM: Batu Asas Gerakan Terpadu Adalah TARBIAH…(1)

Menjadi suatu fenomena apabila sesuatu organisasi gerakan beralih tampuk kepimpinan. Fenomena yang dimaksudkan ialah mengenai hala tuju dan turning point yang ingin dijelujuri oleh entiti gerakan terbabit. Sejauh manakah hala tuju tersebut dapat digapai secara efisien? Apakah ambisi dan visi yang ingin digamit dalam memikul amanah jemaah? Hal ini telah saya cermati seawal mula saya melangkah kaki ke dalam marhalah ta’rif, dalam usaha menambah konsep al-fahm di dalam diri saya terhadap apa yang dikatakan sebagai jemaah Islam.

Lihatlah… Pada hemat saya, kita perlu menyedari bahawa terdapat beberapa perkelompokan mahasiswa dalam gerakan Islam di kampus secara umumnya. Kelompok pertama ialah mereka yang konsisten dari mula melibatkan diri dalam usaha dakwah sehingga akhir hayat mereka di samping menunjukkan ikon yang terbaik kepada manusia keseluruhannya. Kelompok kedua pula ialah mereka yang sangat obses dan optimis pada awal-awal partisipasi mereka, namun semakin lama semakin tenggelam apabila menamatkan pengajian di universiti. Kelompok ketiga ialah mereka yang berada di merit gred B dari awal sehingga akhir gabungan. Kelompok keempat ialah mereka yang kurang berpartisipasi dalam gerakan pada awal penglibatan jemaah, namun semakin bertambah faham dan faham, lalu partisipasi dan tadhiyah mereka kepada gerakan Islam semakin bertambah. Justeru, kita di dalam kelompok yang mana? Dan setiap daripada perkelompokan tersebut mempunyai faktor dan implikasinya terhadap gerakan.

Saya dapat konklusikan begini. Kelompok pertama merupakan ahli yang kompeten dan telah nyata kefahaman mereka dalam jemaah. Justeru mereka inilah lazimnya menjadi front hadapan gerakan, mastermine dalam percaturan, think tanker dalam mengutarakan buah-buah fikiran dan sebagainya. Maka, mereka ini merupakan nadi gerakan, sekiranya mereka goyah dan rebah, maka boleh saya katakan gerakan akan mulai pincang. Kelompok kedua pula ialah mereka ini berpatisipasi berdasarkan senario dan gerak kerja bermusim. Tahun satu pengajian sebagai runner, tahun dua sebagai ketua-ketua organisasi kecil dan naqib. Bermula pada tahun ketiga pengajian, penglibatan mereka semakin kabur, dan tahun keempat/tamat pengajian, perkembangan mereka tidak dapat diketahui. Inilah yang dinamakan sebagai golongan al-mutasaqitun (yang tercicir). Seterusnya kelompok ketiga ialah mereka yang komited dengan gerakan, namun ada kalanya terdapat sedikit kecacatan dalam gerak kerja mereka. Walau bagaimanapun mereka tetap juga memberikan sumbangan kepada gerakan sehingga akhir hayat sekadar kemampuan mereka. Manakala kelompok keempat pula merupakan ahli yang dilihat sebagai low profile pada permulaan penglibatannya, namun mereka dilihat semakin berpartisipasi pada tahun dua dan tiga, semakin memberikan kerjasama, perangsang dan sumbangan pada organisasi, memberikan sokongan padu pada gerakan Islam kampus, hatta setelah mereka tamat pengajian, juga setelah mereka pulang ke negeri masing-masing. Seterusnya meyumbang bakti Islam kepada masyarakat sekelilingnya.

Konsep al-fahm. Ya… Bermula dari asas itulah seseorang akan memahami hakikat sesuatu gerakan. Maka tidak hairanlah mengapa syeikh Fathi Yakan di dalam karyanya Amal Jama`i menggariskan al-Fahm sebagai kayu ukur kepada terbitnya amal-amal Islami sokongan yang lain dalam memastikan keberlangsungan jemaah. Kita turut dapat perhatikan bahawa al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna telah menghuraikan rukun bai`ah pertama (iaitu al-Fahm) daripada 10 rukun bai’ah dengan sangat terperinci sekali. Konsep al-Fahm di dalam eukun bai`ah tersebut telah beliau bahagikan ia kepada Usul 20 dan ia telah dibincangkan secara mendalam berbanding rukun-rukun bai’ah yang lain. Malah, daripada usul 20 tersebut, maka beberapa tokoh cendekiawan Islam telah menerbitkan buku-buku yang mensyarahkan usul 20, antaranya Syarah Usul 20 yang dikarang oleh Dr. Ali Abd Halim Mahmud sebagai penjelasan kepada konsep al-fahm. Ini memaparkan kepada kita betapa sesungguhnya konsep al-Fahm itu sangat mustahak bagi membina kader-kader dakwah yang terbaik.

Saya yakin dan percaya, mudah-mudahan pemahaman (al-fahm) kita terhadap gerakan Islam kian bertambah dan bertambah. Rentetan pemahaman kita yang semakin bertambah itulah, maka, kini saya kira sesuailah untuk saya mengajukan beberapa soalan kepada sahabat-sahabat serta adik-adik sekalian mengenai komponen TARBIAH:

1. Sejauh manakah kita memposisikan elemen TARBIAH yang sebenar di dalam gerakan?

2. Apakah kita mendahulukan Allah dan RasulNya atau hanya berkepentingan politik sempit serta hanya mengharapkan pengaruh setempat?

3. Apakah kita benar-benar cintakan ilmu dan amal atau hakikatnya kita masih jahil berhujah dan masih beromong kosong disebabkan kurangnya perhatian kita terhadap ilmu dan amal?

4. Apakah kita lebih berdiplomasi atau berkonfrantasi?

Dalam hal ini, saya akui bahawa saya sangat punya kelemahan, namun saya berusaha sedaya upaya berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita melakukan revolusi dan reformasi. Sama-sama untuk kita membuat resolusi dari perbincangan kita, sebagai solusi dari kepincangan gerakan kita agar dilihat gerakan ini sebagai gerakan yang ‘realiti’, bukan ‘fantasi’, gerakan yang memiliki ROHANI tersendiri, bukan hanya berpolitisasi dan bersosialisasi. Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna turut menekankan kepada ahlinya pembacaan al-Qur’an satu maqra’ sehari, solat tahajjud setiap hari, pembacaan zikir pagi dan petang setiap hari (al-Ma’thurat), berpuasa sunat Isnin dan Khamis, berakhlak dengan akhlak mahmudah, berbicara perkara-perkara yang perlu sahaja, dan sebagainya. Sahabat-sahabat bolehlah merujuk kepada karya Gerakan Terbesar Abad ke-20 yang mana di dalam kandungannya, Imam al-Syahid Hasan al-Banna telah menggariskan beberapa manual tarbiah kepada para ahlinya untuk diamalkan.

Teori saya mudah. Terkikis tarbiah, pincang jemaah, hilang Mardatillah. Kerana pandangan saya, elemen tarbiah semestinya perlu didahulukan berbanding elemen yang lain. Tarbiah bukan sekadar tamrin dan berusrah, akan tetapi tarbiah adalah medan membentuk jati diri, pengisian ilmu dan penghayatan, atau lebih holistik lagi ialah ia merupakan satu anjakan usaha ke arah mendekatkan diri kepada Allah, dan mengenaliNya. Saya berpandangan bahawa elemen TARBIAH mendahului yang lain, diikuti siasah. Pandangan saya bukanlah berasaskan sentimen mana-mana lajnah atau unit, tetapi pandangan saya ini adalah berasaskan pengamatan saya kepada dalil al-Qur’an dan sunnah. Saya bimbang sekiranya dalam gerakan ini terbahagi kepada dua entiti besar, iaitu gerakan siasah seakan salafi, dan gerakan tarbiah seakan sufi. Justeru, perlu juga untuk kita memikirkan pembentukan kader-kader dakwah yang sufi haraki. Meletakkan tarbiah sebagai pusat segala kelopak jemaah yang berkembang, seterusnya diikuti elemen siasah, sentiasa mengikut perkembangan semasa dan berjuang di dalam pilihan raya kampus.

Melihat kepada keunggulan sesuatu gerakan Islam, maka kita mendapati bahawa komponen kekuatan rohaniyah mereka sangat-sangat bermutu tinggi. Gerakan Ikhwan al-Muslimin, Parti Keadilan Sejahtera, Generasi Salehuddin al-Ayubi, Pasukan Jihad Sultan Muhammad al-Fateh, dan sebagainya sememangnya tidak kontang dengan pengisian rohani. Apatah lagi senario dakwah Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat, elemen rohaninya sangat-sangat jauh berbeza dengan gerakan Islam kini. Asas mereka adalah kekuatan dalaman, dan muraqabah terhadap Allah. Barulah mereka mengembangkan kefahaman Islam melalui seni dakwah dan siasah setelah pengukuhan tarbiah. Melihat kepada dalil-dalil al-Quran mahupun sunnah, kita kan dapati bahawa perkara pokok yang sewajarnya dipasakkan oleh individu muslim di dalam organisasi ialah mengenali Tuhan dan memohon keampunan dariNya, sebelum berhadapan dengan musuh, atau memposisikan diri ke dalam siasah. Maka, bagi saya, hasil daripada insan-insan yang lahir daripada institusi tarbiah ini lebih mampu melunakkan hati-hati mad’u, kerana bicara mereka adalah bicara hati, bicara mereka adalah setelah melalui fasa-fasa pengamalan ibadat sunat dan penyucian jiwa, bukan hanya omongan kosong mereka semata.

1 comments:

fastabiqul khairat said...
This comment has been removed by the author.